Aleppo atau bandar yang digelar Halab dalam Bahasa Arabnya, kini menjadi bualan hangat penduduk dunia. Mana tidaknya, setiap hari bandar yang dahulunya pernah menempatkan lebih daripada 2 juta orang penduduk ini dibedil diserang tanpa belas kasihan oleh rejim kuku besi Bashar al-Assad!
Kini, ibarat padang jerak padang tekukur, Aleppo yang dulunya aman, damai dan harmoni kini ibarat bandar mati, sunyi, sepi. Bandar yang dahulunya penuh dengan warna dan budaya, kini tinggal kenangan dalam setiap batu binaan yang hancur dek peperangan. Rakyat hidup ketakutan, tiada bekalan air, ubatan mahupun makanan. Mereka diseksa dan diserang dengan kejam. Kanak-kanak hilang peluang pendidikan, rakyat hidup dalam kemiskinan, Bandar Aleppo dikepung rejim Bashar, ibarat neraka dunia, penduduk Aleppo diseksa dengan kejam. (Stephen O’Brien, the U.N.’s Chief Humanitarian Official, Oktober 2016).
Namun, pernahkah anda terdetik, bagaimanakah Syria sebelum 2011? Sebelum segala konflik ini berlaku? Ini dia, 5 perkara yang saya kira anda tidak tahu tentang Aleppo suatu ketika dahulu!
1. Salah satu bandar terbesar di Syria
Aleppo terkenal dengan jolokan “Syria’s second city” atau Bandar kedua Syria selepas Kota Damsyik ini berkeluasan 190 KM persegi. Bayangkan, bandar ini sangat luas sehingga mampu menempatkan lebih 2 juta orang penduduk pada tahun 2005. Kalau nak tahu, Aleppo ni bandar yang bercuaca panas dan kering, dan mempunyai musim sejuk yang pendek. Disebabkan cuaca yang kering, Aleppo serta daerah-daerah sekeliling di Syria sangat aktif menjalankan aktiviti pertanian untuk bekalan makanan penduduk mereka. Majoriti penduduk Syria adalah Islam bermazhab Sunni, namun, mereka hidup aman damai bersama penduduk Kristian yang kebanyakannya merupakan pelarian perang dari Anatolia zaman perang Dunia Pertama suatu ketika dahulu!
2. Pusat Ekonomi Syria
Kota Aleppo merupakan Pusat Ekonomi bagi negara Syria sejak berkurun lamanya kerana kedudukannya yang strategik. Tambahan pula, kota ini berdekatan dengan laut Mediterranean, terletak pula antara Sungai Tigris dan Euphrates. Sejak kurun ke-16 lagi, Aleppo menjadi hub perdagangan dan pelabuhan serta merupakan salah satu laluan sutera. Pelbagai jenis perdagangan antarabangsa dijalankan dengan pelbagai negara seperti Iran, Iraq, negara-negara Eropah dan juga Asia. Walaupun kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah sedikit sebanyak memberikan impak terhadap kedudukan ekonomi di Aleppo, namun ia tidak menjejaskan kota ini. Justeru, apa sebenarnya ekonomi yang diusahakan di Aleppo ini? Antara perusahaan ekonomi yang mereka jalankan adalah perhiasan emas dan perak, kain sutera dan kapas serta hasil kulit masih tetap utuh sehingga hari ini. Wah, hebat juga bandar Aleppo ni ya!
3. Tapak Warisan UNESCO
Sebelum berlakunya perang dan kemusnahan dek rejim Bashar ini, Citadel di Aleppo merupakan tapak warisan dunia yang telah diiktiraf oleh UNESCO dan menjadi salah satu tarikan pelancongan di sana. Mana taknya, bandar yang kaya dengan sejarah ini suatu ketika dahulu pernah menjadi Pusat Budaya Islam! Citadel ini apa? Citadel ini kita boleh bayangkan ibarat macam A’famosa, tetapi versi Aleppo. Ringkasnya, menurut UNESCO World Heritage, binaan ini merupakan simbol kekuatan tentera Arab pada kurun ke 12 hingga ke 14. Pada bahagian dalamnya terdapat tinggalan masjid, istana juga kolam mandi yang sinonim dengan tamadun dahulu kala. Dalam kata lain, Citadel pernah menjadi satu tempat penting dalam pentadbiran beratus tahun yang lalu. Binaan Citadel yang mempunyai pengaruh Byzatine, Rome dan tamadun-tamadun lain menyaksikan bahawa Kota Purba Aleppo ni juga kaya dengan pelbagai budaya dan tamadun. Salah satu buktinya, terdapatnya sebuah masjid yang dipanggil ‘The Great Mosque’ binaan Kerajaan Umayyid pada kurun ke 12 yang berasaskan tinggalan sebuah Gereja, Sebahagian daripada sejarah kota Aleppo ini pun sudah cukup untuk menggambarkan keunikan Aleppo, patutlah masyarakat dunia menggelarkan kota ini sebagai kota tertua di dunia!
4. Sebahagian daripada Kerajaan Turki Uthmaniyyah (1516-1918)
Aleppo juga pernah menjadi sebahagian daripada kegemilangan Khilafah Islam bersama Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Peranan Aleppo adalah sebagai salah sebuah pusat pemerintahan dan pusat perdagangan dari timur dan barat. Dengan kerjasama pembesar Islam di Aleppo, Istanbul menghantar pembesar-pembesar mereka untuk memerintah Kota Aleppo. Zaman itu, khalifah yang memerintah sangat sukakan Kota Aleppo maka dibinalah Masjid-masjid seperti Al-Adiyyie Djami pada tahun 1517 di ikuti Masjid Khosrowiye Djami pada tahun 1537 juga merupakan masjid kedua terbesar di Aleppo. Zaman ini jugalah bermulanya era Souq atau pasar yang menjual pelbagai barangan dari rempah ratus hinggalah pakaian. Kalau perhatikan, seni bina Souq di Aleppo sedikit sebanyak ada persamaan dengan Grand Bazaar di Istanbul. Hebat bukan?
5. Punya budaya makanan yang unik
Dalam sebuah dokumentari terbitan BBC yang bertajuk ‘The Spice’s Story’, Aleppo ini sangat kaya dengan rempah. Penduduknya pun memang menjadikan rempah sebagai salah satu bahan wajib dalam masakan mereka. Kalau nak tahu, penduduknya juga ada satu rempah campuran yang terdiri daripada kayu manis, lada hitam, halia kering dan sebagainya. Aleppo juga kaya dengan keunikan budaya makanan-makanan menarik seperti Kofta Kambing dengan Ceri Masam dan Kibbeh dan lain-lain. Sungguh menggiurkan!
Inilah dia sebahagian kecil dari perkara menarik tentang Aleppo yang terselindung disebalik peperangan yang berlaku. Walaupun kini, segalanya tinggal kenangan, namun, biarlah masyarakat tahu kegemilangan, keindahan serta kehebatan Aleppo suatu ketika dahulu, sebuah kota Islam yang banyak kisahnya.
Ketahuilah, Aleppo memerlukan sokongan kita, kerana yang diserang dan ditindas itu saudara seakidah kita. Jihad kita bukanlah dengan senjata, namun dengan doa dan bantuan kemanusiaan yang mampu kita berikan. Semoga Allah melindungi Kota Aleppo dari terus diratah rejim kuku besi dan zalim si Bashar al-Assad!
Kulluna Halab! Kami bersama Aleppo!
Amalina Annuar
Biro Kajian PEMBINA