Sukarelawan Di Kalangan Belia Masyarakat Kita

Sukarelawan atau kesukarelawan adalah perkataan yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Ia merupakan satu pekerjaan atau aktiviti yang dianggap mulia , lebih-lebih lagi apabila golongan belia muda kita ramai terlibat secara langsung. Secara faktanya, pada 5 Disember setiap tahun, telah diisytiharkan sebagai Hari Sukarelawan Antarabangsa (International Volunteer  Day) dalam Perhimpunan Agung Bangsa- Bangsa Bersatu pada 17 Disember 1985.

PBB telah meluluskan resolusi 40/212 untuk menetapkan dan mengisytiharkan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini sebagai mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh semua sukarelawan dalam menjayakan pelbagai program dan bantuan kemasyarakatan di seluruh dunia.  Oleh itu keterlibatan golongan belia secara sukarela dalam mana-mana bidang kemasyarakatan juga perlu ditingkatkan selaras dengan misi pembentukan modal insan seperti yang dilaungkan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia kita, Dato’ Shabery Ahmad Cheek.

Kesukarelawan dapat memupuk sikap ikhlas mengambil peduli keperluaan dan kebajikan masyarakat. Belia yang mempunyai semangat yang kuat dan prihatin terhadap kondisi masyarakat di sekeliling mereka adalah mereka yang sentiasa peka dan ingin membantu tanpa mengharap apa-apa balasan.

Selain bermanfaat kepada orang lain, sikap kesukarelawaan memberi impak yag besar kepada individu belia itu sendiri. Ia memupuk sifat mudah berkorban demi kebaikan, ruang untuk belajar bekerja secara kolektif dan menyemai perasaan kasih dan sayang sesama makhluk, tidak kira rupa, agama mahupun bangsa.

Inilah nilai modal insan yang dapat diperoleh dari individu-individu yang cenderung untuk menjadi sukarelawan. Di permulaan sudah ada nilai yang baik iaitu dengan sendiri ingin terlibat dalam sesuatu program tanpa disuruh dan menyertainya tanpa dipengaruhi unsur pulangan gaji atau sumbangan yang lumayan. Hanya bermodalkan keinginan yang tinggi, atas dasar tanggungjawab yang lahir dari tolakan dalaman yang kuat, lalu ingin melibatkan diri semata-mata untuk mendapatkan pahala dan redha Allah semata-mata.

Belia masa kini semakin ramai mahu melibatkan diri secara sukarela dalam program-program khas yang diadakan di peringkat kebangsaan seperti Hari Belia Negara. Pada tahun ini, Kementerian Belia Dan Sukan mensasarkan penglibatkan diri secara lansung seramai 1 juta orang belia yang akan di adakan di Putrajaya pada 29 Mei tahun ini. Dianggarkan seramai 30,000 hingga 50,000 orang belia akan bersedia menjadi sukarelawan untuk menjayakan acara ini.

Selain itu, sukarelawan juga dikumpulkan melalui aktiviti kemasyarakatan yang kini telah banyak dianjurkan melalui badan-badan kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan. Namun begitu, sukarelawan dalam konteks ini juga kurang mendapat sambutan dikalangan belia. Adakah menjadi sukarelawan dalam menyalurkan potensi diri melalui aktiviti-aktiviti bersifat kemasyarakatan ini lebih teruk dari menyertai aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah di luar sana? Saban hari kita sudah dimuakkan dengan pelbagai gejala         aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, yang rata-rata nya disertai dengan rela oleh golongan muda belia kita. Alangkah sayangnya potensi-potensi ini tidak digilap dalam aktiviti-aktiviti yang berguna.

Sehubungan dengan itu, kita harus mempertingkatkan potensi belia yang ada melalui aktiviti-aktiviti sukarelawan ini. Setiap belia sebenarnya mempunyai potensi-potensi tersendiri, yang mereka harus mecungkil dan menilai. Kami di PEMBINA sendiri seiring dalam menyahut seruan kerajaan dalam usaha untuk mempertingkatkan semangat kesukarelawan antara belia-belia kita. Satu pasukan khas telah ditubuhkan dalam PEMBINA, iaitu Briged Khas Bertindak (BAKTI) PEMBINA. BAKTI PEMBINA ini adalah suatu ‘task force’ yang boleh mengumpulkan belia-belia kita, untuk memberi bantuan dalam isu-isu terkini masyarakat seperti  isu banjir di Utara. Kami pasti dan yakin, masih ramai belia-belia di luar sana yang berminat untuk sanggup membantu untuk menyumbang masa dan tenaga dalam menjadi sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti seperti ini. Mereka belia di luar sana yang berminat untuk bersama dan menyertai misi-misi kami, boleh menghubungi kami seperti di laman web www.pembina.com.my

Moga saban hari kita dapat melihat belia-belia di Negara kita ini adalah belia-belia yang aktif dan dapat menjadi nadi tonggak yang berjasa kepada Negara secara sukarela atau atas dasar tanggungjawab yang lahir ikhlas dari dalam diri masing-msaing, tanpa dipaksa atau disuruh.

Sumber Rujukan:

www.haribelianegara.org.my
www.sukarelawanmalaysia.com
www.ippbm.gov.my/v2

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top