HIMPUN: Muhasabah masalah aqidah dan kecelaruan identiti belia

Apakah perasaan anda ketika melihat statistik di atas?

Ada yang menganggap isu murtad ini satu isu sensitif sehinggakan perbincangannya di dalam forum, seminar dan wacana kurang dilaporkan kerana bimbang akan timbul perbalahan antara kaum. Namun hakikatnya isu murtad merupakan satu realiti yang menimpa umat Islam pada ketika ini. Persoalannya, “Di mana silapnya sehinggakan isu ini timbul dan semakin berleluasa?”

Kejadian murtad yang semakin menjadi-jadi dalam tempoh 2 dekad ini berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri. Menurut Ann Wan Seng (2009), umat Islam hari ini berdepan dengan masalah dan krisis aqidah yang cukup serius lantaran kurangnya pemahaman, penghayatan dan pengalaman mereka terhadap ajaran Islam. Hal ini kerana sistem pendidikan lebih menjurus kepada pembinaan jasmani berbanding rohani. Pendidikan yang berorientasikan sekularisme ini telah melahirkan generasi Islam yang rapuh aqidah dan rendah akhlak. Perkara ini dibuktikan dengan meningkatnya masalah sosial di kalangan belia dan remaja sejak akhir-akhir ini.

Faktor lain yang menyumbang kepada gejala murtad ini adalah persekitaran yang tidak kondusif, tidak sihat dan negatif. Ann Wan Seng (2009) menyatakan persekitaran begini meyebabkan ramai belia Islam terpengaruh dengan cara hidup yang berlawanan dengan Islam. Kewujudan pusat-pusat maksiat dan hiburan merupakan saham terbesar keruntuhan akhlak di kalangan belia dan masalah sosial dalam masyarakat. Faktor ini sekaligus dapat menyumbang kepada kelemahan umat Islam masa kini dan seterusnya meningkatkan gejala murtad . Bila mana cara hidup tidak lagi mengamalkan cara yang Islam ajarkan, maka tiada lagi penghayatan terhadap Islam yang dianuti.

Jika kita imbas kembali 2 faktor yang dibincangkan sebelum ini, kita boleh lihat kedua-duanya oleh membawa kepada masalah lain pula, iaitu masalah kecelaruan identiti khususnya di kalangan belia. Kecelaruan identiti ini sendiri telah mengikis keperibadian Islam yang dimiliki oleh mereka, seterusnya menyumbang kepada masalah murtad itu sendiri dek golongan belia ini tidak dapat membezakan kemulian yang dimiliki oleh Islam dan menganggap semua agama adalah sama.

Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA menyatakan 6 juta belia celaru identitinya, namun apa maksud daripada penyataan ini? Kecelaruan identiti di kalangan belia ini adalah bermaksud mereka celaru identiti dari segi seorang Muslim dan adat ketimuran. Dari segi perlakuan, pertuturan dan peribadi pula, mereka mejadikan barat sebagai kiblat mereka.

Kecelaruan identiti juga dikaitkan dengan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Menurut Dr. Sidek Baba (2006), imej belia 30 tahun lalu cenderung mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat serta fokus kepada isu-isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Namun kini sebaliknya, belia hari ini terlarut dengan masalah sosial dan jauh daripada agama sehingga hilangnya cara hidup yang sepatutnya ada pada diri mereka. Bila mana cara hidup Islam kurang diamalkan seterusnya akan menjerumuskan kepada masalah yang lebih serius iaitu aqidah.

Apa yang dibincangkan ini menunjukkan masalah yang melibatkan golongan belia ini seolah-olah tiada kesudahannya. Apakan sudah tiada sinar cahaya pada golongan belia?

Oh! Tidaklah sedahsyat itu. Alhamdulillah! HIMPUN pada 22 Oktober yang lalu menggambarkan masih ada belia yang mempunyai visi dan misi hidup yang jelas serta masih terpelihara dari segi kelakuan dan keperibadian mereka. Mereka inilah sumbu kepada kebangkitan golongan belia yang peka terhadap masalah umat terutama yang melibatkan golongan mereka sendiri.

Menurut Asy-Syeikh Fathi Yakan,

“Usia muda generasi belia adalah usia penuh cita-cita unggul yang mengalir darah yang gemuruh serta memiliki idealism yang luas”.

Belia adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan agama.

Nasihat akhir kepada belia sekalian, kita seharusnya segera bangkit membina sahsiah diri terpuji. Jadilah generasi yang mampu mendokong tamadun ummah dan negara. Bangkit menjadi golongan bermanfaat kepada orang lain dan memberikan pengaruh baik dalam lingkungan sekitarnya serta sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Moga segala usaha untuk menghancurkan Islam dapat dikalahkan dan isu murtad ini dapat diselesaikan. Contohilah peribadi Hassan Al-banna yang memimpin gerakan Ikhwanul Muslimin ketika berusia 23 tahun.

BELIA & BELIAWANIS HARAPAN NEGARA, TONGGAK PEMBANGUNAN UMMAH!

Rujukan-rujukan:

  1. Ann Wan Seng (2009). MURTAD JANGAN PANDANG SEBELAH MATA. Must Read Sdn Bhd
  2. Prof. Dr. Sidek Baba (2006). KECELARUAN IDENTITI REMAJA BANYAK SEBABNYA dipetik daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0119&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_02.htm&arc=hive&arc=hive
  3. Wan Mohd Ruzlan Wan Omar. Belia Hebat, Cemerlang Mesti Bijak Pilih Rakan dipetik daripada, www.mukmin.com.my/baca.php?kategori=12&id=1361

 

Nor Syakira Kasim
Ketua Beliawanis
PEMBINA Kedah

1 thought on “HIMPUN: Muhasabah masalah aqidah dan kecelaruan identiti belia”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top