Hilangkah dahagaku?

Satu hari ketika cuaca panas terik, aku yang baru sahaja pulang dari kuliah, terus masuk ke bilik lalu baring di atas katil akibat kepenatan yang amat sangat. Tekakku berasa begitu kering akibat bahang panas yang mengurangkan kandungan air di dalam badanku. Dari atas katil, kulihat sebotol air minuman berdiri tegak di atas mejaku. Kini aku mempunyai dua pilihan untuk menghilangkan dahaga yang melanda diriku.

1.    Sekadar melihat botol air tersebut dari atas katilku dan berharap air tersebut akan datang sendiri kepadaku, dan masuk ke dalam tekakku lalu hilanglah dahagaku;
2.    Atau aku sendiri yang berusaha untuk bangun dari katilku, lalu pergi mendapatkan botol minuman lalu diminum dan membasahkan tekakku.

 

Tiada pilihan

Apakah benar dalam situasi di atas terdapat dua pilihan untuk “si aku” menghilangkan kehausan? Sebenarnya “si aku” dalam situasi di atas tiada sebarang pilihan melainkan dia memilih pilihan yang kedua, iaitu berusaha sendiri untuk mengambil botol tersebut dan meminum airnya.

Hanya mungkin jika terdapat keajaiban, botol air tersebut mampu dengan sendirinya mendatangi “si aku” dan secara sendirinya menuang air ke dalam tekaknya. Namun, jika difikirkan secara logik akal, perkara tersebut mustahil berlaku.

Begitulah sebenarnya realiti kehidupan yang perlu dilalui oleh seorang belia yang bergelar Muslim. Usaha itu adalah sesuatu perkara yang wajib dilaksanakan untuk mencapai sesuatu. Sedangkan si semut, sanggup berusaha memanjat bekas air yang manis untuk merasai kemanisan air tersebut, walaupun pada akhirnya si semut mati akibat kelemasan. Inikan pula kita, manusia berakal yang secara lumrahnya dicipta sebagai sebaik-baik kejadian oleh Allah, seharusnya mampu untuk berusaha dengan lebih dalam mengecap kemanisan hidup.

Janganlah hanya berangan-angan untuk mengecap sesuatu kemanisan, tetapi tidak mahu sesekali berusaha untuk mengharungi kepahitan. Namun, usaha yang telah dilaksanakan harus bersandarkan kepada kebergantungan kepada Allah SWT. Kerana setiap perancangan kita, hanya Allah lah yang berhak menentukan hasilnya. Janganlah kita berputus asa dengan keputusan Allah sekiranya ia tidak seperti yang kita harapkan, sebaliknya, anggaplah ia sebagai dugaan dari Allah untuk menguji keimanan hamba-Nya. Sesungguhnya, Allah tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya tetapi Allah mempunyai perancangan yang terbaik yang telah direncanakan untuk setiap insan yang bergelar Muslim.

Ayuh, berusahalah wahai belia andai kamu impikan kegemilangan Islam dikembalikan….!!!


Mohd Syahrul Zaman Zakaria
JK PUPUK
PEMBINA Perlis

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top