Benarkah mahasiswa Melayu hari ini lesu?

Saya telah diajukan satu soalan oleh saudara moderator pada Forum Seminar Krisis Identiti Belia 2012 yang diadakan di Dewan Besar, Pejabat Agama Islam Daerah Kemaman pada 15 Julai yang lalu iaitu “Sejauh mana kebenaran yang menyatakan bahawa kita sedang berhadapan dengan fenomena mahasiswa lesu”.

Mahasiswa masa kini yang rata-rata terdiri daripada golongan belia, dipilih untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara berdasarkan ‘academic merit’ melalui peperiksaan-peperiksaan. Peperiksaan-peperiksaan ini merupakan tapisan bagi menentukan hanya mereka berkelayakkan sahaja diterima dan berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Keadaan ini menimbulkan suasana persaingan yang hebat di kalangan pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di dalam bidang pengajian yang menjadi tumpuan seperti perubatan dan kejuruteraan di universiti-universiti terbaik dalam dan luar negara.

Mahasiswa adalah sinonim dengan belia atau pemuda. Mahasiswa sentiasa dikaitkan dengan suatu kelompok penuntut ilmu yang dahagakan ilmu pengetahuan dan berkeinginan mempelajari ilmu-ilmu baru. Golongan ini sentiasa bersemangat dalam mengejar cita-cita yang diidamkan dan ingin mencari kebenaran kepada yang diyakininya. Dikalangan mereka, terdapat kumpulan yang lebih prihatin di mana mereka akan mencari dan membina idealism perjuangan dan jatidiri dalam mempertahankan martabat diri, agama, bangsa dan negara.

Benarkah ciri-ciri ini bertakhta di hati, pemikiran dan tindakan majoriti mahasiswa Melayu di negara ini sekarang? Sebagai golongan terpelajar, di bahu mahasiswalah terletak harapan yang besar untuk mengambil alih amanah dan tampok kepimpinan agama, bangsa dan negara di masa hadapan. Jatuh atau bangunnya bangsa dan negara ini di masa hadapan bergantung sejauh mana mahasiswa yang ada sekarang bersedia untuk menjadi barisan pelapis yang kental dan memiliki jati diri yang utuh serta jelas dalam melayari agenda kehidupan.

Dari pengamatan penulis, sedar atau tidak, kita sedang berhadapan dengan fenomena mahasiswa Melayu lesu yang menyerang hebat IPTA dan IPTS. Kelesuan mahasiswa yang dimaksudkan di sini ialah mereka tidak dengan jelas menunjukkan tanda-tanda kesensitifan yang tinggi, berpemikiran kritis dan keaktifan yang membara yang selayakknya dihayati sebagai warga menara gading yang diidam-idamkan. Isu-isu besar dan kritikal yang sedang melanda Bangsa Melayu dan Umat Islam seperti perpecahan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik, Melayu murtad, gerakan kristianisasi Bangsa Melayu, Islam Liberal, pluralism agama, LGBT, perjuangan Hak Asasi Manusia yang dipelopori oleh Barat, bahaya ajaran Syiah, budaya hedonisme dan bermacam-macam lagi tidak berjaya mengetuk pintu hati mahasiswa untuk terjun bersama-sama dalam memberikan kesedaran dan berfikir bersama-sama dalam mencari jalan penyelesaian. Mahasiswa sekarang lebih disebukkan dengan perkara-perkara dan program-program yang remeh-temeh dan tidak fokus serta sering dipergunakan oleh golongan tertentu bagi mencapai sesuatu matlamat.

Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya bertajuk Generasi Muda dan Perubahan menulis: “Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda-pemuda ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar; Pemuda yang tiada berkeperibadian, bersikap seperti kera; Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang; Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan; Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; Tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.”

Mahasiswa hari ini sebenarnya adalah produk daripada satu sistem pendidikan yang jelas tidak mampu melahirkan seorang individu Muslim yang jelas kefahamannya tentang Islam. Mereka teraba-raba dalam menjalani kehidupan sebagai seorang mahsiswa Melayu Muslim. Dalam banyak keadaan berlaku pelanggaran tingkah-laku dan kesopanan yang tidak selari dengan ajaran Islam. Penjajahan oleh Bangsa Eropah yang  terdiri dari Portugis, Belanda dan Inggeris yang beragama kristian ke atas Tanah Melayu bersama-sama dengan kejatuhan Kerajaan Melayu Islam Melaka merupakan malapetaka besar kepada negeri-negeri yang diperintah oleh raja-raja Melayu.  Penjajah Kristian telah membuang Syariat Islam dari pemeritahan dan menukar sistem Pendidikan Islam yang berteraskan kepada mengenal Allah sebagai Rabb dan Ilah kepada sistem Pendidikan Sekular yang sama sekali tidak mengiktiraf ke Esaan Allah.

Sayyid Abul A’la Mawdudi dalam bukunya yang bertajuk Asas-Asas Islam menekankan kepentingan ilmu menulis: ”Islam terkandung di dalamnya yang pertama adalah ilmu dan yang kedua ialah bertindak berdasarkan ilmu yang ada.” Ilmu yang dimaksudkan oleh beliau ialah Ilmu Islam. Seterusnya beliau menulis: “Sehingga kamu mengetahui perkara asas dan penting ajaran yang bawa dibawa oleh Rasulullah SAW, bagaimanakah kamu akan mempercayainya, beriman dengannya dan bertindak selaras dengan apa yang diajar olehnya?” Selanjutnya beliau menulis: “Adalah jelas kejahilan seseorang mengenai Islam menyebabkan mustahil baginya untuk menjadi seorang muslim dan kekal sebagai seorang Muslim.”

Islam menuntut umatnya menegakkan syariat Islam bagi mengatur perjalanan kehidupan di muka bumi ini sesuai dengan kehendak Allah. Melalui pendidikan Islam, mereka memahami tugas dan tanggung jawab yang perlu dilakukan sebagai seorang Muslim. Mereka juga memahami keperluan menjaga kemurnian akidah, berakhlak mulia dan mengamalkan ibadah yang soheh. Masa mereka sentiasa dipenuhi dengan melakukan kebaikan dan mengingati Allah. Setiap sesuatu yang dilakukan adalah ibadah yang akan diberikan ganjaran oleh Allah dan tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

Fenomena kelesuan yang sedang melanda mahasiswa sekarang antaranya disebabkan oleh kelemahan sistem pendidikan sekaran. Ianya jelas tidak mampu meelahirkan seorang Melayu Muslim yang seimbang. Penjajahan yang berlaku berkurun lamanya menyebabkan hilangnya jati diri Bangsa Melayu, longgarnya pegangan Islam yang mereka anuti dan gagal melakar agenda hidup yang jelas. Mahasiswa hari ini tumpul dari pemikiran kritis, mudah mengalah sebelum mencuba, suka hidup di zon selesa, tidak sanggup menghadapi kepayahan dalam merancang dan melaksana sesuatu tugasan.

Pemikiran yang kritis dan kesungguhan yang tinggi adalah antara ciri-ciri kepemudaan yang mendarah daging dan sentiasa bergelora di dalam jiwa golongan belia. Pemikiran kritis ini akan sentiasa mempersoalkan kebaikan dan keburukkan yang akan timbul apabila sesuatu itu dilaksanakan dalam masyarakat. Di dalam kotak pemikiran dan tindakan mereka, kesejahteraan Bangsa Melayu dan ketinggian Islam menjadi agenda utama kehidupan. Mereka tidak akan sekali-kali merelakan martabat Bangsa Melayu dan Islam dipermainkan umpama barang murahan di pasar-pasar malam. Mereka akan sentiasa berada di barisan hadapan bersama-sama pejuang Islam lain bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan maruah Bangsa Melayu dan Islam bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang belia muslim yang bertanggung jawab.

Inilah antara cabaran besar menanti para pendakwah dalam usaha  menggerakkan kerja-kerja dakwah dan pembaikan di kalangan mahasiswa Melayu di negara ini. Mahasiswa di IPTA dan IPTS perlu segera dikejutkan dari lamunan dan ulitan mimpi-mimpi palsu dan kesenangan yang menipu. Mereka perlu segera diberikan kesedaran dalam memahami Islam yang syumul. Islam yang mencakupi persoalan aqidah, ibadah, akhlak, muamalah dan siasah.

Allah berfirman yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehingga mereka itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.” Surah Ar-R’ad:13

Peringatan Allah untuk para pendakwah: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berbincanglah dengan mereka itu dengan cara yang lebih baik.” Surah An-Nahl:125

Oleh itu tenaga mahasiswa perlu digerakkan dan selayaknya digunakan untuk agenda kebangkitan ummah dan Islam di Malaysia.

Oleh:
Prof. Dr. Azmi Md Nor
,
Pengerusi,
Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik)

sumber: Laman sesawang ismaweb.net

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top