Ucapan Dasar Presiden Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-8 Persatuan Belia Islam Nasional

pres

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, penghulu para nabi dan rasul, panglima para syuhada’ dan peneraju obor risalah kebenaran. Juga buat para ahli keluarga Baginda, para sahabat, tabi’in, tabi’e tabi’in, serta semua yang menuruti perjuangan kebenaran ini sehingga ke hari Kiamat.

Segala puji bagi Allah. Telah genap lapan tahun PEMBINA berada di persada amal aktivisme belia dan mahasiswa. Melihat kepada pencapaian kita sepanjang tempoh tersebut, kita kini berada di landasan yang tepat yang pernah kita gariskan terutama sekali dalam mencapai visi ‘Meneraju Arus Mahasiswa’. Sepanjang perjalanan ini, pelbagai halangan dan rintangan berjaya kita hadapi. Ia seharusnya menjadikan PEMBINA sebuah persatuan yang lebih matang dan berdaya saing untuk terus maju ke hadapan.

Pencapaian yang memberangsangkan sepanjang tahun 2014 adalah kejayaan PEMBINA mencapai sasaran tahunan pertambahan keahlian seramai 10 ribu orang dalam masa setahun. Kini jumlah keahlian PEMBINA mencapai bilangan 21 ribu orang. PEMBINA juga telah berada di 81 buah universiti di seluruh Malaysia, 21 daripadanya PEMBINA telah didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah persatuan yang bernaung di bawah pentadbiran universiti.

Semua pengalaman berharga ini adalah cukup penting untuk kita mencorak gerak kerja dan masa hadapan sebagai sebuah persatuan belia Islam di tanah air tercinta kita Malaysia. Pengalaman ini memberi pengajaran dan maklumbalas kepada kita untuk sentiasa memperbaiki gerak kerja dan kualiti sistem penyampaian supaya mesej yang ingin kita sampaikan kepada golongan sasar berjaya difahami dan memberi kesan. Kita tidak boleh berada dalam keadaan syok sendiri dan duduk di dalam zon yang selesa dengan bentuk-bentuk program yang bersifat ‘tradisional’, tiada kreativiti atau inovasi, dilaksanakan kerana sifatnya mudah tetapi akhirnya tidak mencapai matlamat yang telah kita tetapkan.

PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia dan mahasiswa, bahkan setiap individu ahli-ahlinya harus tampil sebagai sebagai rujukan dan penyelesaian kepada masalah umat hari ini, terutama sekali dalam isu-isu yang begitu dekat dengan kehidupan generasi muda negara kita pada hari ini.

Bermula tahun 2015, saya simpulkan berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu, dua perkara penting yang perlu sentiasa dijadikan pemberat dalam kita merangka perancangan dan gerak kerja kehadapan di semua peringkat dalaman adalah, yang pertama, pemantapan organisasi, sama ada di peringkat pusat, cawangan mahupun universiti. Kedua, pemerkasaan tajmik dan pengkaderan melalui konsep Tajmik Ala PEMBINA (TAP).

Pemantapan Organisasi

Organisasi atau tanzim merupakan elemen terpenting dalam amal dan gerak kerja PEMBINA. Demi menjamin kelangsungan aktivisme, pimpinan perlu sentiasa memastikan bahawa organisasi PEMBINA di semua peringkat sentiasa sihat, kukuh serta mempunyai baris lapisan kepimpinan yang mampu meneruskan amal menggantikan pimpinan sekarang apabila tiba masanya. Program-program latihan kepimpinan adalah penting bagi memastikan kualiti dan kemahiran yang sewajarnya diberikan kepada bakal pelapis kepimpinan. PEMBINA tidak tandus dengan program-program yang merupakan produk yang memfokuskan kepada latihan membina aspek kepimpinan ahli yang pernah dijalankan sama ada di peringkat cawangan mahupun pusat, seperti Ijtima’ Penggerak (IMPAK), Bengkel Pengurusan Organisasi Sistematik (OASIS) dan Bengkel Pengurusan & Kepimpinan Mahasiswa (LEADERS).

Dalam fasa PEMBINA yang semakin berkembang dengan pertambahan cawangan serta ahli, adalah kritikal untuk menjaga organisasi kita daripada ancaman anasir luar yang tidak dijangka. Kita tidak tahu saat atau ketika kemungkinan wujudnya cubaan untuk membawa fahaman asing ke dalam organisasi. Kerana itu, kita perlu lebih cermat dan berhati-hati supaya tidak mengulangi kesilapan seperti yang berlaku kepada beberapa gerakan Islam yang sudah dipengaruhi dan dikuasai unsur liberalisme yang akhirnya membawa perbalahan dan perpecahan sesama ahli. Adalah menjadi prioriti untuk setiap pimpinan terutamanya dan seluruh ahli PEMBINA amnya memahami intipati agenda dan aspirasi yang diperjuangkan PEMBINA, iaitu acuan Islam yang tulen dalam amal dan gerak kerja. Gagal menyediakan barisan kepimpinan yang mantap juga menjadi antara sebab bagaimana anasir luar yang kuat boleh menerobos ke dalam sesebuah organisasi.

Saya juga ingin menyeru kepimpinan PEMBINA sekalian supaya kita sentiasa mempertingkatkan tahap profesonalisme dan keefisyenan dalam mengurus persatuan di peringkat cawangan masing-masing. Kita perlu mempunyai perancangan yang rapi, gerak kerja yang tersusun, menjaga disiplin dalam amal jamai’e, sentiasa menepati masa, dan memperkemaskan sistem pengurusan supaya agenda besar yang ingin kita dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Kita perlu sentiasa ingat bahawa gerakan organisasi batil yang bekerja siang dan malam untuk menghancurkan Islam sentiasa memperbaiki gerak kerja mereka dari semasa ke semasa. Benarlah pesanan Saidina ‘Umar Al-Khattab bahawa kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menegaskan bahawa PEMBINA telah menggariskan beberapa kriteria bagi memastikan slogan ‘Meneraju Arus Mahasiswa’ mampu untuk direalisasikan di peringkat universiti:

  1. Menguasai aktivisma mahasiswa dari sudut program dan pengkaderan
  2. Membina jatidiri mahasiswa berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar
  3. Membentuk sudut pandang mahasiswa dalam isu nasional dan antarabangsa
  4. Mengimbangi gerakan songsang terutamanya yang bertentangan dengan pandangan syarak
  5. Menjadi tempat rujukan bagi mahasiswa dan masyarakat.

Persaingan Pengkaderan

Bagi memastikan PEMBINA terus mempunyai penggerak dan pelapis yang berkualiti, kerja asasi yang perlu diberi fokus ialah tajmik dan pengkaderan. Saya merujuk kepada ucapan saya ketika Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 7;

“Melihat kepada pertembungan yang berlaku pada hari ini, setiap kumpulan pasti akan mengembangkan fikrah dan menyediakan legasi yang akan meneruskan perjuangan mereka. Masing-masing melihat bahawa belia dan mahasiswa merupakan generasi pelapis yang mempunyai potensi besar dalam menggerakkan ideologi yang dibawa. Tidak terkecuali parti-parti politik mahupun golongan liberal turut sama mensasarkan mahasiswa dan belia sebagai pendokong mereka. Perhimpunan Agung UMNO menyaksikan Ketua Pemudanya secara jelas mengungkapkan sebuah istilah yang asing bagi UMNO tetapi terang bahawa mereka juga meletakkan fokus untuk aspek pengkaderan ahli. Begitu juga dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS bahawa mereka akan memberikan fokus kepada aspek pengkaderan ahli sebagai lapis kepimpinan Pemuda selepas sesi retreat merka pada awal tahun ini. Begitu juga dengan pertubuhan Kelab Mahasiswa KEADILAN yang dilancarkan oleh Nurul Izzah sebagai lubuk kepada pelapis PKR dikalangan mahasiswa.”

Pada hemat saya, medan amal universiti merupakan suatu medan persaingan pengkaderan di mana akan berlaku pertembungan untuk menarik ahli menyertai sesebuah pergerakan, persatuan mahupun agenda. Medan ini akan menjadi meriah dengan persaingan, dan yang lebih penting, PEMBINA merupakan salah satu persatuan yang telah aktif dan akan terus fokus dalam pengkaderan ahli di kalangan golongan mahasiswa. Dari sudut positif kita melihat “competition creates innovation”. Oleh itu, menginsafi hakikat persaingan ini kita perlu berusaha dengan lebih tersusun dan kreatif dalam mentajmik ahli. Kita mentajmik semua jenis lapisan mahasiswa yang berminat dengan PEMBINA dan berusaha sedaya upaya agar lebih ramai jiwa-jiwa baru mampu membawa agenda dan aspirasi PEMBINA menjunjung ajaran Islam.

Tajmik Ala PEMBINA

PEMBINA merupakan sebuah persatuan yang berbentuk mengumpul (tajammu’) dan menyeru segala elemen kebaikan yang ada pada belia dan mahasiswa untuk bersama-sama dengan kita. Pengalaman dan perlaksanaan aktivisme dakwah terus membuktikan betapa pentingnya peranan satu penyusunan sistematik bagi menyusun dan menyelaraskan usaha seluruh mereka yang bekerja untuk Islam. Hasil daripada pengalaman selama lapan tahun, PEMBINA telah mengenal pasti kecenderungan dan minat belia yang dikategorikan melalui lima bidang utama yang dipakejkan di bawah jenama ‘Tajmik Ala PEMBINA’ (TAP), seperti berikut:

  1. Pakej Tarbiyah
  2. Pakej Kepimpinan
  3. Pakej Rekreasi
  4. Pakej Bakti
  5. Pakej Media

Secara asasnya, pakej-pakej TAP merupakan pintu masuk untuk masyarakat umum belia dan mahasiswa mengenali PEMBINA dengan lebih dekat. Ini memberi peluang dan menjadi platform kepada penggerak PEMBINA untuk meneruskan langkah seterusnya berinteraksi (mu’ayasyah), meningkatkan kemahiran interaksi sosial dan sekaligus meningkatkan kefahaman semua ahli terhadap Islam. Kita harus melihat bahawa kepelbagaian dinamika dan potensi yang ada pada golongan sasar merupakan asset penting yang harus digarap sebaik mungkin dalam kita menggalas amanah dakwah dan mencapai matlamat perjuangan yang berat ini. Dinamika dan potensi yang ada pada golongan belia dan mahasiswa ini perlu dibangunkan dan ditingkatkan selari dengan tuntutan syarak. Oleh itu program-program yang dianjurkan di bawah pakej TAP bukanlah berbentuk Touch ‘n’ Go tetapi merupakan siri program yang mampu mengembangkan potensi dan meningkatkan kapasiti ahli PEMBINA bagi setiap pakej.

Kepelbagaian merupakan suatu perkara positif dalam sesebuah organisasi. Agenda perjuangan PEMBINA memerlukan kepelbagaian tersebut sesuai dengan kerencaman yang wujud di dalam persekitaran yang menjadi tempat gerakan dakwah kita. Belia daripada pelbagai latar belakang mampu untuk menyumbang idea dan menggalakkan percambahan idea. Memiliki ahli daripada monotype atau satu jenis akhirnya tidak membawa kepada kreativiti atau percambahan dari sudut cara fikir dan gerak kerja. Malah, akan sampai satu ketika di mana kita tersekat dan tidak boleh pergi jauh kerana mempunyai hanya satu cara fikir (stereotype) sahaja. Kerana itu kita ingin supaya PEMBINA mampu mentajmik pelbagai karekter manusia supaya kita kaya dengan asset-aset yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada loncatan amal.

Melalui idea pakej TAP ini, kita perlu mencari jalan dengan merangka pelbagai strategi untuk sampai kepada setiap golongan sasar dengan lebih berkesan. Kita perlu lebih dinamik dan berinovatif dalam menyesuaikan wasa’il dakwah terutamanya dalam memanfaatkan kemajuan teknologi-teknologi terkini. Aktiviti dan kegiatan diperluaskan dengan lebih efisyen termasuk dalam bidang seni, kebudayaan dan kesukanan, yang rata-rata menjadi kesukaan golongan muda.

Salah faham yang kerap timbul di dalam pelaksanaan TAP adalah pemisahan di antara menganjurkan program pakej dengan mu’ayashah (interaksi) dan dakwah. Di sini, saya ingin mengambil peluang mengingatkan para perwakilan dan pemerhati yang merupakan penggerak PEMBINA di tempat masing-masing, bahawa dalam pelaksanaan agenda TAP, elemen asasi yang amat penting yang tidak boleh diabaikan adalah mu’ayasyah dan dakwah. TAP bukanlah semata-mata memadai dengan melaksanakan program-program kosong tanpa kita perlu melakukan interaksi mesra (mu’ayasyah) dan dakwah di kalangan peserta, tetapi ia merupakan platform atau pintu bagi memudahkan mu’ayasyah dan dakwah dilaksanakan.

Oleh kerana itu, saya menyeru kepada semua agar kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh menjayakan agenda TAP kerana ia merupakan satu-satunya jaminan masa depan dan kelangsungan agenda PEMBINA. Kita ingin mentajmik mengikut keperluan yang mendesak dan bukan hanya apa yang dipandang mudah oleh kita. Jangan kita terlalu terikat dan rigid dengan angka-angka dan had masa kerana ia akan menyebabkan kita akhirnya hanya berfikir dalam kerangka cara yang mudah untuk mencapainya tetapi tidak berhasil. Kita perlu sedar bahawa TAP merupakan suatu sistem yang boleh ditambahbaik dan kemudian gunapakai oleh generasi-generasi seterusnya bagi jangka masa yang lama.

Dalam suatu kisah, Imam Ahmad mengkader Musa bin Hizam, iaitu guru kepada Imam Bukhari dan Imam Tarmizi yang merupakan seorang yang soleh dan thiqah. Walaupun begitu, Musa bin Hizam pada awalnya merupakan seorang penganut fahaman Murji’ah, tetapi Imam Ahmad, berjaya dengan izin Allah swt, merubah beliau menjadi menjadi seorang pejuang sunnah dan menentang sesiapa yang menyalahi sunnah hasil daripada kesabaran beliau bergaul, bermu’ayasyah dan tidak jemu memberikan nasihat dengan penuh hikmah.

ISLAM GAGASAN BELIA NEGARA

Impian hari ini kenyataan hari esok. Hari ini PEMBINA mengorak selangkah lagi kehadapan dengan dengan tema Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ke 8, “Islam Gagasan Belia Negara”. Satu impian yang cukup besar namun jika kita tidak impikan hari ini, mana mungkin kita mampu mengecapinya di kemudian hari. Biar cita-cita besar kerana dari situlah terbitnya jiwa besar dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Islam adalah agama kita. Ia merupakan cara hidup sempurna dan ideal yang kita sama-sama inginkan. Islam bukan sahaja menjadi asas pegangan ibadah dan akhlaq kita, bahkan ia adalah asas pegangan aqidah dan pemikiran kita sebagai muslim. Islam juga harus menjadi asas syari’at dan perundangan masyarakat. Islam yang sama-sama kita maksudkan adalah Islam yang diambil langsung daripada sumbernya yang suci, iaitu Al-Quran yang merupakan wahyu Allah dan As-Sunnah yang merupakan ajaran Rasulullah SAW.

Secara umumnya, melalui tema ini, PEMBINA dengan penuh keinsafan, ingin membawa generasi muda hari ini yang merupakan generasi pewaris negara di masa hadapan, untuk sama-sama mengimpikan negara yang lebih indah dan gemilang di bawah lembayung ajaran Islam yang tulen. PEMBINA mengajak semua generasi muda untuk bersama-sama bekerja kuat merealisasikan negara Malaysia yang sentiasa menjadikan Islam sebagai sandaran dan rujukan sama ada dalam asas pemerintahan eksekutif, penggubalan dasar legeslatif dan perundangan. Malaysia yang bakal kita warisi ini juga bakal menjadikan Islam sebagai paksi ekonomi, pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan, hubungan antarabangsa, dan sebagainya. Tema ini mempunyai mafhum yang cukup besar dan menuntut pengorbanan yang tiada taranya. Seandainya kita beriman dan percaya bahawa hanyalah Islam yang dapat memberikan penyelesaian kepada semua kemelut kehidupan manusia sekaligus memberikan ketenteraman dan kesejahteraan jiwa, ia adalah satu-satunya jalan untuk kita berjaya di dunia ini dan menjamin keselamatan kita di akhirat nanti, maka apa juga yang menjadi tuntutan untuk menggapainya akan tetap kita penuhi.

Masyarakat kita pula berada di suatu sudut lain yang begitu berkecamuk. Parti-parti politik saling bertelagah mengejar undi mereka. Artis-artis di arena hiburan sibuk mengejar populariti. Kelompok agamawan dilihat bercakaran dalam isu-isu picisan. Masyarakat terus berada dalam kekeliruan sehingga agenda memartabatkan Islam sering di kesampingkan. Isu-isu ekonomi dan politik negara seringkali menjadi buah mulut, namun isu-isu kepentingan agama Islam seolah-olah telah dikesampingkan. Kita tidak menafikan bahawa isu ekonomi dan urus tadbir yang telus adalah perkara penting dalam negara, akan tetapi yang lebih utama adalah bagaimana menjadikan Islam sebagai rujukan utama kerangka negara sebagaimana telah berjaya dibuktikan oleh Rasulullah dan generasi para sahabat selepas Baginda. Bahkan, legasi ini berterusan selama lebih 1,300 tahun lamanya.

Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah selama ini wujud usaha-usaha terancang untuk mendesak Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara sekular dalam segenap aspek seterusnya memudahkan penularan perlbagai agenda asing seperti liberalisme, pluralisme, hedonisme dan Kristianisasi. Terdapat beberapa pihak yang dengan sengaja ingin memaksakan ideologi sekular dijadikan asas kepada pentadbiran negara Malaysia dengan menghakis nilai-nilai Islam yang ada sekaligus memudahkan usaha mereka mengagalkan penegakan syariat Islam di Malaysia. Usaha terancang ini, jika berjaya akan meletakkan umat Islam dalam keadaan sukar untuk kembali bangkit memartabatkan agenda Islam di Malaysia.

Agenda Negara Islam

Membina negara bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia tidak semudah mengurus sebuah persatuan belia. Bahkan, ia merupakan suatu usaha berterusan yang akan mengambil suatu tempoh yang panjang, memerlukan penggarapan segenap sumber dan pengorbanan yang bukan calang-calang.

Oleh yang demikian, pemilihan tema Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ini, iaitu “Islam Gagasan Belia Negara” secara maknawinya memberikan gambaran kepada kita sebagai generasi belia bahawa impian negara yang bakal kita warisi di masa hadapan adalah merupakan tanggungjawab kita pada hari ini. Kitalah yang berhak membentuk, berkorban dan menentukan hala tuju negara di masa hadapan mengikut keinginan dan cita-cita kita.

PEMBINA bercita-cita melahirkan barisan belia, pemuda dan mahasiswa yang cintakan negara Malaysia, berusaha bersungguh-sungguh mengharumkan namanya di persada antarabangsa, dan sanggup berkorban mempertahankan kedaulatan serta identitinya yang asli. Di sini saya ingin menegaskan satu seruan yang jelas bahawa PEMBINA adalah sebuah gerakan pemuda yang ingin bersama-sama membawa perubahan di dalam masyarakat ke arah sebuah negara Islam Malaysia yang lebih harmoni dan sejahtera berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, yang menaungi dan memberi perlindungan kepada segenap lapisan masyarakat.

Gagasan Belia Negara

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tema kali ini ‘Gagasan Belia Negara’ ialah suatu idea yang ingin mengajak para belia supaya sentiasa berwawasan dan berfikiran jauh. Kita perlu sedar bahawa negara ini mempunyai sejarah yang unik dan nilai yang berharga untuk kita perlihara. Sebagai seorang belia warganegara Malaysia yang merdeka, kita harus sedar bahawa kita berada disebuah negara yang membangun maju dengan masyarakat majmuk berbilang kaum yang hidup dalam aman dan sejahtera di bawah naungan Yang DiPertuan Agong dan perlembagaan. Ini adalah bumi dan tanah air kita yang harus kita pertahankan demi masa hadapan kita dan generasi seterusnya.

Tidak dinafikan bahawa kemungkinan wujud beberapa kelemahan dalam sistem pemerintahan yang sedia ada, namun sebagai belia yang bertanggungjawab kelemahan tersebut perlu dibaiki tanpa menggadaikan keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara. PEMBINA percaya bahawa memperbaiki segala kelemahan dalam sistem kerajaan perlulah berbentuk ‘konstruktif’ iaitu tindakan yang membangun dan bukannya bersifat ‘anti-establishment’ dan ‘destructive’. Belia perlu memikirkan kesan jangka panjang terhadap negara kesan daripada sesuatu tindakan tersebut.

PEMBINA menyelar perbuatan sesetengah golongan yang menghina lagu negara, mengubah dan meletakkan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik semata-mata untuk menyampaikan rasa tidak puas hati kepada kerajaan. Tindakan tidak matang ini hanyalah memalukan diri sendiri dan negara.

Lebih membimbangkan lagi ialah wujudnya golongan yang cuba menggugat keharmonian negara dengan menyebarkan rasa kebencian terhadap pelbagai institusi kerajaan termasuklah jabatan  agama, institusi kehakiman, institusi pendidikan dan pihak polis. Sentimen kebencian ini adalah taktik golongan anti-establishment dan liberalis yang cuba melemahkan segala institusi asas bagi sebuah kerajaan bagi memudahkan mereka untuk mewujudkan suasana tegang dan tidak stabil.

Sebagai belia yang berwasasan, sekali lagi ingin saya tekankan bahawa kita mesti berfikiran jauh. Cara fikir kita adalah dalam kerangka memberi penyelesaian jangka panjang dann berterusan dan bukannya sekadar mengkritik dan mencipta masalah baru. Saya yakin pada belia yang hari ini mampu menyumbang dalam pelbagai bidang sektor bagi menyelesaikan segala permasalahan berikut sekaligus membantu pembangunan negara. Mungkin terlalu ambitious atau idealistik untuk kita mengubah sebagalanya tetapi kita berusaha sebaik mungkin dalam kapisiti yang kita ada untuk melaksanakan transformasi negara. Perjalanan yang jauh pastinya bermula dengan langkah pertama.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

Agenda Asing

Sebagai seorang belia yang prihatin dengan bangsa dan negaranya, kita seharusnya perlu sentiasa sedar akan segala cabaran untuk membangunkan sebuah negara. Antaranya ialah segala bentuk ancaman luar yang cuba untuk menggugat kedaulatan dan kesejahteraan negara. Bahkan ancaman ini menyelinap masuk secara terancang dan tersembunyi sehingga mampu mempengaruhi masyarakat khususnya belia untuk turut bersama-sama mereka.

Saya boleh mengambil masa seharian untuk menceritakan menceritakan berkenaan ancaman agenda asing ini, bahkan dalam Ucapan Dasar Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali ke 7 pada tahun lepas telah saya sentuh secara umum, tetapi cukuplah untuk saya nyatakan bahawa gerakan seperti COMANGO merupakan barah yang cukup bahaya untuk Malaysia. COMANGO bukanlah perkara baharu tetapi merupakan hasil usaha berterusan pihak asing yang cuba mengubah dasar negara dan perlembagaan. COMANGO merupakan hasil jelmaan dan kesinambungan Interfaith Council (IFC) yang kedua-duanya mempunyai tuntutan yang hampir sama. Amat memalukan apabila COMANGO terpaksa melutut kepada United Nations Human Rights Council (UNHRC) supaya menerima tuntutan mereka dan masuk campur dalam urusan negara.

Gagal dalam misi meraih simpati UNHRC, usaha COMANGO tidak berakhir di situ. Ini kerana entiti atau individu dan pertubuhan yang menganggotai COMANGO masih bebas melaksanakan agenda mereka melalui pelbagai program dan aktiviti. Agenda asing ini mula menyelinap masuk ke dalam gerakan sivil atau ‘civil society’ dan mempengaruhi minda rakyat Malaysia. Saya khuatir beberapa himpunan haram yang dijalankan pada hari ini juga merupakan sebahagian daripada agenda asing untuk memupuk kebencian kepada negara dan mencetuskan keadaan huru-hara dan tidak stabil. Ini kerana sebahagian besar persatuan yang menganggotai COMANGO turut berada dalam senarai Himpunan BERSIH termasuk ketuanya.

Terdapat satu lagi perkara yang merisaukan kita iaitu penjajahan era baru melalui penguasaan ekonomi Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA). Sehingga kini, dokumen perjanjian yang mengandungi terma dan syarat masih belum didedahkan. Kerisauan kita sebagai belia yang bakal menanggung segala kesan jangka panjang akibat perjanjian TPPA ini ialah berkenaan ketelusan dan terma yang mungkin akan mengaut segala hasil kekayaan negara. Sejauhmana kerajaan mampu meletakkan syarat bahawa kedaulatan negara adalah terjamin sekiranya apa-apa

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah belia perlu lebih peka, prihatin dan kritis dalam menilai sesuatu perkara supaya tidak mudah ditipu dan dipermainkan oleh agenda asing.

Islam asas Kenegaraan

Dalam usaha kita membangunkan negara ini, elemen terpenting yang perlu diberikan perhatian ialah mempertahakan Islam sebagai asas bernegara di Malaysia sebagaimana Islam termaktub di dalam perlembagaan sebagai agama negara. Adalah penting untuk kita memastikan Islam terus menjadi pasak dan tonggak bagi pembinaan sesebuah negara. Di sini terdapat dua cabaran bagi belia negara untuk memastikan kedudukan Islam terpilihara dan terus menjadi tonggak kepada pembinaan negara.

Pertama ialah mempertahakan kedudukan Islam sebagai rujukan utama dan agama negara sepertimana yang termaktub di dalam pelembagaan. Hakikat ini, pada hari ini wujudnya golongan minoriti yang ingin menghapuskan kedudukan Islam sebagai agama negara. Golongan ini yang mendapat dana daripada pihak luar cuba untuk mendefinisikan negara Malaysia sebagai sebuah negara sekular sekaligus memudahkan mereka untuk melaksanakan agenda liberalisasi dan kristianisasi terhadap rakyat Malaysia. Tujuan mereka ialah supaya masyarakat tidak mengaitkan hal-hal kenegaraan dengan agama Islam lantas menghadkan pengamalan Islam hanya kepada ibadah khusus di masjid-masjid dan juga perayaan semata-mata.

Akhirnya urusan negara ini diserahkan kepada mereka yang tidak memiliki kesedaran agama dan mementingkan pembangunan keduniaan semata-mata. Pencapaian pembangunan negara pula akan dinilai berdasarkan necara material dari sudut ekonomi dan urus tadbir tanpa mengambil kira nilai-nilai agama. Dalam masa yang sama, pejuang Kristian evangelis akan berusaha untuk menggantikan agama negara dengan agama Kristian dan peluang ini akan terbuka luas apabila Malaysia diiktiraf sebagai negara sekular.

Dari sudut perundangan, kita akan berhadapan dengan laluan sukar untuk melaksanakan tuntutan Syariah Islam. Walaupun baru-baru ini kerajaan Kelantan telah meluluskan rang-rang undang hudud untuk dibentangkan di Parlimen, namun jika kita tidak mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam maka adalah mustahil untuk kita laksanakannya. Hukum Syariah termasuk hudud merupakan titik penyatuan ummat Islam dan berharap agar ahli parlimen muslim bersatu untuk merealisasikannya. Namun, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa kita perlu mengiktiraf Islam sebagai asas negara Malaysia untuk melancarkan proses tersebut.

Menyedari hakikat ini, PEMBINA gencarkan sebuah kempen memperkenalkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Sebuah kempen yang tidak pernah dibuat orang sebelum ini. Ramai umat Islam di Malaysia ini kurang beriman akan keperluan membangunkan Islam menjadi gagasan sebuah negara. Mereka juga kurang celik menanggapi makna menjadi seorang Muslim dan beriman dengan jihad. Seperti apa yang As-Syahid Syed Qutb telah sebut dalam makalah beliau ‘Maalim Fit Tariq’, jihad yang paling besar adalah jihad melawan sistem kejahiliyahan dan menawarkan sebuah sistem Islam. Definisi jihad ini menurut Syed Qutb telah dilupakan oleh umat Islam. Justeru itu, PEMBINA mengambil posisi utama dalam memperkenalkan semula definisi jihad ini. Oleh kerana itu jugalah, kempen ‘Malaysia Negara Islam’ ini kita laksanakan pada tahun ini.

Malaysia telah mula mendepani agenda liberalisme yang memperkenalkan sebuah konsep negara sekular seawal usia kemerdekaan. Sejak tahun 1986 lagi, ‘foreign funding’ ataupun pendanaan asing disalurkan daripada barat kepada gerakan-gerakan sivil dan politik semata-mata untuk untuk menjayakan misi menjadikan Malaysia negara sekular. Berbagai-bagai hak kebebasan tanpa batas cuba ditanamkan sebagai prinsip perjuangan aktivis-aktivis sosial di Malaysia. Sekarang mereka sudah mempunyai satu arus yang ampuh, yang bermandiri, yang mampu menggerakan agenda barat tersebut. Di samping itu, di peringkat antarabangsa pula menggunakan kaedah ‘semantic infiltration’ untuk mengubah makna negara Islam ataupun ‘Islamic State’ menggunakan ISIS setelah pada tahun 2003 mereka berjaya mengubah makna jihad menjadi terrorisme. Sedangkan di pihak umat Islam, kita sering persoalkan siapa lagi yang boleh diharapkan dalam membangunkan Islam sebagai sebuah gagasan negara? Hampir semua seiya sekata boleh dikatakan tiada.

Kerana hal ini jugalah PEMBINA telah berhempas pulas dalam melaksanakan peranannya sebagai sebuah organisasi Islam. Sepanjang 3 bulan ini, PEMBINA berjaya melahirkan hampir 300 orang speaker yang kompeten untuk menjadi lidah PEMBINA menyampaikan agenda Malaysia Negara Islam. Hujahan serta kajian PEMBINA cukup ampuh dan mapan baik dari sudut falsafah, syariah, sejarah dan perundangan dalam mematahkan hujah yang hampir berstatus quo bahawa Malaysia merupakan Negara sekular. Kita katakana awal-awal kepada golongan sesumpah jahiliyah, golongan liberalist-sekularist dan golongan yang mengAGAMAkan hak asasi manusia bahawa PEMBINA akan membawa arus baru menjayakan projek umat bahawa Malaysia dulu, kini dan selamanya merupakan sebuah Negara Islam.

Isu Antarabangsa: Antara Fatamorgana dan Gerhana

Hadirin yang dihormati sekalian,

Umat Islam hari ini, sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia, dihimpit dan disibukkan dengan pelbagai isu sehingga melupakan tanggungjawab besar kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi.

Perkembangan geopolitik yang sedang menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar dunia tidak berpihak kepada agenda negara Islam di mana-mana. Melihat kemelut berdarah di negara-negara umat Islam Afghanistan, Iraq, Libya, Syria, Palestin, Mesir dan yang terkini di Yaman, umat Islam berada dalam keadaan dicatur dan diperkotak-katikkan. Kuasa-kuasa besar dunia yang didalangi tangan-tangan Zionis mencaturkan umat Islam berperang dan berbunuhan sesama sendiri.

 

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah At-Taubah: 32)

Musuh-musuh Islam, bermula dari kebangkitan tentera Salib, mula mengkaji pendekatan-pendekatan bagi menghancurkan agama dan umat Islam. Dari semasa ke semasa, tahun ke tahun, bahkan kurun ke kurun, mereka akan datang dengan pendekatan dan strategi-strategi baru menghancurkan umat Islam.

Laporan RAND Corporation, merumuskan strategi yang telah menjadi polisi negara Amerika Syarikat, mewujudkan rangkaian Muslim moderat bagi mencipta agama Islam baru yang mengagungkan agenda Amerika Syarikat. Tidak cukup dengan fatamorgana yang mempesonakan ini, umat Islam dikejutkan dengan kemunculan gerakan ekstrimis ‘Islamic State’ (IS) yang membawa imej Islam sebagai pembunuh yang laparkan darah manusia. Mereka membunuh lelaki, wanita, tua dan muda termasuk yang beragama Islam sendiri. Terma ‘Negara Islam’ akhirnya telah dicemari dengan imej keganasan melampau.

Hakikatnya, kemelut-kemelut dunia terutamanya yang melanda negara-negara Islam khususnya di Timur Tengah, merupakan medan persaingan blok Barat yang didalangi Amerika Syarikat dan blok Timur yang didalangi Rusia dan China. Persaingan ekonomi, pengaruh dan kuasa ketenteraan diterjemahkan kepada campur tangan dan percaturan negara-negara ketiga. Apa yang berlaku di Syria, Mesir dan Libya sebagai contoh, bukan semata-mata kebangkitan rakyat menuntut kebebasan atas semangat demokrasi, tetapi pada hakikatnya telah dicemari percaturan kuasa asing yang mahu melaksanakan agenda mereka menguasai dunia.

Persediaan Pemimpin

PEMBINA optimis dan sentiasa bersedia untuk melahirkan belia negara yang mampu untuk menyumbang secara positif kepada pembangunan negara Malaysia. Belia negara ini bukan sekadar mampu menyumbang tetapi mempunyai cita-cita besar untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan negara hari ini.

Di sini, PEMBINA menilai kepimpinan sebagai suatu elemen yang penting dan prioriti kepada ahli. Oleh itu, saya ingin mengumumkan berita gembira untuk ahli aktif bahawa satu modul kepimpinan PEMBINA yang komprehensif sudah dalam fasa akhir dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, secara percuma dan khusus kepada ahli aktif.

PEMBINA mempunyai bayangan yang tinggi terhadap susuk tubuh, nilai, akhlak dan keperibadian ahli-ahli PEMBINA terutamanya di kalangan ahli-ahli aktif. Adalah satu kegagalan di pihak JKP jika belia menyertai PEMBINA tidak mampu untuk memilik nilai tambah pada dirinya. Kita ingin memastikan bahawa belia yang menyertai PEMBINA mampu menjadikan dirinya jauh lebih cemerlang dan hebat, berbanding belia yang lain.

Kerana itu, bermula tahun ini di bawah penyeliaan Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan, PEMBINA akan adakan latihan dan kursus kepimpinan khusus untuk ahli-ahli aktif PEMBINA sahaja. Kursus-kursus ini bertujuan membentuk dan membangunkan potensi ahli-ahli PEMBINA supaya menjadi pemimpin professional. Modul-modul pilihan terbaik yang sedang disusun antaranya adalah modul ‘The Leader in Me’, ‘Lead with Confidence’, ‘The Expert’, ‘Public Speaking’, ‘Professional Image Grooming’, ‘Advance Communication’ dan pelbagai lagi yang melibatkan kursus dalam kelas dan kursus outdoor.

Di samping kursus yang disediakan, saya berharap agar ahli PEMBINA mengambil langkah proaktif untuk mempertingkatkan keupayaan dan potensi diri supaya menjadi lebih kompeten, berkualiti dan karismatik. Di sini saya ingin menggariskan beberapa ciri yang ingin kita capai dalam persediaan menjadi pemimpin professional:

  • Berdaya saing
  • Berfikiran jauh
  • Memimpin
  • Kuat bekerja
  • Berinovasi

Sunnah Rasulullah

Marilah kita semua mencontohi perjuangan Rasulullah dan para sahabat Baginda yang bukan sahaja gigih menyampaikan risalah Islam, bahkan Berjaya membina sebuah negara berteraskan gagasan ajaran Islam yang tulen. Rasulullah ketika itu didokong oleh generasi pemuda belia seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Ali bin Abi Talib dan lain-lain.

Begitu juga kita dapat lihat, generasi perjuangan dalam lipatan sejarah Islam dipelopori oleh golongan belia berjiwa besar. Salahuddin Al-Ayubi merupakan belia berwawasan tinggi dan berpandangan jauh sehingga mampu membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis. Didikan awal dan pembinaan diri yang diterima harus menjadi contoh ikutan. Begitu juga Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya membuka kota Konstantinopel seawall usia 21 tahun. Mereka benar-benar membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang menjadi seorang belia tonggak negara.

Islam yang berjaya dinegarakan oleh generasi awal, merupakan Islam yang menaungi, memberikan perlindungan kepada semua rakyatnya tanpa mengira kaum, agama, usia, jantina dan warna kulit.

Contoh-contoh tauladan ini merupakan suatu bukti dan cabaran kepada generasi muda pada hari ini dalam memberikan sesuatu kepada kebaikan umat ini. Marilah sama-sama kita mengkaji dan mendalami sejarah mereka yang terdahulu, kemudian mencontohinya dalam segenap aspek kehidupan kita, terutamanya dalam mengejar cita-cita membina negara masa hadapan untuk Islam.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Surah Al-Kahfi: 13) 

Dengan kesimpulan inilah maka kamu, angkatan pemuda akan menghadapi kewajipan yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipatganda; malah dari sinilah maka amanah yang dipikulkan ke atas bahu kamu itu akan menjadi bertambahberat.

Firman Allah lagi:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”.” (Surah Al-Anbiya’: 105)

Wahai pemuda, belia dan mahasiswa! Sahutlah seruan ini, bahawa kita semua adalah pewaris perjuangan membina tamadun Islam yang gilang gemilang.

PEMBINA membina Malaysa, Islam Gagasan Belia Negara!

 

Disediakan oleh,

Ustaz Ibrahim Mohd Hasan al-Hafiz

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top