Berbelanja, Bukan Berpesta

Berbelanja, bukan Berpesta

Saya menulis artikel ini pada akhir bulan Syawal, walaupun pada mulanya saya bercadang untuk menulis tajuk lain, tapi mungkin saya perlu menyentuh perkara ini yang sering dilupakan orang ramai, terutamanya ‘pendakwah yang berani mati’.

Saya dulunya tergolong dalam golongan ini; ‘berani mati’. Tidak dapat dinafikan, sebahagian mungkin terkesan dengan abang-abang senior dalam dakwah yang mempunyai falsafah:

‘Rezeki kita dan anak-anak ada punya, ana tak mau berkira-kira sangat tentang masalah ni (perincian perbelanjaan), confirm tak cukup….’

Keadaan ini berubah apabila saya menghadiri seminar perancangan kewangan keluarga yang disampaikan oleh Hjh. Rohani (nama sebenar) beberapa bulan yang lalu.

Dakwah mengajarkan kita untuk berkorban apa saja… “harta ataupun nyawa”  bak kata P. Ramlee dalam sebuah filem Melayu. Kita bermesyuarat siang dan malam, ‘berjalan’ siang dan malam, makan & minum siang dan malam (termasuk awal pagi), dan seterusnya. Semua ini memerlukan kepada modal(duit). Ini adalah senario biasa apabila melihat kepada realiti sahabat-sahabat di sekeliling kita; pendakwah muda dan yang tak berapa muda.

Bertawakal kepada Allah S.W.T adalah sesuatu yang dituntut dan bertawakal  itu pula perlu ‘bermodalkan’ usaha yang telah diambil sebelumnya.

“Takdir adalah pilihan Tuhan dan usaha adalah pilihan anda (dengan izin Tuhan).”

Dakwah juga mengajar kita untuk berinteraksi dengan sunnatullah sebaik-baiknya. Saya ingin berkongsi satu sunnah yang mudah iaitu “Sunnah 1+1 = 2 dan 1-2=-1”.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah S.W.T

Saya juga mempunyai beberapa pengalaman peribadi, ketika betul-betul kesempitan wang… tiba-tiba Allah S.W.T memberi jalan keluar. Alhamdulillah. Itu adalah sebahagian daripada bantuan Allah. Tetapi kita tidak boleh memasukkannya ke dalam formula sunnah diatas. Saya kira Nabi Musa a.s pun tidak menjangka laut akan dibelahkan untuknya ketika lari dari Firaun.

Alhamdulillah, raya tahun ini saya tidak begitu ‘terasa’ walaupun kerajaan tidak mengistiharkan bonus kepada kakitangan kerajaan.

Apa yang saya pelajari dari Hjh Rohani adalah;

Perbelanjaan (peribadi, keluarga & dakwah) = Pendapatan – Simpanan – Tanggungan(keluarga & peribadi)

Oleh yang demikian berbelanjalah kepada perkara yang perlu dan mampu, walaupun terpaksa membeli telefon bimbit berharga RM960 atau lebih dengan syarat perkara itu memang kita perlu dan kita pula mampu (peruntukan yang disimpan terlebih dahulu) atau lainya.

Apa yang saya bimbangkan, setelah banyak kita berkorban, akhirnya kita terkorban disebabkan oleh pengorbanan kita yang tidak diketahui orang telah menyebabkan kita berfikir semula tentang komitmen kita kepada dakwah. Setidak-tidaknya jumlah komitmen kita, alangkah ruginya…

Berobjektiflah dalam berbelanja. Contoh yang mudah jika melihat piramid makan yang dicadangkan, untuk juadah tengah hari, kita hanya perlu kepada sepotong ikan atau daging (sebesar kotak mancis) untuk protein dengan secawan nasi (karbohidrat), sayur (serat) dan air. Tapi dalam pingan kita ada ikan goreng (protein), sambal sotong (protein), ikan masin (protein & garam), sayur (serat), ulam (serat), air sirap (glukosa = karbohidrat) dan air kosong!

Jika puasa dapat mengajar kita mengawal nafsu dan berdisiplin, alangkah baiknya juga jika kita dapat mengawal nafsu dan berdisiplin dalam berbelanja.

Mari sama-sama kita fikirkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top