Bekalan Dan Permintaan

Teori ‘supply and demand’ atau dalam bahasa ibunda bermaksud ‘bekalan dan permintaan’ merupakan  salah satu teori asas dalam bidang ekomoni. Formulanya mudah, peningkatan permintaan akan mengakibatkan kenaikan harga barang. Untuk mengimbangi keadaan tersebut, bekalan terpaksa ditingkatkan bagi memenuhi permintaan yang ada. Sebagai contoh, naik turun harga minyak mentah dunia adalah manifestasi teori ini.

Menariknya, teori yang sama turut berfungsi dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Baru-baru ini, saya terbaca satu statistik yang menunjukkan peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin dari negara luar ke Malaysia untuk tujuan tidak bermoral pada tahun 2009. Mengikut analisa tersebut, peningkatan yang berlaku pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya adalah atas faktor permintaan yang meningkat. Aplikasi mudah bagi teori ‘supply and demand‘.

Ya, statistik tersebut seharusnya mengundang rasa resah dan gundah, betapa masyarakat kita sedang menuju kepada keruntuhan moral yang kronik.

Namun begitu, masih ada sinar di hujung terowong bagi mereka yang mengimpikan kebangkitan ketamadunan Islam  dan kelahiran masyarakat madani yang berjati diri.

Mari kita lihat kepada fenomena yang melanda badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang wujud di tanahair kita yang tercinta, Malaysia. Realiti menunjukkan permintaan terhadap NGO-NGO Islam meningkat, lantas lahirlah pelbagai NGO di seluruh pelusuk negara bak cendawan yang tumbuh selepas hujan. Jelas, mengikut teori asas ekonomi yang difahami, kelahiran pelbagai NGO-NGO Islam terutamanya NGO belia ini tidak akan berlaku tanpa permintaan dari masyarakat umum yang sudah mula sedar dan ingin kembali kepada fitrah mereka yang suci. Ini merupakan suatu petanda positif yang perlu kita syukuri. Namun, usaha tidak seharusnya terhenti di situ. Masih banyak ruang kosong yang perlu diisi. Pengorbanan dan komitmen yang tinggi masih terus ditagih bagi meningkatkan lagi kefahaman massa terhadap Islam, membina generasi muda sebagai tunggak agama serta mendidik mereka dengan ajaran Islam yang sebenar.

Memahami hakikat tersebut, PEMBINA Melaka telah mula mengorak langkah awal  bagi merancang dan merencana pelbagai aktiviti dan program pada tahun hadapan demi mengisi kekosongan tersebut.  Insya-Allah program yang disajikan amat dekat dengan jiwa belia dan mampu bertindak sebagai pemangkin untuk pembinaan jatidiri serta pembentukan kualiti insan yang didambakan.

Antara aktiviti yang akan dianjurkan sepanjang tahun 2010 ialah Karnival Sukan Belia, Konsert, Explorace, Belia Masuk Kampung serta banyak lagi program-program menarik. Teruskan bersama kami. Bersama kita hidupkan aktivisme belia demi memenuhi inspirasi agama, bangsa dan negara.

Selamat Datang Tahun Baru 1431H dan 2010M!

Saudara Muhammad Lukman Al Hakim bin Muhammad
Presiden PEMBINA Cawangan Melaka.

Dipetik daripada:http://pembinamelaka.com/v1/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top