tahun baru buat pembina 2017

Tahun Baru Buat PEMBINA

Diam tidak diam kita sudah pun meninggalkan tahun 2016 dan melangkah masuk ke tahun 2017. Tahun 2016 pasti telah melakar seribu satu rasa dalam kehidupan kita semua. Dan saya fikir begitu juga dengan Pembina. Sebagai sebuah pertubuhan belia antara yang terbesar di Malaysia, tahun 2016 pasti telah meninggalkan seribu satu pengalaman dan kenangan dalam batang tubuh Pembina.

Tahun 2016 telah pun berlalu dan tahun 2017 pula yang sedang menanti di hadapan sana. Sebagai pertubuhan belia yang progresif dan dinamik sentiasa, Pembina mesti bersiap siaga untuk menghadapi segala cabaran yang ada. Jadikanlah segala pengalaman dan kenangan yang ditimba pada tahun 2016 yang telah berlalu sebagai pedoman dan rujukan untuk menghadapi segala cabaran yang akan berlaku.

Di tahun 2017 ini, Pembina mesti kekal menjadi pertubuhan belia yang bebas sentiasa. Ia tidak boleh mejadi pertubuhan belia yang cenderung kepada mana mana pihak atau parti politik yang wujud dalam negara. Ia mesti bebas untuk terus berjuang bagi memartabatkan Islam, Melayu (serta Bumiputra), dan Malaysia.

Pembina akan dilihat sebagai pertubuhan yang terus relevan seandainya ia boleh berinteraksi dengan segenap isu. Segala isu yang berlaku, baik dalam politik, ekonomi, dan sosial, Pembina boleh mengulasnya di setiap empat penjuru. Tetapi prinsip bebas dan adil itu tetap juga perlu.

Apabila Pembina boleh terkehadapan dalam bercakap tentang pelbagai isu, barulah orang tertarik untuk mengambil tahu tentang apakah pertubuhan bernama Pembina ini. Dengan cara ini, Pembina bukan sahaja boleh menarik ramai belia untuk menyertainya, malah ia boleh dikenali oleh ramai anggota masyarakat yang ada dalam negara.
Ada sesetengah pertubuhan belia dahulu sangat dikenali bukan sahaja kerana mereka dipimpin boleh pemimpin yang berwibawa, malah mereka agak kritis dalam bercakap tentang pelbagai isu juga.

Dengan sekelip mata sahaja pertubuhan belia itu boleh dikenali oleh masyarakat Malaysia. Tetapi, apabila ia tidak dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa lagi, akhirnya ia menjadi pertubuhan belia yang ‘senyap sunyi’ sehinggalah ke hari ini.

Antara kesilapan yang banyak dilakukan oleh pertubuhan belia terdahulu adalah ia dilihat sangat dekat dengan beberapa buah parti politik. Lalu ia menjadi sebuah pertubuhan belia yang tidak bebas dan dinamik. Oleh sebab itulah apabila ramai pemimpinnya terjun ke dalam parti politik, ia mula menjadi pertubuhan belia yang tidak lagi berbisa.

Sebab itulah saya menghalang Pembina cenderung kepada mana mana parti politik dalam negara.
Sebagai sebuah pertubuhan belia antara yang terbesar dalam negara, Pembina mesti bersedia untuk melahirkan ramai pemimpin yang bijaksana dan berwibawa.

Tidak cukup hanya dengan itu sahaja, melahirkan pemimpin yang boleh dijadikan suri teladan (role model) oleh para belia dalam negara adalah amat penting juga. Jika Pembina berupaya melahirkan ramai pemimpin yang hebat hebat belaka, tidak mustahil ramai belia tertarik untuk menyertai Pembina. Maka dakwah dan tarbiyah yang terpasak lama dalam batang tubuh Pembina akan tersebar luas di sini sana.

Saya berharap agar Pembina boleh belajar daripada kesilapan dan kejatuhan mana mana pertubuhan belia yang pernah ditubuhkan dahulu. Segala kesilapan itu boleh dijadikan rujukan untuk menjadikan Pembina sebagai sebuah pertubuhan belia yang ada kelas dan mutu.

Janganlah diulangi sebarang kesilapan yang pernah dibuat oleh pemimpin pemimpin belia terdahulu.

Saya sangat yakin dan percaya bahawa ada dalam kalangan pemimpin Pembina ini yang akan jadi pemimpin yang dikenali dan dihormati suatu hari nanti. Sama ada dilantik menjadi Menteri atau pemimpin di sebuah konglomerat gergasi atau setidak-tidaknya menjadi pegawai kerajaan di peringkat tertinggi, ia adalah satu kelebihan yang Pembina boleh bangga suatu ketika nanti. Yang pasti pemimpin pemimpin inilah yang akan mencorak masa depan agama, bangsa, dan negara.

Diharapkan segala tarbiyah yang diperolehinya semasa berada dalam Pembina boleh membantunya un
tuk menjalankan pentadbiran yang bersih, cekap, dan amanah sentiasa. Moga moga agama, bangsa, dan negara boleh elok sentiasa apabila dipimpin oleh bekas bekas ahli Pembina yang telah dikenali dan berjawatan tinggi dalam negara.

Pembina mesti kekal dengan apa yang telah dibuatnya sekarang dan terus melakukan penambahbaikkan untuk kekal relevan pada masa kini dan akan datang.

Pembina mesti menjadi pertubuhan belia yang boleh menarik ramai belia untuk menyertainya. Segala yang berlaku kepada pertubuhan belia yang terdahulu, boleh dijadikan iktibar agar Pembina tidak menjadi seperti itu. Diharapkan Pembina tidak menjadi pertubuhan belia yang buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap!

tahun baru buat pembina 2017

Oleh : Muhammad Nurhaziq bin Abdul Hafiz
(Ahli unit Media Pembina UiTM Shah Alam)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top