Kita tidak menggalakkan politiking di kalangan para pelajar universiti. Demonstrasi yang berunsur gimik, menghina dan ganas hendaklah dielakkan. Semua pihak perlu berunding dengan fikiran yang terbuka, jalankan siasatan untuk mengetahui punca masalah serta berbincang supaya masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Dalam hal ini Hal Ehwal Pelajar ( HEP ) perlu telus, non partisan dan memberi ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik kampus. Kecenderungan politik HEP tidak sepatutnya mempengaruhi tindakan yang diambil terhadap para pelajar. Pelajar juga jangan mengambil kesempatan atas kebebasan yang diberikan HEP. Tindakan yang diambil perlu menggambarkan kematangan sebagai mahasiswa.
Budaya politik kampus perlu berbeza dengan budaya politik semasa. Ianya dibina berdasarkan nilai-nilai murni yang sedia termaktub dalam norma kehidupan insan. Budaya politik yang tidak sihat seperti memburuk-burukkan antara satu sama lain dan cantas-mencantas adalah amalan yang tidak patut disuburkan. Ia menggambarkan moral mahasiswa yang rendah. Sebaiknya pihak-pihak yang bertanding mengemukakan agenda pembangunan siswa, pemuliharaan kampus serta mengamalkan budaya saling hormat-menghormati.
Pepatah ada menyebut, ‘ Pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara. ‘ Jangan biarkan harapan hanya tinggal janji dan tiang runtuh tanpa ada pengganti. Jadikan kampus medan melahirkan pemimpin yang berkualiti.