Uzair : PEMBINA perlu berani mengasah potensi dalam medan

“Berani mengasah potensi melalui PEMBINA”

Bismillahirrahmannirahim

Tokoh mahasiswa kali ini menampilkan seorang mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), cawangan Gombak yang menuntut dalam kursus Psikologi. Beliau dilahirkan pada tanggal 17 November 1990 di Hospital Daerah Teluk Intan. Beliau yang mempunyai enam orang adik beradik merupakan anak bongsu kepada pasangan Muhammad bin Zakaria dan Khodizah bt Mokhtar. Beliau yang dimaksudkan adalah Muhammad Uzair Izzat Amir bin Muhammad, JK Politik Kampus PEMBINA Pusat, seorang tokoh yang sememangnya sudah mula aktif sejak dibangku sekolah lagi.


Saudara Uzair telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam dan kemudian meneruskan pengajian ke pendidikan menengah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang, Ipoh dalam Kelas Aliran Agama (KAA) dari tingkatan satu sehingga tingkatan tiga. Pada tahun 2006, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash dan mengambil jurusan Perdagangan. Selepas tamat tingkatan lima, beliau menuntut di Madrasah Diniah Al-Latifiah dalam bidang agama di Pengkalan Hulu selama lima bulan sebelum mendapat tawaran  ke Kolej Matrikulasi Perlis (KMP). Menariknya, madrasah ini dipimpin oleh seorang ulama yang terkenal iaitu Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Setelah sebulan di KMP, beliau mendapat tawaran dari UIAM. Berbekalkan nasihat keluarga dan keyakinan pada tadbir Allah SWT, beliau menamatkan pengajian di KMP dan memasuki Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya.

Semenjak dibangku sekolah lagi, beliau sentiasa mencuba untuk mencungkil potensi yang dikurniakan dengan mewakili sekolah dalam pertandingan nasyid, pidato, debat, deklamasi sajak-puisi dan kawad kaki. Antara pencapaian yang dikecapi dibangku sekolah ialah Anugerah Pelajar Cemerlang 2005, tempat pertama Pertandingan Kawad Kaki KRS Kinta tahun 2006, tempat kedua Pertandingan Debat ala Parlimen peringkat Kinta tahun 2007 dan tempat ketiga Pertandingan Eksplorasi Alam Kerjaya peringkat Negeri Perak 2007.  

Belajar apa itu kepimpinan

Sabda Rasulullah SAW: “Kamu semua adalah penjaga dan kamu semua akan ditanya tentang jagaan kamu”. Bakat kepimpinan pada seseorang itu harus dicungkil dengan teliti agar dapat dimanfaatkan pada jalan kebaikan. Begitu juga bagi saudara Uzair, beliau menceritakan sewaktu di sekolah rendah beliau merupakan pelajar yang pasif. Namun apabila meningkat dewasa dan mula dicabar oleh keadaan sekeliling, beliau mula mengeluarkan potensi yang ada dalam diri. Pada tahun 2007, beliau diamanahkan dengan amanah yang besar untuk menjadi Ketua Pelajar bagi sesi 06/07.  Disinilah waktu beliau belajar mengutip pengalaman berharga berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan guru, pentadbiran dan kakitangan, serta menyeimbangkan antara akademik dan kepimpinan.

Selepas melangkah ke universiti, beliau terus aktif dalam kepimpinan. Antara penglibatan beliau semasa di universiti ialah menjadi ahli jawatankuasa LEADTRAIN (Leadership and Training) UIAM PJ, Exco Kebajikan Fasilitator Representative Committee (FRC) UIAM PJ, penglibatan dalam pertandingan International Computing Programming Contest (IBM ICPC) dan Pengarah Program mempromosikan Himpunan Sejuta Ummat (HIMPUN) peringkat UIAM, cawangan Gombak.

Aktivisme PEMBINA

Sejak menyertai PEMBINA pada akhir tahun 2008, beliau terus menyumbang melalui medan PEMBINA dan terus membangunkan aktivisme. Antara jawatan beliau didalam PEMBINA ialah Pengerusi PEMBINA UIAM PJ 2009, Ketua Biro Promosi dan Garap 2010, Timbalan Presiden PEMBINA UIAM Gombak 2011 dan Jawatan Kuasa Politik Kampus 2012. Antara kata-kata beliau mengenai kepimpinan ialah, “Jawatan jangan diminta kerana Rasulullah SAW mencela orang yang meminta jawatan, namun apabila telah diberikan jawatan/amanah selepas shura (perbincangan) beramalah dengan amal yang terbaik bagi menyempurnakan tanggungjawab itu. Kesilapan dan kealpaan akan sentiasa berlaku, namun belajarlah dari kesilapan untuk menjadi lebih baik. Itulah tanda umat yang cemerlang”.

Sepanjang menyertai PEMBINA, saudara Uzair telah beberapa kali mewakili PEMBINA dalam perbincangan dan forum antara persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Beliau pernah mewakili PEMBINA dalam “Forum Siswa: Ikhwan, Mesir dan Dunia Islam” anjuran Institut Forum Siswa (I-FORSIS), “Dialog Student Power: Rasional atau Radikal” anjuran PEMBINA dan “Diskusi Meja Bulat: Halatuju Pendidikan Nasional dan Prospek Masa Depan Negara”, anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Beliau mengakui masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki, banyak kitab yang perlu ditekuni, banyak tokoh yang perlu dicontohi dan banyak juga sahabat yang perlu disantuni agar mencapai benar-benar memenuhi aspirasi PEMBINA “Meneraju Arus Mahasiswa”.

Pesan kepada diri dan sahabat

Akhir sekali, saudara Uzair berpesan kepada semua ahli PEMBINA agar kita menyiapkan diri dengan anti-virus terhadap maksiat dan memiliki catalyzer kepada aktivisme. Didalam kehidupan seharian kita, pasti menempuh dua cabang. Firman Allah SWT dalam surah As-Syam, ayat 7-10

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan Yang sesuai Dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan Yang membawanya kepada kejahatan, dan Yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya – Yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Benteng iman pasti akan memandu kita supaya beramal dengan amalan yang soleh, begitulah pesan saudara Uzair. Melihatkan kepada realiti mahasiswa hari ini, ternyata tanggungjawab untuk memimpin mahasiswa itu perlu diletakkan kepada persatuan yang ingin mengembalikan mahasiswa kepada jalan Islam dan memiliki ahli-ahli yang berani menyatakan pendirian mereka berpaksikan syariah Islam walaupun tidak disukai lawan.  Justeru itu, semua ahli PEMBINA harus menyedari peranan besar ini dengan cara semua ahli PEMBINA perlu berani mengasah potensi dalam medan PEMBINA agar mencapai matlamat Meneraju Arus Mahasiswa!