PEMBINA merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Dr. Mahathir Mohamad di atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu. Sejarah baharu tercipta apabila beliau merupakan individu pertama yang menjawat jawatan tersebut untuk kali yang kedua. Ucapan tahniah juga ditujukan kepada lebih 11 juta pengundi yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam memilih kepimpinan negara. Walaupun peratus keluar mengundi kali ini berlaku penurunan kepada 76 peratus berbanding 84.8 peratus pada PRU 13 yang lalu, namun ianya merupakan antara peratusan keluar mengundi tertinggi yang harus dipuji untuk hari mengundi yang berlangsung pada pertengahan minggu.

Tarikh 10hb Mei 2018 merupakan tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia apabila berlakunya transisi luar jangkaan terhadap pemerintahan negara. Barisan Nasional yang diberikan mandat hampir 60 tahun oleh rakyat, akhirnya akur untuk memberikan laluan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan. Hakikat ini seharusnya diterima dengan hati yang terbuka oleh Barisan Nasional kerana pilihan telah dibuat oleh rakyat dan rakyat benar-benar mahukan perubahan untuk membela nasib mereka. Banyak perkara yang perlu dimuhasabah oleh Barisan Nasional dalam masa lima tahun ini sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang seterusnya.

Faktor terbesar yang menyumbang kepada keputusan PRU ke 14 ini dikatakan adalah dipengaruhi oleh faktor pengundi-pengundi muda yang kebanyakannya dikategorikan sebagai “The First Time Voters”. Jumlahnya dikatakan hampir separuh daripada jumlah pengundi berdaftar pada PRU ke 14. Ini menunjukkan bahawa, belia-belia negara termasuk mahasiswa sudah mula aktif melibatkan diri dalam pilihan raya negara sekaligus menunjukkan bahawa mahasiswa mula berminat untuk memikirkan tentang masa depan negara. Perkembangan positif ini bagi PEMBINA seharusnya tidak terhenti setakat itu sahaja, mahasiswa seharusnya perlu terus cakna dan terlibat aktif dalam hal-hal pembentukan negara lebih-lebih lagi ianya menyentuh isu dan perancangan masa depan negara.

Untuk kerajaan yang baru dilantik, selamat menjalankan tugas sebagai sebuah kerajaan yang baharu. Perlantikan ini merupakan amanah dan kepercayaan rakyat untuk anda. Lima tahun merupakan jangka masa yang singkat tapi cukup untuk membuktikan prestasi anda dalam merealisasikan aspirasi rakyat. PEMBINA menyeru supaya prinsip utama negara (Perlembagaan, Insititusi Diraja, Melayu dan Islam) terus dijaga dan dipertahankan oleh kerajaan. Ini kerana, penjagaan terhadap prinsip utama ini merupakan asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negara yang telah kita gapai selama 60 tahun semenjak merdeka dahulu. PEMBINA meletakkan keyakinan kepada kerajaan yang akan memimpin nanti untuk menjaga prinsip-prinsip tersebut agar keharmonian yang telah dibina oleh generasi-generasi terdahulu dapat dikekalkan untuk generasi mendatang.

Tidak dilupakan sekalung penghargaan diberikan kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kesemua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung membantu pengundi untuk menjalankan hak sebagai warganegara dengan aman dan sejahtera.

Akhir kata, PEMBINA akan terus konsisten menjadi sebuah gerakan yang neutral dan komited untuk menjadikan perpaduan sesama umat Islam sebagai jalan terbaik dalam membentuk jati diri belia dan mahasiswa Islam dengan usaha mengembang potensi ke arah melahirkan kepimpinan belia yang syumul bagi negara menjelang tahun 2030.

“Meneraju Arus Mahasiswa”

Wafiq Azman
Naib Presiden 1
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

 

Kredit gambar: Astro Awani