Gerakan Mahasiswa Islam perlu bersatu menolak fahaman Liberal

 

Bangi, 19 Mei- “Gerakan-gerakan mahasiswa Islam diseru untuk menolak fahaman Liberal dan menyekat dari fahaman ini meresap kepada perjuangan mahasiswa”, itulah yang ditegaskan oleh saudara Uzair Izzat Amir bin Muhammad, Jawatankuasa Politik Kampus sewaktu perbentangan di Dialog Student Power: Radikal atau Rasional semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Peranan Gerakan Mahasiswa Islam dalam Menangani Kelesuan Mahasiswa dan Meneraju Arus Mahasiswa”.

Menurut beliau, “sejarah perjuangan mahasiswa Islam sentiasa meletakkan Islam sebagai paksi perjuangan. Namun jika dilihat kini, ada segelintir mahasiswa yang berjuang diatas nama kebebasan dan hak tanpa merujuk kembali kepada Islam. Jika sekalipun objektif perjuangan itu selari dengan Islam, namun adakah cara pelaksanaannya bertepatan dengan kehendak syara’.”

Merujuk kepada senario hari ini, saudara Uzair menyatakan kerisauan beliau terhadap ‘trend’ mahasiswa yang bersikap melampau ketika berdemonstrasi. Mengambil contoh ketika demonstrasi pemansuhan PTPTN di Dataran Merdeka, selepas mahasiswa berarak mereka telah mendirikan khemah-khemah di Dataran Merdeka yang mana telah melanggar undang-undang yang diperuntukan. Maka pihak DBKL mengambil langkah untuk berbincang dan meruntuhkan khemah-khemah tersebut. Namun berlaku tindakan mahasiswa yang bertindak ‘kurang ajar’ dengan menghalang dan memperlekehkan tindakan pihak berkuasa tersebut. Lalu menjadi tanda tanya kepada kita, adakah cukup berbekalkan Hak dan Kebebasan untuk mahasiswa bertindak luar daripada norma-norma adab Melayu dan syakhsiah Islamiah.

“Fahaman Liberal akan sentiasa bercanggahan dengan ajaran Islam. Hujah yang pertama ialah kerana Islam merupakan cara hidup yang ditujukan ibadah hanya kepada Allah SWT manakala Liberal akan sentiasa tunduk kepada kehendak hawa nafsu. Hujah yang kedua pula Islam mempunyai sistem yang telah ditetap berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala Liberal berubah-ubah mengikut selera dan hawa nafsu manusia. Dengan dua pertembungan ini jelas membezakan antara ajaran Islam dan fahaman Liberal.” tegas Uzair lagi.

Oleh itu PEMBINA menyeru kepada gerakan-gerakan mahasiswa Islam agar:

  1. Kembali kepada neraca Islam dalam melihat sesuatu isu atau tindakan.
  2. Memperkukuhkan pergerakan agar tidak dipengaruhi fahaman Liberal yang akan mengubah halatuju perjuangan mahasiswa Islam.
  3. Membina tahap politik kepartian yang berkadar agar lebih berperanan sebagai ‘check and balance’.
  4. Kembali kepada kesepakatan mahasiswa Islam yang bersifat membangun.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top