Apa Mahasiswa Buat Sampai Ramai Menganggur?

Benarkah ramai siswazah hari ini menganggur. Kenapa?

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan pada suku pertama 2019, negara merekodkan seramai 516,600 penganggur. Pada masa sama, seramai 238,286 penganggur termasuk 174,327 siswazah, mendaftar sebagai pencari kerja aktif dengan JobsMalaysia di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung (Berita Harian, 7 Julai 2019).

Apa akan jadi pada negara 30 tahun ke 50 tahun akan datang jika gaya kebolehpasaran siswazah hari ini seolah-olah tiada masa depan?

Dalam hubungan ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), sebuah persatuan mahasiswa yang bergerak di lebih 80 kampus seluruh Malaysia melihat isu ini sebagai isu yang sangat serius kerana ia melibatkan masa depan kepimpinan negara.

Apabila dirungkai isu ini, ia boleh dipecahkan kepada beberapa faktor iaitu ianya bermula dengan mahasiswa yang tidak memainkan peranan yang sebenar ketika berada di alam universiti.

Mereka tidak menggunakan masa yang ada di kampus untuk menggarap pelbagai kemahiran dan menambah nilai pada personaliti diri.

Mahasiswa hari ini lebih ramai duduk di ruang bilik berbanding turun beraktivisme bersama masyarakat. Mahasiswa hari ini lebih selesa berdiam diri berbanding perah otak habis-habisan untuk membantu selesaikan isu-isu di kampus. Mahasiswa hari ini lebih sibuk bersama gajet masing-masing berbanding berbincang dan berbahas bersama pensyarah.

Jadi, mahu salahkan siapa jika isu pengangguran ini masih tidak selesai?

Masih mahu tuding jari pada orang lain atau kembali pada diri sendiri untuk bangkit dan buat perubahan?

Dalam masa sama, tidak dinafikan pihak universiti dan pensyarah perlu menjadikan ruang kampus sebagai tempat melahirkan pemimpin, membantu mahasiswa membangunkan diri walau terpaksa berkorban harta dan masa.

Di sini kami gariskan beberapa cadangan kepada pelbagai pihak sebagai pemerkasaan kebolehpasaran siswazah atau lebih mudah disebut sebagai “mahasiswa laku” pasca graduasi baik dari kalangan B40 mahupun yang lain.

Pertama, pihak kerajaan perlu menggariskan bidang kritikal yang diperlukan negara mengikut unjuran 30 tahun ke hadapan. Ini supaya pelajar boleh membuat pilihan yang tepat sebaik selesai keputusan SPM, bukan hanya menyambung pelajaran dalam bidang yang sudah tentu tiada masa depan.

Mereka tidak didedahkan dengan lebih baik apakah key area negara untuk membantu memilih kerjaya mengikut fokus kerajaan.

Sebagai contoh sewaktu Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Badawi menyatakan fokus kerajaan dalam bidang pertanian dan bioteknologi telah mendorong kemasukan ke dalam bidang ini dan membuka peluang pekerjaan yang banyak.

Pihak kerajaan juga boleh menggariskan pecahan peratus pengangguran mengikut bidang supaya mahasiswa tidak perlu lagi “terjun” ke bidang tersebut. Banyak lagi bidang lain yang ada tapi tidak dipopularkan.

Kedua, kami turut bersependapat dengan pandangan yang dikeluarkan oleh En Anuar Ahmad, Pensyarah UKM yang mencadangkan untuk diwujudkan course minority bagi setiap mahasiswa. Ini setidak-tidaknya menambah nilai pada seorang siswazah dengan memiliki dua sijil kelulusan secara tidak langsung.

Dasar pembangunan negara perlu mengambil kira keseimbangan antara bidang sains sosial dan juga sains tulen.

Ketiga, siswazah perlu terbuka untuk menukar minda daripada job seeker kepada job creator. Situasi sekarang tidak boleh menjamin masa depan kerjaya kepada seseorang, maka jika ada peluang untuk mencipta pekerjaan, mengapa tidak?

Ini secara tidak langsung dapat membantu menyelesaikan lebih ramai siswazah yang terlibat dalam isu pengangguran, dengan mengambil mereka bekerja.

Siswazah hari ini perlu melihat bahawa masa depan kerjaya bukan hanya ada pada sektor kerajaan, tetapi ianya juga wujud pada sektor swasta, sektor NGO mahupun sektor perniagaan.

Tulisan ini bukan bertujuan merendahkan kedudukan dan martabat mahasiswa, siswazah, pensyarah mahupun universiti, tetapi untuk melonjakkan lagi peranan yang perlu dimainkan di setiap lapangan universiti. Ini kerana universiti adalah untuk komuniti.

 

Muhammad Hanafi Md Muidnudin

Naib Presiden 3 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).