Hak Asasi Manusia : Antara Perspektif Silam dan Konsep Sekular

Hak Asasi Manusia (HAM) adalah satu daripada subjek wajib faham dalam usaha kita menaklik tindak-tanduk dan kecenderungan banyak perkara yang berlaku kebelakangan ini. Tidak terhad pada ruang lingkup individu, keterlibatan frasa HAM banyak juga mempengaruhi pertubuhan, pergerakan NGO, program-program kemasyarakatan dan lanskap sosio-masyarakat terutamanya di Malaysia sendiri.

Umumnya, Hak Asasi Manusia boleh difaham sebagai, takrifan hak-hak individu atau kumpulan individu semata-mata kerana dia adalah manusia [1]. Hak- hak ini haruslah hadir tanpa mengira suku, bangsa, agama, jantina, umur dan lain-lain. Hak ini bersifat universal dan boleh diterapkan oleh siapa pun.

Melatari silam Hak Asasi Manusia.

Perjuangan sehingga teriktirafnya Hak Asasi Manusia acuan barat seperti yang sedia ada kini adalah satu perjalanan yang sangat panjang. Sejarah paling dekat dengan perjuangan ini adalah realiti siri-siri peristiwa yang berlaku di eropah pada masa lampau. Bibit–bibit ini dipercayai bermula pada seawal 3 abad yang lalu. Dalam memberi gambaran jelas hak asasi hari ini eloklah jika dapat dahulu digambarkan perkembangan senario yang signifikan tentang hak asasi manusia sebelum ini.

 Peristiwa Magna Charta (Piagam Agung, 1215)

Magna Charta merupakan dokumen yang mencatat beberapa hak yang diberikan oleh Raja John dari Inggris kepada beberapa bangsawan dan rakyatnya. Peristiwa yang mendasari termeterai perjanjian ini adalah penindasan yang dilakukan oleh Raja John terhadap golongan diperintah hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan mereka memberontak. Akhirnya persetujuan dimeterai, antaranya :

  1. Raja berserta keturunannya berjanji akan menghormati kemerdekaan, hak dan kebebasan Gereja.
  2. Raja berjanji kepada penduduk untuk member hak-hak seperti :
  • Para petugas keamanan akan menghormati hak-hak penduduk.
  • Polis tidak menahan sesesorang tanpa bukti yang sah dan saksi
  • Seseorang tidak akan ditahan, ditangkap dan dinyatakan bersalah tanpa alasan.

Piagam ini secara tidak langsung membataskan kekuasaan raja dan hak asasi manusia ketika itu lebih penting daripada kedaulatan raja.

 Bill of Rights (Undang-undang Hak, 1689)

Bill of Rights adalah undang-undang yang telah diterima oleh Parlimen Inggris sebagai hasil tentangan terhadap Raja James II dalam revolusi tak berdarah (The Glorious Revolution of 1688).

Penggubalan undang-undang ini adalah didasari dengan prinsip (Equality before the Law) atau asas persamaan hak bagi setiap manusia. Mereka sangat percaya bahawa hak kebebasan hanya akan wujud apabila hak persamaan dapat diwujudkan terlebih dahulu dalam sistem masyarakat ketika itu.

Antara Isi penting Bill of Rights:

  1. Kebebasan dalam memilih anggota parlimen
  2. Kebebasan bersuara dan memberi pendapat
  3. Hak warganegara dalam memilih agama masing-masing
  4. Parlimen berhak mengubah keputusan Raja

Hak Asasi Manusia dan Revolusi Amerika Syarikat

Hak Asasi Manusia di Amerika Syarikat (United State of America) pula mempunyai sejarah silam tersendiri dalam perjuangan hak asasi manusia (HAM) . Sejarah gerakan ini dipelopori oleh tokoh pemikir terkemuka John Locke(1632-1704)dengan idologi “Individualisme” yang dicerap masuk dalam masyarakat pada ketika itu. Locke berpendirian bahawa manusia dilahirkan dengan hak-hak semula jadi yang tidak boleh dipisahkan selaku seorang manusia, prinsip ini dipanggil (Natural Law).

Idea “Individualisme” ini juga telah lama-kelamaan berkembang dan menjadi inspirasi kepada pembentukan hak-hak sivil dan politik. Perjuangan John Locke banyak merumuskan prinsip-prinsip penting yang menjadi pegangan masyarakat hingga tercetusnya Declaration of Independence of United States (1776) hasil daripada Revolusi Amerika. Antara prinsip hak individu adalah hak untuk hidup, kebebasan dan kebahagian. Piagam ini telah mengangkat hak individu dalam kandungan kenyataannya “Bahawa sesungguhnya semua bangsa diciptakan sama darjatnya oleh Pencipta dan mereka dianugerahkan oleh Penciptanya dengan hak untuk hidup, kemerdekaan, dan kebebasan untuk menikmati kebahagian”.

Rumusannya, Declaration of Independence of United States (1776) telah mengangkat hak asasi manusia difahami dengan hak individualisme dan perlindungan hak asasi manusia juga dilindungi oleh perlembagaan dalam Negara dan pemerintah Amerika Syarikat, ini adalah satu revolusi baru dalam sejarah hak asasi manusia yang dilihat sentiasa berkembang.

Seterusnya perkembangan hak asasi manusia di Amerika tidak terhenti di situ sahaja bahkan pada abad ke 20, Presiden AS Franklin D. Roosevelt merumuskan HAM kepada “empat teras kebebasan” semasa ucapan Kongres Amerika Syarikat pada 1941 :

  1. Freedom of Speech ( Kebebasan Bersuara)
  2. Freedom of Religion (Kebebasan Beragama)
  3. Freedom of Fear (Kebebasan daripada Ketakutan)
  4. Freedom of Want (kebebasan daripada Kemelaratan)

Hak Asasi Manusia dan Revolusi Perancis

Perjuangan melawan kezaliman berterusan golongan yang ditindas di Perancis pada lewat abad ke 17 telah membawa kepada termeterainya Declaration des droits l’home et du citoyen (Pernyataan Hak-Hak Manusia Dan Warga Negara, 1789) yang terhasil daripada Revolus Perancis. Deklarasi ini secara lantang membawa masyarakat untuk mempertahankan hak- hak :

  1. Liberty (Kebebasan)
  2. Egalite ( Kesamaan)
  3. Fraternite (Persaudaraan)

Akhirnya Assemble National Perancis telah memasukkan prinsip-prinsip ini di dalam perlembagaan Perancis pada tahun (1791) sebelum diperluas lagi pada tahun 1793 dan 1848.

Secara ringkas, apa yang disenaraikan di atas adalah merupakan sejarah perkembangan Hak Asasi Manusia di Eropah. Namun ini tidaklah menafikan perkembangan perjuangan dan deklarasi moden Hak Asasi Manusia seperti The League of Nations Conventions to Suppress the Slave Trade and Slavery daripada The League Of Nations 1926 yang juga memainkan peranan dalam isu HAM Eropah serta banyak lagi deklarasi –deklarasi lain.

Berdasarkan segala lataran silam Hak Asasi Manusia acuan barat, ia boleh dilihat mempunyai ciri-ciri berikut :

Bersifat reaktif terhadap sesuatu latar atau senario yang berlaku. (contohnya ; penindasan, kebangkitan rakyat dan Revolusi) akhirnya membawa kepada perjuangan Hak Asasi Manusia.

Ia mengembang dan tidak ada asas yang rigid (kukuh) kerana perjuangan HAM pada setiap abad di masa silam mempunyai isu yang berbeza, akhirnya konteks perjuangan HAM juga bertambah dan berkembang.

Hanya menepati kehendak manusia (individualistik) pada sesuatu perkara dan menafikan unsur-unsur sosial lain, sejarah, masyarakat dan agama.

Sekular, kerana tida unsur agama dan campur tangan Gereja (di barat).

Hak Asasi Manusia Barat juga bukanlah perjuangan holistik yang di akar umbikan seluruh dunia kerana hanya melibatkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Eropah khususnya.

Hak Asasi Manusia dan PBB

Isu Hak Asasi Manusia ini ternyata tidak larut dek perkembangan zaman, ia seakan-akan diberi satu nafas baru apabila meletusnya Perang Dunia ke 2 (1939). Barat berjaya memperlihatkan peristiwa penindasan oleh tentera NAZI ke atas Yahudi di Perang Dunia ke 2 ini merupakan pencabulan paling radikal terhadap Hak Asasi Manusia yang telah sekian lama diperjuangkan. Barat juga berjaya mencorak “permikiran selari” masyarakat dunia bahawa penindasan terhadap hak-hak manusia (spt kebebasan bersuara, individu, hidup bahagia, kesamarataan) benar-benar dicabul dan tidak dipatuhi semasa berlakunya perang, dalam senario ini Yahudi sebagai mangsanya.

Pengajaran daripada peristiwa perang ini telah menampakan tiada penstukturan yang konkrit dalam pemahaman negara-negara di dunia ini untuk memelihara hak asasi manusia. Ia mudah dicabul kerana tiada garis panduan, tiada kefahaman secara umum, dan tiada undang-undang untuk mengawalnya.

Maka rencana disusun rapi tatakala usai tamat Perang Dunia ke 2, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Commission of Human Right telah bersidang pada tahun 1946 buat kali pertamanya untuk membicarakan tentang isu-isu hak asasi dengan lebih serius. Hasilnya 2 tahun kemudian, tanggal 10 Disember 1948 sidang PBB dengan sokongan persetujuaan 48 negara, 0 tidak bersetuju dan 8 negara berkecuali telah meluluskan Perisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Right).

Universal Declaration of Human Right (UDHR) digagaskan atas prinsip hak-hak sebagai manusia antaranya hak untuk:

  1. Hidup
  2. Kemerdekaan
  3. Memeluk agama mengikut kepercayaannya
  4. Mengerluarkan pendapat
  5. Berkumpul dan berhimpun
  6. Mendapat perkerjaan
  7. Jaminan sosial dan lain-lain.

Semenjak dari itu, UDHR diumpamakan rujukan khusus dalam perbincangan Hak Asasi Manusia di dunia semasa. Walaupun dinamakan ‘sejagat’, namun ia sebenarnya terhasil daripada aliran persejarahan dan pengalaman yang dialami Dunia Barat sepanjang tiga abad lepas, dan diwajarkan oleh sesuatu falsafah berasaskan faham manusia yang bersifat individualistik[2]. Fakta ini telah secara tidak langsung menggambarkan bahawa UDHR ini merujuk kepada dua cir-ciri yang utama iaitu (i) tidak benar-benar mewakili keseluruhan manusia, (ii) ia bersifar sekular.

Secara timbang tara yang jelas konsep HAM yang menegahkan prinsip (human-rightism/ individualisme) ini sebenarnya sudah terkeluar daripada agama. Mana-mana agama sekalipun baik secara khusus mahupun umum, agama dibina dengan prinsip , dan nilai tertentu maka bukanlah bersifat human-rightism semata-mata malah ada ketikanya human-rightism sendiri berlawanan dengan pandangan keagamaan.

Selain itu juga, mengambil kira asal usul dan orientasi deklarasi ini dan kecenderungan barat yang merujuk konsep dan doktrin Deklarasi UDHR sebagai rujukan Piagam agung dan model tuntas tentang konsep kesamaan (equality ) dan kebebasan (liberty) untuk seluruh manusia, ia adalah sesuatu yang boleh mengundang pelbagai persoalan[3].

 HAM dan Perseptif Sekular Global [4]

Seperti yang digambarkan sebelum ini bahawa doktrin penggubalan UDHR adalah berdasarkan pengalaman sejarah pahit masyarakat eropah terhadap pengamalan hak asasi manusia dalam kalangan masyarakat mereka dahulu, ia bertambah parah tatkala sejurus tamat Perang Dunia ke 2 yang melihatkan keganasan tentera Nazi dalam mencabul hak asasi manusia ketika perang.

aidil

Akhirnya di dasari peristiwa penting ini dan semangat kesedaran rakyat eropah, PBB dengan langkah prograsif telah meraktifikasi beberapa dokumen HAM antaranya :

1. Universal declaration of Human Right UDHR 1948
2. International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR, 1976)
3. International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR,1966)

Ketiga-tiga dokumen penting ini dinamakan sebagai The International Bill of Rights (IBR) dengan UDHR sebagai dokumen induknya. Dalam larasan Deklarasi IBR, tiada satu pun autoriti tertinggi yang bertindak sebagai ‘ controlling principle’ yang menjadi garis panduan di dalam kesemua dokumen ini, yang ada hanyalah undang-undang berbentuk sekular ciptaan manusia yang pastinya meminggirkan Tuhan. Semua peruntukan digubal berdasarkan rasionaliti akal manusia semata-mata berdasarkan falsafah humanisme sekular “man is the measure of all things”. Antara contoh peruntukan yang berlawanan dengan ajaran fundamental agama Islam di dalam IBR :

  • Artikel 16 (1), UDHR – “ Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family”
  • Artikel 18, UDHR – “ Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion of belief and freedom either alone or in community with others and in public or private to manifest his religion of belief in teaching, practice , worship and observance.
  • Artikel 18 (2), ICCPR – “ No one shall be subject to coercion which would impair his freedom to have or adopt a religion or belief of his choice.

Justeru, human-rightism dalam perspektif antarbangsa adalah berasaskan falsafah humanisme yang memainkan peranan utama dalam (i) menyingkirkan nilai-nilai agama dan (ii) penentangan terhadap kemutlakan kuasa politik.

Maka boleh difaham bahawa HAM dalam perseptif ini mempunyai keterikatan yang sangat longgar dan tidak mempunyai prinsip yang teguh lagi-lagi tatkala meminggirkan peranan agama dalam penilaian Deklarasi IBR ini. Tidak mustahil masanya akan tiba apabila keinginan manusia berubah dengan tuntutan semasa dan zaman yang berubah, prinsip HAM ini juga akan berubah tanpa kawalan. Apakah sebenarnya yang diperjuangan HAM? Adakah hanya patuh pada keinginan humanisme dan nafsu manusia sahaja tanpa nilai dan prinsip agama? Bagaimana pula percanggahan nilai Agama Islam yang dibina dengan prinsip Akidah, Ibadah, dan Syariat yang ketat untuk mengawal manusia bertembung dengan Prinsip Hak Asasi Manusia yang menjaja kebebasan hak manusia tanpa kawalan? Apakah pendirian kita sebagai seorang manusia yang beragama Islam?

Bersambung . .

[1] Burns H Weston, “ Human Right” , The New Encylopaedia Brintannica
[2] Riffat Hassan, “ Are human Right Compatible with Islam”
[3] Dr Wan Azhar Wan Ahmad, “ Faham Hak Asasi Manusia : Pemurnian Beberapa Kata Kunci Utama”
[4] Dr Wan Azhar Wan Ahmad, “ Faham Hak Asasi Manusia : Pemurnian Beberapa Kata Kunci Utama”

Penulis :

Muhammad Aidil Idham bin Sharom,
Pengerusi PEMBINA Ipoh

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top