We Are All The Same, The Indicator Is TAQWA

Berpeganglah dengan ayat Allah, “Maka sesungguhnya bersama kesulitan pasti ada kemudahan.” (As-Syarh: 5)

Di balik titis-titis hujan yang jatuh membTakwaasahi bumi, negara kita, Malaysia diuji dengan musibah banjir di beberapa buah negeri terutamanya Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa buah negeri lain. Buruknya bencana kali ini, sehinggakan ada yang kembali menghadap Tuhan yang Esa, ada juga yang hilang tempat tinggal mahupun ada jua yang terpisah daripada kaum keluarga. Berat sungguh ujian ini Allah. Namun, Alhamdulillah, hari demi hari, kini semuanya makin beransur pulih dan baik. Sungguh, aku yakin besar hikmahNya itu nanti. Di kesempatan ini, pena ingin mengajak diri dan semua untuk sama-sama kita menadah tangan, memanjatkan doa kepada Allah taala agar saudara-saudara kita di sana dikurniakan kekuatan iman, kecekalan hati dan kemudahan dalam setiap urusan mereka. Masih juga belum terlambat untuk kita titipkan doa-doa di dalam setiap sujud kita, masih belum terlambat untuk menghulurkan bantuan tidak kiralah sumbangan wang ringgit, tenaga, masa dan juga kudrat yang kita punya untuk mereka. Sungguh itu cuma pinjaman dari Allah dan insyaAllah semuanya itu akan dibalasNya dengan sebaik-baik ganjaran. Amin ya Rabbal Alamin.

Pena dengan penuh rasa rendah diri ingin mengajak diri dan pembaca untuk sama-sama kita meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah s.w.t di dalam setiap urusan kehidupan dan yakinlah bahawa bantuan daripada Allah itu adalah sebaik-baik bantuan. Semoga ujian/musibah ini menjadikan kita hamba yang lebih dekat denganNya, ujian yang bisa meningkatkan keimanan, ujian yang dapat membaiki hubungan sesama manusia serta ujian yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia terutamanya umat Islam di bumi ini.

Sayonara 2014 !—– sungguh cepat masa berlalu dan Tirai 2014 kian berlabuh

Perginya 2014 membawa seribu dan sejuta makna buat individu mahupun hamba Allah yang meletakkan hidup mereka di dunia ini sebagai bekalan untuk menuju hari akhirat kelak. Tahun demi tahun silih berganti, namun apakah persediaan kita? Mungkin ada di antara kita yang kehilangan ahli keluarga tersayang, sahabat handai, harta benda dan juga sebagainya. Di lembaran ini, pena ingin mengajak para pembaca agar kembali bermuhasabah di tahun 2014. Umat Islam pada detik dan saat ini perlu bangkit dari tidur yang lena, bangkit dari mimpi indah dunia dan kembali menuju Allah taala. Kita pada hari ini sudah banyak dimomokkan dengan pelbagai siri agenda puak-puak kuffar yang mengancam akidah suci umat Islam. Kita pada hari ini sudah banyak dihentak dan diherdik tentang kebebasan dan hak- hak sebagai seorang Islam di tanah kelahiran kita sendiri. Sebagai contoh, kita lihat Tuntutan COMANGO yang jelas menindas hak asasi umat Islam dinegara kita. Inilah ancaman sebenar dan arus jahiliyah besar yang wajib kita tentang habis- habisan. Umat Islam sepatutnya cakna dan mengambil tindakan tegas terhadap puak-puak ini kerana ini adalah satu metod mahupun agenda kotor yang telahpun disusun rapi untuk meliberalkan negara kita. Terlalu banyak hak- hak dan kebebasan yang diminta-minta. Tidak cukup dengan Tuntutan COMANGO ini, puak-puak liberal juga rancak menindas dan menghentam asatizah serta undang-undang wanita termasuk kewajipan muslimah menutup aurat dan juga ancaman terhadap institusi kekeluargaan yang jelas menyalahi Al-Quran dan Sunnah, hanya bersandarkan logik akal semata-mata.

Di manakah kita, umat Islam? Di saat agama, bangsa dan negara kita diporak- perandakan oleh sebilangan puak-puak liberal mahupun puak-puak kuffar ini? Di mana kita?

Realiti masyarakat kita khususnya umat Islam pada hari ini yang hanya sibuk dengan urusan dunia, pangkat, harta dan kekayaan yang tidak sebanyak mana menyebabkan kita jauh sekali dengan Allah. SUNGGUH JAUH…….AllahuAllah……Kita juga lupa bahawa dunia ini milik siapa dan yang paling teruk adalah kita tidak menunaikan hak yang sepatutnya kepada Pencipta kita yakni Allah s.w.t yang senantiasa memberi nikmat kurniaan dan mengabulkan doa kita. Masyarakat yang kini hanya mementingkan diri sendiri, seronok berbuat maksiat dan tidak takutkan Allah. Itulah masyarakat yang sibuk dengan aktiviti harian mereka sahaja dan lalai terhadap suruhan Allah, apatahlagi kepada kedua orang tua yang sudah sibuk dan berpenat lelah membesarkan serta mendidik anak-anak. Serangan pemikiran, ideologi menyimpang seperti liberalisme, feminisme, sekularisme, humanisme, pluralisme, kebebasan berfikir, relatif mahupun perjuangan gender, inilah musuh utama umat Islam pada era ini. Inilah jahiliyah yang wajib kita tentang habis- habisan. Namun, masih ada yang suka dan seronok dipermainkan oleh musuh-musuh ini. Antara sedar atau tidak, kita di kelompok manusia atau hamba Allah yang mana? Ada yang tahu tapi tidak berbuat apa, ada juga yang tidak tahu tapi dia berbuat sesuatu dan ada juga yang tidak tahu dan masih leka dengan hidup dunianya.

CUKUP! SUDAH! BANGKITLAH DARI TIDURMU! Wahai ummatku yang sakit, BANGUNLAH dan KEMBALILAH PADA TUHANMU YANG SATU.

TAQWA. Inilah ubatnya. Ubat yang akan menjadi penawar dan penyembuh luka di tahun 2015 ini. Marilah sama-sama kita mulakan tahun baru 2015 dengan azam, semangat dan nafas yang baru. Pena ingin sekali mengajak pembaca-pembaca semua untuk bermuhasabah tujuan penciptaan manusia di atas bumi Allah ini. Tidak lain dan tidak bukan untuk menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini serta beribadah kepadaNya (51:56) dan (2:30). Kita wujud dan hidup di dunia ini bukan untuk sia-sia tetapi sangat besar tanggungjawabnya. Dunia ini adalah ladang dan tempat untuk kita bercucuk tanam, di mana hasilnya nanti akan kita tuai di akhirat kelak. Taqwa dalam erti kata lain membawa kita kepada satu paradigm untuk kita takut dan kembali kepada Allah taala. Taqwa yang akan menyuluh hidup seluruh umat manusia untuk sentiasa takutkan Allah, kembali taat ddan patuh kepadaNya, menunaikan amar makruf dan nahi mungkar serta takut untuk berbuat dosa apatah lagi untuk menyekutukan Allah. Itulah taqwa yang sepatutnya menjadi pegangan dan panduan di dalam setiap hidup umat manusia di bumi Allah ini.

Hasrat hati ini ingin mengajak semua untuk berlumba-lumba menjadi orang yang pertama dan paling terawal dipandang Allah di akhirat kelak, kerana syurga itu cukup mahal, maka kita sebagai individu muslim tidak boleh berbelah bahagi untuk kembali kepada Allah, kerana kita yang akan rugi, serugi-ruginya. Kesibukan di dunia bukanlah sepatutnya menjadi alas an untuk kita melupakan Allah, mengenepikan tanggungjawab kita kepada keluarga, sahabat, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Ke hadapan belia dan beliawanis sekalian,

Pena ingin mengajak diri dan semua untuk menjadi qudwah ataupun tokoh kepada masyarakat Islam. Di saat masyarakat dan umat kita menghadapi musibah dan bencana, belia/beliawanis tidak boleh berada dalam keadaan yang selesa lagi atau masih malu untuk ke hadapan. Buanglah sikap itu sejauh- jauhnya. Setiap individu belia/beliawanis mempunyai bakat yang tersendiri kurniaan Allah taala, maka sumbangkanlah bakat dan potensi itu untuk dakwah Islam. Tonjolkanlah segala bakat yang ada dan jadikan diri sebagai ikon di kalangan masyarakat yang sememangnya menunggu-nunggu kehadiran tokoh-tokoh yang boleh membawa kesejahteraan dan kebahagiaan umat sejagat suatu hari nanti.

Belia dan Beliawanis harapan ummah sekalian:-
• Kembalilah kepada Allah s.w.t dengan sepenuh-penuh taqwa dan pertahankan Islam sehabis-habisnya demi ummah tercinta.
• Kembalilah menjadi insan mahupun hamba Allah yang bertanggungjawab membina diri, baik dari segi intelektual, spiritual(akhlak) dan jasmani.
• Segeralah menjadi penyeru kepada perkara-perkara kebaikan(amar) dan pencegah kemungkaran.
• Segeralah menjadi pencetus,penggerak dan pemikir tamadun-tamadun kegemilangan Islam yang mana tidak mustahil untuk negara kita mencapainya.
• Segeralah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran- kemahiran dalam menghadapi ancaman musuh.
• Sentiasa bermuhasabahah dan mendekatkan diri dengan Allah serta manusia(Hablun Minallah , Wa Hablun Minannaas)
• Kembalilah menunaikan hak-hak dan tanggungjawab kepada Pencipta, Rasul s.a.w, kedua orang tua,ahli keluarga, ,masyarakat, agama dan bangsa.

Ayuh lekas kita ke syurga, layarilah tahun 2015 ini dengan penuh taqwa kepada Allah taala. Sesungguhnya pengakhiran hidup kita juga jelas iaitu syurga dan neraka. Sekiranya kita ingin ke syurga, berakhlaklah seperti kita akan masuk syurga , dan jika kita memilih untuk ke neraka, berakhlaklah sebegitu rupa. Nauzubillah. Semoga syurga menjadi destinasi terakhir yang akan kita tuju di akhirat kelak. Akhir kata, pena ingin menyeru kepada diri dan juga pembaca sekalian untuk menanam azam supaya tahun 2015 ini menjadikan kita hamba yang sangat-sangat bersyukur, dan dan yang paling utama adalah kita semua wajib kembali taat dan mengabdikan diri kepada Allah taala. Sesungguhnya yang baik itu hanyalah datang dari Allah s.w.t dan segala yang buruk itu juga datangnya dari Allah s.w.t, disandarkan di atas kelemahan pena sendiri. Wallahu’Alam. Assalamualaikum w.b.t.

Sharifah Binti Mohammad
Ketua Beliawanis
Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) Samarahan
Sarawak.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top