Tambah nilai bulan Ramadhan anda tahun ini! – Nur Nazura Salim

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan menuntut seluruh umat Islam untuk berpuasa selama sebulan. Berpuasa mampu mendidik jiwa setiap individu muslim untuk lebih sabar, mampu mengawal hawa nafsu, serta mampu meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri. Sudah menjadi kewajipan untuk setiap daripada kita untuk melaksanakan ibadah puasa, solat tarawikh, membaca alQuran, melaksanakan qiammullail dan ibadah- ibadah sunat yang lain.

Namun begitu, para daie bukan hanya perlu mencukup dan menyempurnakan diri dengan ilmu dan
ibadah untuk diri sendiri semata-mata, malah lebih daripada itu. Sudah tiba masanya untuk kita tambah nilai puasa kita pada tahun ini dengan melaksanakan amalan yang kita tidak pernah kita buat atau sudah lama kita tinggalkan sebelum ini.

Apakah tambah nilai yang dimaksudkan? Tambah nilai yang dimaksudkan adalah setiap daripada kita perlulah melaksanakan dakwah terhadap masyarakat sekeliling amnya dan individu di sekitar kita khasnya. Keluarlah daripada kurungan dan kepompong yang menjadi kebiasaan kita untuk melaksanakan dakwah ini. Setiap daripada kita haruslah merancang dan menetapkan target sebaiknya dengan siapa yang kita ingin berdakwah, bagaimanakah cara-caranya, dan di manakah tempat-tempatnya. Inilah peluang terbaik dan inilah masanya untuk para daie mendapatkan seramai mungkin pengikut yang boleh bersama-sama kita di jalan dakwah ini. Setiap daripada kita perlu merebut peluang keemasan ini kerana ganjaran yang akan diperoleh adalah berlipat-lipat kali ganda. Ingatlah bahawa tugas berdakwah tidak terhenti di bulan Ramadhan kerana setiap daripada kita adalah “full timer” dalam amal dakwah.

Namun begitu, untuk merealisasikan tanggungjawab ini, setiap daripada kita perlulah menyiapkan diri sebaiknya. Bulan ramadhan merupakan bulan terbaik untuk para daie bermuhasabah dan memperbaiki diri agar kita benar-benar sujud dan tunduk kepada Allah serta meletakkan sepenuh pengharapan kepada-Nya. Setiap daripada kita perlulah berhenti memberi alasan seperti sibuk,penat, malas, tiada masa, bertangguh dan sebagainya. Keluhan-keluhan ini perlu dielakkan dan diatasi sebaiknya agar kita dapat terus gagah hingga ke garisan penamat bulan ramadhan dan perjalanan dalam mendapatkan syurga Allah. Kita perlu sedar bahawa ramai mereka di luar sana yang mencari kebaikan, yang ingin menimba ilmu, dan yang memerlukan kita untuk mengajarkan ilmu itu kepada mereka. Yakinlah dengan firman Allah Taa’la yang berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan
menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad,47:7).

Para daie sekalian, Ramadhan yang kita nantikan mestilah lebih baik  dari tahun-tahun sebelum ini. Tetapi, adakah kita akan terus membiarkan nilai ramadhan tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya? Oleh itu, ayuhlah kita tambah nilai ramadhan kita pada tahun ini dengan menggencarkan dakwah dan semoga setiap amalan-amalan dan pengorbanan yang dilakukan diambil kira dan diberi ganjaran yang setimpal daripada Allah Taala.

 

Oleh:
Nur Nazura Salim
JK Pembangunan Organisasi PEMBINA