Anda pasti pernah berjalan-jalan di sekitar bandar raya atau pernah membelek majalah hiburan kesukaan bukan? Perasan atau tidak, menjadi satu fenomena di seluruh dunia ketika ini bila mana seseorang wanita muda dan cantik berjaya menempelkan wajahnya di mana-mana papan iklan bahkan gah menjadi ‘cover girl’ halaman depan sesuatu majalah. Bagi sesetengah pihak ianya mungkin menjadi kebanggaan. Namun bagi sesetengah yang lain, ianya ibarat satu promosi murahan yang mengeksploitasi wanita sesuka hati.
Fenomena ini bukan baru malahan sudah lama sebati dengan edaran zaman. Tapi persoalannya adakah ianya fenomena sihat yang menunjukkan bahawa dunia tunduk kepada ‘hebat’nya wanita ataupun ianya fenomena yang hanya mengundang mudarat semata-mata? Adakah dengan monopolinya wanita dengan cara seumpama ini mampu menaikkan darjat wanita di kaca mata dunia atau ianya hanya satu alat untuk merendahkan taraf yang sedia tinggi itu?
Ditambah pula dengan sepotong hadis dari Nabi SAW yang bermaksud,
[colored_box color=”eg. blue, green, grey, red, yellow”]”Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita” -Hadis Riwayat Muslim[/colored_box]
Hadis sahih ini umpama satu peringatan khas dari Nabi SAW untuk kita umatnya. Seolah olah wanita itu merupakan satu susuk yang sangat bahaya dan mampu menggugah dunia dan seisinya. Adakah ini bermakna wanita itu tiada darjat dan sekaligus perlu dijauhi? Satu lagi persoalan yang harus dijawab oleh kita yang bergelar wanita. Satu hujah yang kukuh diperlukan untuk membela diri dari terus-terusan menjadi fitnah terbesar kepada dunia.
Dan untuk itu, perlunya kita mengingati kembali bagaimana di zaman jahiliyah dulu wanita diperlakukan sesuka hati dan langsung tiada nilai di mata masyarakat. Masakan tidak, lahirnya bayi perempuan dari rahim para ibu di zaman tersebut merupakan satu perkara yang amat memalukan hingga tindakan membunuh bayi perempuan dihalalkan bagi mengelakkan rasa malu. Apatah lagi, wanita hanya dijadikan tempat melempiaskan nafsu para penduduk Arab satu masa dulu.
Tapi, hadirnya Islam yang dibawa oleh Nabi SAW berjaya memberi satu sinar baru kepada para wanita yang telah tertindas sejak sekian lama. Wanita diberikan hak yang sewajarnya dalam Islam. Malah dinaikkan taraf wanita itu apabila dia bergelar ibu,syurga yang sangat indah dan hebat itupun berada di bawah telapak kakinya. Lihatlah betapa besarnya Islam mengangkat darjat wanita di sisi dunia.
Namun,semakin zaman menongkah laju semakin darjat yang tinggi itu kembali direndahtarafkan. Wanita di zaman ini bukan memonopoli dunia tapi telah dimonopoli oleh dunia. Dimonopoli oleh tangan-tangan perosak yang kononnya ingin menaikkan darjat wanita. Majunya zaman tapi dengan memundurkan darjat wanita yang telah dimuliakan oleh Islam. Akhirnya golongan belia remajalah yang menjadi sasaran kepada tipuan dunia ini.
Gologan belia remaja harus sedar bahawa fenomena wanita dimonopoli dan dieksploitasi ini akhirnya hanya menjurus kepada mudarat sekaligus menjadikan taraf wanita itu kembali rendah sama seperti di zaman jahiliyah dulu.
Sabda Nabi bahawa wanita itu fitnah terbesar dunia bukan bermakna wanita itu makhluk yang jahat,jelik dan harus dijauhi. Tetapi ianya merupakan peringatan kepada semua manusia terutama yang bergelar lelaki bahawa wanita itu jika tidak dijaga seperti mana yang digariskan dalam syariat, mereka mampu memberi kehancuran yang dahsyat kepada tamadun manusia.
Tanpa kita sedar atau tidak, dengan lambakan wanita sebagai bahan tontonan akhirnya meletakkan wanita itu sebagai satu alat pelaris malah dijadikan simbol seks oleh sesetengahnya. Sebagai contoh, iklan-iklan kereta yang meletakkan wanita seksi sebagai model sangat tidak relevan. Tidak cukup itu, moden dan hebatnya seseorang wanita itu bergantung pada kebolehannya dalam menyaingi dan menyamai kehebatan seorang lelaki.
Sungguh ALLAH itu tidak pernah membezakan lelaki dan perempuan malah harus melengkapi antara satu sama lain. Doktrin barat yang mengatakan bahwa wanita itu perlu sebaris dan sama hebat dengan kaum lelaki dengan cara memonopoli mereka agar menjadi bahan tontonan dan tumpuan amat bertentangan dengan apa yang di bawa oleh Islam.
[colored_box color=”eg. blue, green, grey, red, yellow”]
Firman ALLAH SWT,
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa,Maha Bijaksana”. (Surah at-Taubah ayat 71)
[/colored_box]
Jelas, ayat ini membuktikan bahawa hadirnya wanita itu sebagai pembantu kaum lelaki dan begitulah sebaliknya. Kita harus sedar bahawa darjat wanita itu di sisi Islam sangat tinggi,usah dikaburi dengan tipuan nafsu duniawi yang menjadikan wanita itu bahan tontonan.
Peranan wanita lebih dari itu, lihatlah peranan yang dimainkan oleh Saidatina Khadijah dalam membantu Nabi SAW dalam usaha dakwahnya. Renungkan kembali kisah Sumayyah, insan pertama yang syahid dalam sejarah Islam. Belum lagi kita koreksi kisah Nusaibah yang hebat mempertahankan Nabi di medan perang. Hebat bukan wanita Islam? Lebih hebat dari sekadar menjadi bahan tempelan di tepi-tepi jalan.
Mentaliti tidak sihat inilah yang harus dikikis dan dibuang sejauhnya. Darjat wanita itu tinggi, lebih tinggi dari apa yang diiklankan oleh Barat. Dan untuk mengubah persepsi sebenar hebatnya wanita itu harus bermula dari diri sendiri. Di usia muda belia inilah harus adanya jati diri yang kuat dan utuh agar tidak mudah di runtuhkan oleh mainan barat yang berkiblatkan dunia semata-mata.
Sebagai wanita Islam yang sudah diiktiraf darjatnya disisi Islam sejak ribuan tahun dahulu,seharusnya kita berusaha mengubah mentaliti masyarakat dunia. Berani dan hebatnya wanita itu bukan bergantung kepada lambakan wajah menghiasi majalah dan papan iklan. Tetapi hebatnya wanita itu adalah apabila ia mampu memelihara diri dari dijadikan bahan tontonan dan dalam masa yang sama membantu menaikkan nama Islam di kaca mata dunia.
Menjadi insan penting di sebalik setiap kejayaan yang dikecapi oleh kaum lelaki itu lebih manis dan tinggi nilainya. Bukan menjadi perosak dan pemusnah kepada benteng iman kaum lelaki yang kebanyakannya mudah tertipu dengan pujukan nafsu mereka. Peranan kita lebih besar. Sebagai golongan belia, kitalah yang harus tampil kehadapan mengubah fenomena jelik ini.
Tambahan pula golongan belia seharusnya menjadi harapan dalam jatuh bangun sesebuah negara. Dan bagi golongan belia wanita, mempersiapkan diri dari aspek ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi serta menjaga adab susila ketika berurusan harus dijadikan keutamaan. Barulah diri akan dihormati dek kerana ketegasan dan tidak mudah dimonopoli atau dieksploitasi seperti yang terjadi sekarang.
Kebanyakan golongan belia wanita ini mudah tertipu dengan dunia glamour, dunia yang penuh dengan pujukan nafsu yang menipu dan keseronokan yang sementara. Natijahnya, kita dapat lihat dengan lambakan anak luar nikah,kes zina,berpeleseran di kelab-kelab malam dan banyak lagi. Mereka ini adalah antara yang telah berjaya dirasuki dengan pemikiran dan anggapan bahawa itulah hebatnya wanita bila mampu melakukan sesuka hati. Walhal, ianya hanya merosakkan darjat yang telah di angkat di dalam Islam.
Tangan yang menghayun buaian ini sebenarnya mampu menggoncangkan dunia jika disalurkan pada jalan yang betul. Menggoncangkan dunia dalam ertikata berani tampil kehadapan mengatakan pekara yang benar, menolak sekeras kerasnya perkara yang batil sekaligus menaikkan kembali darjat wanita yang selama ini digunapakai sesuka hati. Celikkan kembali penduduk dunia yang selama ini tertipu dengan menjadikan wanita hanya sebagai bahan tontonan iklan murahan. Jika Saidatina Khadijah, Sumayyah, Nusaibah serta ratusan lagi wanita Islam yang menempa nama dalam sejarah wanita hebat dunia. Tidak mustahil untuk kita juga melakukan perkara yang sama.
Hakikatnya, golongan belia wanita ini diberi pilihan dalam menggunapakai sebaiknya darjat hebat yang telah ALLAH kurniakan. Sama ada mahu menjaga darjat yang tinggi itu atau membiarkan darjat tersebut direndahkan oleh tangan mereka sendiri. Maka, antara dua darjat ini pilihan di tangan anda!
Nukilan,
Nur Najwa Hanim Binti Ab Latiff
Aktivis PEMBINA Perak