SIRI 2: 14 KAEDAH PENGHAPUSAN ETNIK KEPADA ETNIK MUSLIM ROHINGYA

 

Rohingya, pembina

Sambungan..

7) Etnik muslim Rohingya dinafikan hak kerakyatan dan hak istimewa pribumi.

1

Bukan sahaja mereka dinafikan hak penempatan dan politik, tetapi pada masa yang sama turut dinafikan hak mereka dalam mendapat kerakyatan serta hak istimewa penduduk pribumi. Hak kerakyatan etnik Muslim Rohingya walaupun di bawah Union Citizenship Act of 1948 ada meletakkan undang-undang asas kerakyatan sebagai “ there shall be one citizenship through out the Union” tetapi mereka tidak diterima dalam perincian etnik yang berautonomi seawal persidangan Panglon 1945.

Bahkan lebih teruk lagi apabila satu semakan semula kerakyatan yang bertujuan mengiktiraf status pribumi dibuat pada tahun 1982. Di bawah Burma Citizenship Law 1982 (Pyithu Hluttaw law no. 1982-87) telah membahagikan kerakyatan kepada beberapa kelas iaitu kelas rakyat biasa, rakyat bersekutu dan rakyat pribumi. Seperti yang dijangka, etnik muslim Rohingya tidak tersebut dalam kelas rakyat pribumi yang sekaligus dinafikan langsung hak keistimewaan pribumi mereka.

 Berbeza dengan etnik-etnik lain seperti Kachin, Kayah, Karen, Chin, Maghs (Burman), Mon dan Arakanese yang melalui kerakyatan ini telah diiktiraf hak pemilikan tanah melalui status pribumi.  Di akhir usaha kerakyatan ini adalah etnik Rohingya dengan kerakyatan “a stateless people”. Tiada Negara, tiada tempat tinggal dan tiada tanah.

8) Pembunuhan dan pembantaian di bawah kempen Pyi Thaya (Prosperous Country) oleh SLORC.

Dalam keghairahan Burma cuba mengejar modernisasi dan pertumbuhan rancak demokrasi sekitar tahun 1988, justeru itu, pada awal tahun 1991 satu kempen menghapuskan etnik Rohingya dijalankan di bawah nama “Pyi Thaya” ataupun nama lainnya sebagai Prosperous Country Campaign. Kempen ini bertujuan menjadikan Myanmar terkehadapan dari sudut pembangunan dan keselesaan. Tetapi dibeli dengan harga nyawa Rohingya.

Di bawah kempen ini, askar-askar daripada State Law and Order Restoration Council (SLORC) yang rata-ratanya terdiri daripada etnik Buddhist Maghs telah dikerahkan ke Arakan untuk melakukan pogrom (penyembelihan dan penghapusan) ke atas etnik muslim Rohingya. Akibatnya, 300,000 orang muslim telah melarikan diri sehelai sepinggang ke Chittatong iaitu satu daerah di Bangladesh.

Setelah dihalau, kerajaan tempatan telah melakukan jemputan berbondong-bondong khusus kepada penganut agama Buddha dari dalam dan luar negara untuk menetap dan membangun penempatan di tanah etnik muslim Rohingya yang telah ditinggalkan di bawah program pembangunan kerajaan.

9) Konflik dan konspirasi tentera SLORC dan United Nation Human Rights Council (UNHRC)

9

Walaupun kewujudan institusi antarabangsa United Nation Human Righst Council (UNHRC) cuba memainkan peranan dalam menyelesaikan permasalah ini tetapi ia merupakan satu tindakan yang sia-sia. Segala usaha UNHRC seperti projek pemulihan dan penyatuan kaum diselenggara sendiri oleh tentera SLORC yang dalam masa yang sama turut terlibat membunuh etnik muslim Rohingya. Mana-mana etnik muslim Rohingya yang dihantar pulang ke Arakan di bawah perjanjian bilateral UNHRC telah dipindahkan semula oleh tentera SLORC.

Dalam masa yang sama kakitangan kerja yang dipilih untuk berkhidmat sebagai staff UNHRC juga disekat hubungannya untuk menceritakan hal-hal sebenar kepada media luar. Namun begitu, walaupun  seringkali berlaku konflik antara staf UNHRC dan tentera SLORC tetapi terdapat juga waktu dimana kakitangan UNHRC seakan-akan berkompromi dan bekerjasama dengan tentera SLORC dalam usaha yang menggadaikan nyawa etnik muslim Rohingya serta tidak kurang juga meluluskan tindakan SLORC yang membunuh etnik muslim Rohingya.

Dalam ruang ini perlu untuk direkodkan juga statistik yang dikeluarkan oleh Curt Lambrachi dalam laporannya bertajuk “The return of Rohingya refugees to Burma: Voluntary Repartriation or Refoulment”. Dalam laporan ini selain merekodkan segala salah laku tentera SLORC ia turut sama merekodkan statistik dimana dalam sebuah keluarga 10 orang pasti 2 daripadanya pernah mengalami tembakan, luka parah, dibelasah, dibakar dan apa-apa kecederaan fizikal. Dalam masa yang sama dalam setiap keluarga paling kurang seorang perempuan daripada keluarga tesebut pernah dirogol.

10) Operasi Na-Sa-ka 1992: operasi paling kejam dalam sejarah.

Selepas tarikh 28 April 1992 di mana Refugee Repatriation Agreement telah menunjukkan hasil yang baik dalam membela nasib penduduk Rohingya. Etnik buddhist Maghs masih tidak berpuas hati. Maka mereka telah melancarkan satu operasi ketenteraan dengan mewujudkan satu task force bernama Na-Sa-Ka yang terdiri daripada tentera, polis dan imigresen. Kalau dibandingkan dengan 18 operasi ketenteraan sebelum ini, Na-Sa-Ka merupakan operasi yang mengakibatkan kesan paling teruk berbanding operasi-operasi sebelumnya. Ia merupakan satu operasi jangka masa panjang dimana walaupun sudah bermula sejak tahun 1992 namun begitu sehingga kini ia masih belum berakhir. Na-Sa-Ka mempunyai beberapa tujuan utama iaitu:

  1. Menghasilkan tekanan sosio-ekonomi terhadap etnik muslim Robingya.
  2. Memindahkan populasi etnik Rohingya daripada Burma di bawah polisi pelindungan seperti polisi pekerja asing.
  3. Mengawal keseluruhan proses pengembangan populasi etnik Rohingya.
  4. Menjayakan usaha De-muslimization wilayah Arakan melalui penghapusan kaum.
  5. Menyebarkan ajaran Buddhism dan tradisi Burma Buddhist di Arakan dengan menanam prejudis terhadap tradisi serta budaya Rohingya.

Kesan operasi ini, bukan sahaja mengakibatkan pembunuhan, tetapi setiap sumber ekonomi etnik muslim Rohingya dimonopoli SLORC. Ratusan ekar tanah pertanian dan sumber pendapatan mereka diambil begitu sahaja tanpa ada apa-apa pampasan oleh penyangak Buddha dan SLORC. Dalam masa yang sama mereka juga dikerah untuk menghasilkan bahan perumahan, menyediakan simpanan makanan, ternakan, produk pertanian tanpa dibayar sedikitpun oleh kerajaan Burma.

11) Syarat perkahwinan tidak masuk akal dan suntikan kemandulan.

11

Lanjutan daripada operasi Na-Sa-ka, salah satu objektif mereka adalah mengawal proses pengembangan etnik Rohingya supaya populasi tersebut tidak berkembang. Atas dasar ini, pemerintah telah memaksa syarat yang ketat bagi mana-mana pasangan Rohingya yang ingin berkahwin. Hampir sahaja banyak perkahwinan tidak diluluskan kerajaan. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

  1. Perlu mendapat surat pengesahan daripada ibu bapa.
  2. Perkahwinan memerlukan surat sokongan daripada Majlis tempatan yang menguruskan hal ehwal kampung.
  3. Perkahwinan juga memerlukan sijil perubatan yang menunjukkan pasangan boleh berkahwin.
  4. Pasangan juga perlu mendapat kelulusan dari pihak polis bahawa pasangan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti jenayah.
  5. Perkahwinan juga perlu mendapatkan sokongan daripada Komander kawasan dan pegawai pengarahan daripada tentera SLORC.

Syarat-syarat ini merupakan syarat perkahwinan yang gila lagi menyusahkan tetapi inilah hakikat perkahwinan bagi etnik muslim Rohingya. Sering kali juga askar SLORC menangkap perempuan yang telah berkahwin dan menyuntik suntikan kemandulan secara paksa kepada mereka. Ia gara-gara untuk memandulkan ibu-ibu Rohingya dan mengelak kelahiran. Ini bukan sahaja menghina agama Islam tetapi turut sama menghalang populasi etnik Rohingya untuk berkembang lanjut.

 12) Pembunuhan golongan elit etnik Muslim Rohingya di Arakan

Bagi mengelakkan etnik muslim Rohingya bangkit melawan, ramai dari kalangan elit, pelajar, dan golongan cerdik pandai diburu, dipenjara, dibunuh. Siapa yang tidak takut jika lahirnya golongan yang boleh melawan kekejaman Burma? Sejak dari tahun 1994, bahagian utara Arakan telah menjadi padang pembunuhan bagi golongan elit ini. Di bawah tuduhan jenayah yang tidak berasas, seramai 3000 orang yang tidak bersalah telah ditembak mati ataupun disembelih. Manakala, 1500 lagi orang telah masuk bersembunyi bagi mengelakkan ditangkap lantas dibunuh oleh SLORC.

13) Larangan melaksanakan apa-apa syiar agama Islam.

 Mungkin ramai tidak percaya tetapi inilah hakikat sebenar apa yang berlaku. Etnik Muslim Rohingya yang beragama Islam tidak boleh menunjukkan sedikit pun syiar Islam mereka. Sebgai seorang muslim mereka tidak dibenarkan menyimpan janggut, memakai pakaian yang menutup aurat ataupun mengenakan kopiah. Bagi para wanita pula, tudung dan hijab dilarang sama sekali ketika berada di luar rumah.

Jika ada upacara kematian, kubur-kubur mereka tidak boleh diletakkan batu nisan. Bahkan tahlil sekalipun dilarang kerana itu dikatakan sebagai satu syiar Islam. Di sekolah pula, ajaran Buddha adalah subjek wajib sejak di sekolah rendah lagi. Terdapat juga di beberapa buah Kampung di mana umat Islam di situ diharamkan untuk menunaikan solat berjemaah Maghrib, Isya dan Subuh di masjid-masjid. Selain itu, bagi meredakan sentimen umat Islam Rohingya, para ulama telah digesa juga dipaksa untuk mengeluarkan fatwa palsu sebagai mengesahkan tindakan pemerintah Burma.

14) Undang-udangan larangan untuk bergerak 11 oktober 1966

14

Satu undang-udang Restriction of movement telah dipaksakan kepada etnik Rohingya sejak dari tanggal 11 oktober 1966. Undang-undang ini melarang etnik muslim Rohingya melakukan pergerakan antara kampung ke kampung sekitar Arakan. Pada tanggal 1 september 1992, polisi ini diperketatkan. Etnik muslim Rohingya digesa untuk mengalihkan sampan dan boat dari sungai. Mereka dilarang membeli tiket kapal terbang ataupun apa-apa kenderaan untuk bergerak. Disebabkan masalah ini, ramai daripada etnik Rohingya yang sakit telah mati kerana tidak dibenarkan berjumpa doktor di wilayah bandar Akyab ataupun Rangoon.

Kerana polisi ini jugalah, ia telah memberi kesan yang sangat teruk kepada keseluruhan hidup masyarakat Rohingya. Ramai daripada mereka terpaksa mengalah daripada menjalankan mana-mana aktiviti ekonomi, sosial dan agama. Ramai juga pelajar-pelajar mereka terpaksa turut sama berhenti dari meneruskan pengajian.

Kesimpulan

14 kaedah penghapusan etnik ini adalah sesuatu yang perlu dipandang serius oleh penduduk negara lain dalam mengenal bahawa isu etnik muslim Rohingya bukanlah sekadar isu yang biasa. Mereka telah dinafikan hak mereka seawal usia 1942 lagi dan sehingga kini diselang-seli dengan pembantaian, pembunuhan serta dirampas hak milik mereka. Justeru itu, isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu pelarian yang boleh diselesaikan dengan derma ataupun diberikan tempat perlindungan sementara. Persoalan penting bagi mereka adalah apakah solusi tuntas bagi menyelesaikan projek penghapusan etnik ini sekaligus mengembalikan segala hak—hak yang sudah berkurun lamanya telah dinafikan? Apa yang boleh kita lakukan?

Aiman Faudzi

Jawatankuasa Komunikasi Strategik PEMBINA