Tabung Duit Tingkat Taqwa

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan  hendaklah setiap jiwa (orang) memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Q.S Al Hasyr : 18)

Salah satu daripada jalan menuju ketaqwaan adalah Mu’aqabah iatu menghukum diri atas segala kekurangan.  Seorang mukmin itu sentiasa bila mana dia sedar telah melakukan kesalahan, beliau mendera diri sendiri  sebagai peringatan untuk tidak melakukan kesalahan itu lagi. Dengan syarat, beliau mendera diri dengan perkara yang diharuskan bukan menzalimi diri dengan perkara yang diharamkan.

Sifat mu’aqabah ini telah diteladani oleh para salafussoleh dari zaman terdahulu lagi. Diriwayatkan bahawa suatu hari Saidina Umar r.a. pergi ke kebunnya. Setelah pulang, didapatinya orang-orang sudah selesai melaksanakan solat Asar. Lantas beliau berkata, “Aku pergi hanya untuk sebuah kebun, aku pulang orang-orang sudah solat Asar, ini kebunku aku jadikan sedekah buat orang-orang miskin.” MasyaAllah! Hanya kerana terlepas solat berjemaah, seluruh kebun beliau disedekahkan kepada orang-orang miskin

jarPada zaman awal-awal saya menyertai usrah ketika perangai masih lagi ‘gila-gila remaja’, kakak-kakak senior memperkenalkan kami dengan konsep tabung  denda. Pada mulanya rasa kekok tapi kami berjaya mengubah laras bahasa kami kepada yang lebih baik dan dalam masa sebulan dua sahaja. The penalty jar idea really worked for us!

Jadi kali ini saya ingin kongsikan idea ini kepada anda semua sempena persiapan ke arah Ramadhan juga, sebagai salah satu cara kita bermu’aqabah dan membaiki amal dan hati kita hendaknya.

Cara-cara membuat Tabung Tingkat Taqwa

  1.  Dapatkan satu bekas duit  untuk dijadikan tabung samada satu balang kaca berpenutup, kotak atau tabung khas. Labelkan tabung anda dengan kertas “Tabung Tingkat Taqwa” di luar.
  2. Dapatkan kawan-kawan untuk terlibat sama samada rakan serumah, adik-beradik atau ahli usrah. Sekurang-kurangnya mereka akan turut mengawasi perbuatan dan perkataan anda dan memastikan anda membayar denda.
  3. Senaraikan peraturan-peraturan  permainan  dan tetapkan denda yang dipersetujui oleh ahli-ahli yang terlibat. Jangan letakkan kadar denda yang terlalu rendah atau terlalu tinggi. Kalau terlalu murah, pemain tidak akan merasa berat terhadap hukuman yang dikenakan.
  4. Antara cadangan yang boleh dilakukan ialah
    • Denda lewat solat/tidak berjemaah/tidak berpuasa sunat : RM 0.50
    • Denda mengeluarkan setiap perkataan buruk atau sumpah seranah : RM 0.20
    • Denda tidak mengaji Quran dengan bilangan muka surat yang ditetapkan : RM 1.00
    • Denda tidak cukup bilangan istighfar sehari atau tidak membaca mathurat: RM 0.50

5. Pada akhir bulan, wang yang dikumpulkan hendaklah digunakan untuk perkara-perkara baik. Jangan pula wang itu digunakan untuk kegunaan anda sendiri seperti membeli chicken chop atau baju baru. Ia bukan sebagai insentif untuk berkelakuan buruk. Dermakan kepada yang memerlukan atau kepada masjid kawasan anda  atau kepada persatuan islamik seperti PEMBINA contohnya ;).  Insyaallah sedekah itu ada pahalanya.

6. Untuk pengguna smart phone, anda boleh membeli apps seperti Penalty Jar, Curse Jar untuk membuat Tabung Tingkat Taqwa anda sendiri secara virtual.

Pastikan semua ahli yang terlibat memainkan peranan untuk membayar dan mengingatkan yang lain untuk berakhlak baik dan menjaga ibadah.  Sebagai orang yang memulakan inisiatif ini, anda patut menjadi contoh teladan kepada yang lain terutamanya. Amaun kutipan bulan kedua sepatutnya lebih rendah dari kutipan bulan pertama. Sekiranya lebih tinggi atau sama sahaja maka anda patut bermuhasabah samada anda telah berjaya bermu’aqabah untuk membentuk diri menjadi muslim yang lebih baik atau tidak. Moga Allah meningkatkan darjat taqwa kita.

Senang dan menarik bukan? Jadi mulakan Tabung Duit Tingkat Taqwa anda hari ini juga!

Oleh,

Hidayah binti Jasmi
Bendahari PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top