Zainuddin Ghafar
Biro Da’wah & Penerbitan
Di sepanjang minggu ini ada beberapa perkara menarik yang mengetuk sanubari saya. Dalam satu wawancara di Radio 24 beberapa hari yang lalu, kanak-kanak pintar, adik Adi Putra secara spontan telah menyeru umat Islam agar bersatu untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Awang Selamat dalam ruangan bisik-bisik mingguan dalam akhbar Mingguan Malaysia Ahad lepas turut membawa fenomena yang sama. Seorang budak berusia 12 tahun, Ros telah menghubungi beliau setelah melihat gambar mayat kanak-kanak perempuan yang hanya nampak kepala di celah runtuhan rumahnya yang musnah dibom tentera Zionis. “Pakcik, kenapa kita semua tidak boleh selamatkan budak tu? Kenapa dia mesti mati macam tu? Kenapa adik rasa macam nak ganti tempat dia?” Selepas kata-kata itu, Ros kedengaran menangis teresak-esak dan terdengar juga suara tangisan bapanya. Adakah keperihatinan mereka semua ini hanya satu kebetulan atau pun fenomena terpinggir ?
Kisah-kisah di atas lebih mengharukan lagi apabila saya sendiri sempat menyaksikan Rapat Umum “Save Gaza” yang telah berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 10hb Januari 2009 yang lepas. Subhanallah..Adalah amat jelas sekali bahawa majoriti daripada 10,000 orang hadirin yang hadir adalah mereka yang selayaknya digelar belia.
Satu kesedaran yang timbul dalam diri ialah belia kita bukanlah seburuk yang disangka.Belia yang selama ini dilabelkan dengan pelbagai masalah. Gejala negatif seperti dadah, pergaulan bebas, mat rempit, keciciran pelajaran,pengangguran dan sebagainya bagaikan sudah melekat kuat sebagai “trade mark” kepada manusia yang bernama belia. Yang lebih malang lagi mereka ini adalah mereka yang menganut agama Islam yang sentiasa menyeru umatnya menjadi manusia yang terbaik dalam masyarakat. Sesungguhnya hari ini membuktikan bahawa tidak semua yang negatif itu adalah belia.Nun di sana masih ada lagi sekelompok belia yang prihatin terhadap nasib saudara seagama mereka.. Bukankah sikap prihatin itu lambang wujudnya kesedaran mereka untuk memikul beban tanggungjawab yang lebih besar??..
Maka benarlah kata-kata Muhammad Ahmad Ar Rasyid di dalam bukunya al-Muntalaq(Di Sini Bermula)
“Janganlah kamu merasa lemah dan terpedaya apabila melihat kerosakan yang nyata dan kejahatan yang menjalar di sana-sini.Sesungguhnya masih ramai lagi umat Islam yang baik di antara mereka yang kamu anggap jahat. Tetapi golongan yang jahat walaupun sedikit, amat berani mengibarkan bendera kejahatan menyebabkan orang jahat dari umat ini berhimpun di bawah naungannya. Golongan baik pula lari dan tidak bergabung. Sekiranya bendera kebaikan dikibarkan, tentulah mereka yang baik-baik itu berlumba-lumba mengikutinya. Ini akan mendiamkan suara golongan jahat, melemahkan kemampuan mereka dan menghapuskan kekuatan mereka.”
Sesungguhnya tiada manusia yang tidak ada kebaikan dalam dirinya. Betapa besar pun kejahatannya, masih terpendam di dalam jiwanya rasa rindu kepada kebenaran dan kebaikan.
Masih ada sinar harapan untukmu Malaysia.!!! Ayuh ahli-ahli PEMBINA, terus kibarkan bendera kebaikan kamu agar semua manusia bernaung di bawahnya..