Surat Terbuka untuk Gadis Vapers


Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum wbt.

Kehadapan akak-akak vapers di luar sana. Saya harap agar akak sekalian belum lagi terbatuk dek kepul-kepul asap yang akak sedut selama hari ini, moga-moga masih ada ruang dan kesempatan untuk berhenti ber”vape”

Surat ini saya nukilkan buat akak si gadis manis jelita yang terjerumus dalam kancah Vape. Mungkin pada akak semua Nampak macam hipster dan cool tapi hakikatnya kalau bakal mak mentua akak semua tengok mungkin beliau akan berfikir beratus kali sebelum menerima akak sebagai suri hati anaknya.
Apatah lagi kalau bakal-bakal majikan akak terjumpa video kepul naga asap akak di laman sosial, mungkin mampu mengakibatkan akak kehilangan peluang untuk mendapat pekerjaan idaman akak.

Ya benar, rezeki itu milik Allah, jodoh tu pun rahsia Allah, takkan ada sesiapa yang boleh lari dari “kun fa ya kun” milikNya. Namun, kalau dah perbuatan yang kurang manis akak pertontonkan kepada dunia…. Macam mana lah ye?

Sejarah Vape dan pengharamannya
Video kepul kepul asap bajet naga cool akak itu telah menyebabkan saya mencari-cari sejarah Vape. Vape yang mula dicipta pada tahun 1960an tapi tak dapat sambutan pun.
Sampailah hadirnya si Hon Lik yang merupakan perokok tegar mencipta vape berinspirasikan mimpinya. Haa mesti akak-akak kata “Vape ni lagi selamat dari rokok la” kan kan kan? Tapi tahukah akak bahawa vape dah pun diharamkan di bebrapa negara-negara seperti Australia dan Singapura.

Apa sebenarnya isi vape?
Akak-akak ku tersayang,
Saya yakin dan pasti bahawa akak semua mesti “expert” habis bab komponen-komponen vape ni yang mengandungi bateri, atomizer dan penyedut. Bateri tu fungsi dia nak panaskan e-liquid dan jadikan wap lalu terhasilah kepu-kepul asap naga yang akak akak semua sedap sedut tu… Haa, tau tak dalam e-liquid tu ada glycerin dan nikotin? Walaupun argument di pihak akak-akak semua adalah kandungan nikotin lebih rendah daripada rokok dan ia 95% lebih selamat, tahukah akak, menurut Jake Mcdonald, PhD (2015, Pengarah Program Kesihatan pernafasan Alam Sekitar dan Kimia di Lovelace Institut Penyelidikan Pernafasan di New Mexico, melalui infografik Yahoo Health, e-cigarettes atau vape lebih merbahaya daripada rokok biasa kerana vape boleh mengakibatkan radang pada paru-paru akak yang sangat berharga dan meningkatkan risiko jangkitan kuman. Hakikat yang akak perlu sedar juga adalah nikotin yang terkandung dalam sebahagian besar e-liquid itu cukup untuk membantu proses ketagihan pada akak-akak sekalian. Tahukah akak nikotin boleh menyebabkan ketagihan sama seperti ketagihan kepada dadah heroin dan kokain?
Padah ketagih nikotin……

Sebenanrnya akak, nikotin ni bila akak sedut… dia jadi “best” sebab hormone dopamine dalam badan akak-akak meningkat, tu yang rasa seronok je tu. Tapi akak kena tahu nikotin akan meningkatkan kadar jantung dan tekanan dalam darah akak. Haa, ni baru jangka masa pendek, kalau jangka masa panjang akak, antara padah nikotin ni mampu meningkatkan risiko pembekuan darah, bronchospasm pada paru-paru, tekanan darah tinggi, dan salur darah sempit (Coronary artery constriction). Tambahan pula, menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh The New England Journal of Medicine yang bertajuk Hidden formaldehyde in e-cigarettes, jumlah formaldehyde yang terhasil dari reaksi kimia propylene glycerol dalam proses vaporization ini mampu meningkatkan risiko kanser pada para pengguna! Fuhh, tak cukup serius ke penyakit-penyakit ni? Kalaulah pak menteri masih bertegas vape ni aspirasi anak muda, memang kerajaan kena sediakan polisi kesihatan yang mantap la nak rawat akak nanti.

Jom reflek sebentar
Akak, adik tahu, akak rasa Vape ni trend hipster cool bagai. Tapi akak, kalau dah trend sebegini membawa lebih banyak mudarat dari kebaikkan kenapa akak nak menjerumuskan dan membinasakan diri sendiri.

Allah telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud
“ Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”
Dan dalam surah Al-A’raf ayat 157
“…Dan menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka….”

Akak, jika kita hayati firman Allah di atas, jelas memperlihatkan bahawa vape mahupun rokok dan apa jua yang memudaratkan diri manusia adalah haram bagi kita. Kita semua diberi kewarasan akal dan fikiran untuk berfikir, di sini saya ingin bertanya, mengapa kita nak membinasakan diri, menjatuhkan maruah seorang wanita hanya untuk sesuatu yang tidak bermanfaat buat diri kita?

Badan yang kita guna ini, sebenarnya Allah pinjamkan sahaja buat kita. Setiap inci tubuh kita sebenarnya adalah hak Allah, bukan hak kita. Bayangkan akak, kalau tengah-tengah akak-akak syok vaping, tiba-tiba tercekik asap atau tiba tiba vape akak tu meletup terbakar, dan ditakdirkan meninggal dunia masa tu jugak, tubuh kitalah yang akan menjawab dihadapan Allah tentang segala perbuatan kita di dunia wahai akak-akak. Sanggupkah akak memberi jawapan “nak ikut trend” di hadapan Allah kelak? Hanya kerana sebuah trend, kita sanggup membelakangi perintah Allah. Adakah kita sedang mencuba untuk mencabar perintah Allah? Soalan ini saya tujukan juga kepada kabinet pak menteri.

Jangan dah terhantuk baru terngadah akak ku sayang. Saya tak mahu bila akak dah atas katil hospital, bergantung harap pada gas oksigen baru akak nak sedar padah vape pada diri akak sendiri. Saya tak mahu bila akak sudah terlantar baru akak nak merangkak bertaubat mencari Allah.

Hidup kita tidak lama akak. Tidak cukup lama untuk mengaut segala peluang pahala yang ada di dunia jika kita semua masih tunduk dan tenggelam dalam nafsu walhal jelas wahyu Allah turunkan kepada manusia sebagai panduan. Kenapa harus kita persiakan? Imam Syafie pernah berpesan kepada kita akak, yang paling dekat dengan seorang manusia adalah kematian.

Kita semualah permata harapan agama dan negara, Takkan kerana trend kita gadaikan agama, maruah dan nilai-nilai moral yang ada dalam diri kita? Takkan kerana trend kita biarkan budaya kita ditelan dicarik dirobek trend yang memakan dan menyeksa badan seorang manusia?

Macam mana nak berhenti Vape?
Semuanya bermula dengan diri akak. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mulalah menapak sedikit demi sedikit. Tinggalkan vape. Bayangkan wajah ibu ayah akak meratapi akak yang terlantar sakit walhal akak adalah harapan mereka, tak ke saat itu akak telah mematahkan hati mereka? Carilah sesuatu yang memotivasikan diri akak untuk berhenti.
Tarbiyah juga mampu membantu akak. Tarbiyah ini kalau dicari maknanya satu proses pembelajaran manusia untuk berubah ke arah kebaikkan. Tarbiyah melalui usrah akan mempertemukan akak dengan sekumpulan manusia yang berperang dengan diri sendiri untuk berhijrah semi menggapai redhaNya. Dan seseungguhnya merekalah sistem sokongan yang mampu membuatkan akak berdiri bersemangat melawan nafsu ketagihan vape dan seangkatannya.

Akhir kalam
Akak. Saya tulis surat terbuka ini bukan dengan niat untuk mengaibkan akak, bukan juga untuk ‘condemn’ akak. Tetapi surat ini saya tulis dengan harapan agar akak bangkit dari tidur yang lena. Sedarlah akak, hidup ini tidak lama. Jika kita tenggelam bersama nafsu dan maksiat, mampukah kita menjadi pengganti membangunkan negara?

Kan Saidina Umar al-Khattab pernah berkata “Jika kamu ingin melihat negara kamu pada masa hadapan, lihatlah pemuda pada hari ini”
Ayuh kita bersama duduk sejenak, bermuhasabah sendiri. Islam menjaga manusia dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Namun, kenapa masih kita berdegil dan ingkar akan suruhan Allah? Ayuhlah kita sama-sama bermujahadah melawan nafsu yang membinsakan jiwa. Moga-moga tulisan ini mampu menyentak akak-akak vapers dari lena yang panjang. Sudah-sudahlah jadi naga, ayuh jadi singa memartabatkan Islam untuk ummah dan generasi mendatang!
081115

Amalina Annuar,

Timbalan Ketua Biro Tarbiyah PEMBINA UNIMAS,

Biro Kajian PEMBINA

Pena Beliawanis

Author media

More posts by media

Leave a Reply