Akukah Pemimpin Idaman?

Ketika dunia bersedih dan diselubungi kejatuhan Khilafah Islamiyah, 1924..

Ketika tentera musuh durjana menjajah bumi umat Islam,

Ketika undang-undang syariah ditukar dengan kebatilan,

ketika muncul gerakan sekularisasi dan berbondong  ilmuwan Islam  meninggalkan tugas dakwah ini..

Tampil seorang anak muda memulakan usaha membangun semula Islam yang telah diabaikan oleh generasi ketika itu.

Anak muda itu terus membina.

Membina dan tegar membina sehingga binaannya menjadi kukuh dengan binaan yang terbaik.

Dakwahnya bertebaran ke seluruh dunia.

Manhajnya diaplikasi di setiap pelusuk benua.

Kadernya beraksi dalam semua platform.

Ketumbukan jihadnya mengugah Zionis Yahudi di Palestin.

Hidupnya singkat jasanya hebat.

Itulah anak muda bercita-cita tinggi. Imam As Syaheed Hasan Al Banna.

Ketika dunia mengidamkan sang penyelamat.

Sang pemimpin idaman.

Beliau mara gagah memberi ubat mujarab kepada dunia yang menanggung derita dibelenggu seribu satu macam masalah.

Beliau pemimpin idaman.

Menyongsong gagasan besar berteraskan iman dan taqwa.

Biarpun dihadapannya berbongkah halangan, musuh-musuh durjana, kefasadan dan kerosakan anak muda, kelesuan para ulama, kejahilan rakyat jelata,. Pemimpin berjiwa agung dan bercita-cita besar ini berkata:

“Tidak ada seorang pun yang mengetahui melainkan ALLAH sahaja yang mengetahu betapa setiap malam kami menghabiskan masa kami memikirkan masalah umat ini, keadaan yang menimpa umat dalam pelbagai aspek kehidupan, kami menganalisis penyakit dan mencari ubat mengatasinya, kami berfikir untuk merawat dan menghilang penyakit umat ini. Hasilnya membuatkan kami menangis. Alangkah kami rasa terpegun dan terkejut apabila kami berdepan dengan masalah yang meruntun jiwa kami, kami melihat ada orang-orang yang khayal, mabuk menghabiskan masa di cafeteria-kafeteria, berlebagr legar di kelabkelab yang merosakkan. Bila saya bertanya salah seorang mereka mengenai sebab mereka melakukan perjumpaan-perjumpuan yang kosong itu. Si fulan berkata : saya sengaja membuang masa..saya sedang membunuh waktu saya.

Alangkah malangnya si fulan tersebut. Dia tidak mengetahui bahawa sesungguhnya sesiapa yang membunuh masanya sebenarnya dia membunuh dirinya. Sesungguhnya masa adalah kehidupan..”

Siapa yang akan membebaskan bumi islam, jika aku dan kamu bersikap begini…?

Kehebatan seorang pemimpin idaman bukan pada pengulangan kalimat, teori, bahasa tanzim dan kelicikan strategi  tetapi kehebatan sang pemimpin idaman adalah pada implimentasi dan penterjemahan ke alam realiti yang memberi  saham kepada dorongan secara lansung, pengembangan dan  aktivisme organisasi.

Pemimpin idaman semestinya menjadi titik pandang dan qudwah para pengikutnya.

7 sifat mandatori pada seorang pemimpin idaman adalah,

Airmata orang yang sentiasa bertahajud,

Kebijaksanaan ahli politik,

Ketajaman akal pendebat,

Ketenangan seorang ilmuwan,

Kasih sayang seorang bapa,

Keberanian seorang pejuang,

Keperihatinan seorang faqih,

Lantaran itu, sang penyelamat umat merangkap pemimpin idaman, dia tidak akan mempedulikan omong-omong kosong tetapi sentiasa berusaha menuju ke jalan ALLAH, menjaga dengan pertolongan ALLAH, menghulur pengharapan dengan petunjuk ALLAH, bahkan dia tetap tidak merasa jemu dan letih dalam amal dan gerak kerjanya.

Bumi Malaysia bagai telur di hujung tanduk . Kerosakan anak muda yang makin membumi. Islam makin di asak hebat setiap penjuru. Hak kebebasan melaung meminta tempat. Syariat dipertikai hatta oleh para ilmuwan islam. Umat meraung mencari tempat sandaran. Dalam kegelapan yang menelan. Siapa yang akan menghulurkan tangan?

Wahai pemimpin idaman.

Tampil dan maralah ke hadapan.

Hulurkan penawar buat bumi gersang ini.

Janganlah kamu berputus asa kerana ia bukan sifat seorang Islam. Peluang akan tiba untuk melakukan sesuatu yang besar. Dunia sedang menanti gagasan kalian. Gagasan yang akan memimpin, membawa kejayaan dan kesejahteraan untuk membebaskan mereka dari kepahitan yang mereka alami selama ini. Kini tiba giliran kamu untuk memimpin bangsa manusia.

Wahai sekalian Pemuda Islam,

Adakah kamu masih mahu menjadi pembantu agama Allah.?

Bangkit dan beraksilah wahai pemimpin idaman..!

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(Al-Ankabut: 69)

* Tulisan oleh Sharifah Abdul Samad, aktivis PEMBINA

Rujukan

i) Majmuk Rasail -ucapan dasar muktamar ke lima IM
ii) Tarbiyah dari Zero ke Hero – Ust Azizee Hasan

Poster HIMMAH Belakang

1 thought on “Akukah Pemimpin Idaman?”

  1. Pingback: Akukah Pemimpin Idaman

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top