was successfully added to your cart.

Mahasiswa merupakan tonggak utama kepada negara dalam persiapan untuk memimpin negara pada masa hadapan. Kelantangan suara mahasiswa pernah menjadi satu fenomena suatu ketika dahulu dalam membawa isu-isu yang menyentuh hak mahasiswa sendiri seperti isu Akta Univetsiti Kolej Universiti (AUKU), Kuasa Autonomi Universiti dan sebagainya. Menelusuri sejarah kebangkitan mahasiswa suatu ketika dahulu, kita sebenarnya mampu mengubah dasar kerajaan dan halatuju negara terutamanya dalam isu pendidikan.

Realiti pada hari ini jika kita melihat berlaku pelbagai cubaan pencabulan ke atas hak asas orang Melayu dan bumiputera dalam beberapa perkara termasuklah hak pendidikan itu sendiri. Melihat kepada tuntutan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), ternyata akan menjejaskan hak mahasiswa pada hari ini dan semestinya generasi mahasiswa pada masa akan datang. Tidak dapat tidak suara mahasiswa semestinya ditagih bagi mendesak kerajaan menolak secara tuntas usul ratifikasi ICERD ini di Parlimen. Kenyataan yang dibuat di media semata-mata oleh kerajaan untuk menolak ICERD ini dilihat masih belum kukuh kerana masih ada suara-suara sumbang kedengaran dari kem kerajaan sendiri untuk ratifikasi ICERD ini walaupun kenyataan menolak ICERD ini telah dikeluarkan.

Ramai yang bertanya apa kaitannya ICERD dengan mahasiswa? Sudah semestinya ICERD sangat berkait rapat dengan mahasiswa. Antara tuntutan ICERD menyentuh kepada penghapusan hak Bumiputera itu sendiri. Hal ini jelas bertentangan dengan perlembagaan negara terutamanya Perkara 153. Dalam Perkara 153 ini, Hak Bumiputera termasuk Sabah dan Sarawak adalah dilindungi. Cubaan untuk merungkai perkara ini, pastinya akan memberi kesan kepada kelangsungan penduduk Bumiputera di tanah air mereka sendiri terutama dalam bidang pendidikan apabila kouta kemasukan Bumiputera ke Universiti Awam (UA) bakal terhapus.

Antara sebab mahasiswa perlu turun menyertai Himpunan Daulat 812 ialah :

  1. Mahasiswa merupakan ‘Check and balance’ kepada masyarakat. Suara mahasiswa itu sendiri merupakan kekuatan kepada masyarakat dan cukup signifikan dalam membawa isu-isu yang menyentuh perlembagaan negara.
  2. Kehadiran mahasiswa ke Himpunan Daulat 812 ini merupakan satu simbolik untuk mengembalikan semula kegemilangan kepimpinan mahasiswa yang dilihat semakin lesu ditelan arus zaman. Kelesuan suara mahasiswa dapat diatasi dengan semangat bersolidariti untuk mempertahankan hak asasi yang dituntut dalam ICERD.

Akhir kata. mahasiswa bakal pemimpin negara. Seperti kata sarjana “Jika ingin melihat pemimpin masa hadapan, lihatlah pemuda pada hari ini”.

Ayuh #MAHASISWATURUN812 kerana anda semua sosok tubuh yang bakal memimpin negara pada masa akan datang. Kami ingin dengar suara anda bergema di Dataran Merdeka!!

Rabiatul Hasanah Mahmood
Timbalan Ketua Media
Pembina Bangi

Author Nor Syamimi

More posts by Nor Syamimi

Leave a Reply