Demi Masa




Bumi Palestin yang berdarah kini kembali mencuri tumpuan dunia. Sehingga saat ini, jumlah korban telahpun mencapai jumlah 510 orang dan lebih 2000 orang tercedera termasuk orang awam dan kanak-kanak. Pastinya kita sedia maklum 1001 cerita  dan kisah derita saudara seakidah kita yang terpampang di dada-dada akhbar dan tersiar di media massa tempatan mahupun antarabangsa. Sebanyak itu jugalah iktibar dan pengajaran yang sepatutnya kita kutip dari peristiwa hitam ini.

Salah satunya yang begitu menarik perhatian saya ialah bagaimana HAMAS yang berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanahair, dan yang lebih penting mempertahankan  Islam dari pencerobohan tentera Yahudi yang terlaknat.


Menariknya, pemimpin-pemimpin tertinggi gerakan ini masih mampu memimpin dan menyusun ahli-ahlinya, mengeluarkan arahan dan mencatur strategi peperangan serta membuat kenyataan melalui rakaman video dalam keadaan bersembunyi lantaran diburu habis-habisan oleh tentera regim Israel. Malah mereka masih mampu meluangkan masa menziarahi keluarga ahli-ahli yang syahid untuk mengucapkan takziah dan menghulurkan bantuan. Ingat, mereka melakukan semua ini tanpa menggunakan telefon bimbit, internet dan kereta bagi mengelakkan dikesan oleh musuh-musuh Allah!

Dan saya percaya, strategi dan kemampuan yang mereka paparkan hari ini bukan hadir secara tiba-tiba, malah merupakan natijah dari latihan berorganisasi, disiplin diri serta budaya kerahsiaan yang panjang lagi sukar.

Soalan saya, bagaimana pula nanti jika kita berada di tempat mereka? Mampukah kita mempamerkan prestasi yang sama jika elemen paling penting dalam disiplin diri dan organisasi pun tidak mampu kita patuhi. KETEPATAN MASA!

Hari ini, budaya ketepatan masa kita lihat hidup subur dan mewangi di negara-negara Barat dan juga Jepun yang mana majoriti penduduknya adalah bukan Islam. Malangnya, budaya ini hampir tidak ada ataupun seakan hidup segan mati tak mahu di negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam termasuklah Malaysia. Walhal, Islam sangat menekankan ketepatan masa seperti yang dinukilkan dalam Surah Al-ʽAsyr. Kehidupan junjungan besar Rasulullah s.a.w yang merupakan ketua negara, general perang, ketua keluarga, ketua spiritual dan guru kepada seluruh ummat manusia sendiri membuktikan kepada kita disiplin dan pengurusan masa efektif yang diamalkan baginda. Begitulah seterusnya, budaya ini diwarisi oleh para sahabat, tabiʼin dan pejuang Islam kontemporari.

Bagaimana pula dengan kita?

Bagi Wang Hao dari China yang merupakan pemain ping pong nombor 1 dunia, setiap saat adalah sangat berharga kerana kelewatan pergerakan walau sesaat beerti kekalahan.

Lain pula ceritanya bagi Usain Bolt yang merupakan manusia terpantas di dunia. 0.01 saat sangat bernilai buat dirinya. Manakan tidak, larian 100 meter di bawah catatan masa 9.69 saat akan memecahkan rekod dunia dan terus  menobatkannya sebagai jaguh di persada marcapada.

Lebih hebat lagi Lewis Hamilton yang merupakan juara F1 musim lalu. 0.001 saat menjadi nilaian kerana detik masa tersebut menjadi penentu kejuaraan dalam perlumbaan serba pantas ini.

Benar, kita tidak perlu menjadi setepat mereka. Tapi sekurang-kurangnya kita perlu menghargai setiap minit yang berlalu dalam hidup kita.

Bersempena Awal Muharram 1430H dan Tahun Baru 2009 yang masih belum jauh meninggalkan kita, marilah sama-sama kita berazam untuk mengoreksi dan membaiki diri ke arah menepati masa dalam segenap aktiviti harian. Jika kita telah berjanji jam 9 pagi, pastikan kita hadir tepat jam 9. Rasanya masih boleh diterima jika anda lewat 10 milisaat ataupun 10 saat, tapi janganlah terlewat sehingga jam 10!

Selamat bermuhasabah.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top