Sijil UEC Dan Ancaman Terhadap Kedaulatan Malaysia

Sijil UEC Dan Ancaman Terhadap Kedaulatan Malaysia

Baru baru ini, isu sijil UEC telah meledak kembali mewarnai segenap berita yang terpapar di dada dada akhbar yang wujud di negara kita. Isu sijil UEC ini sudah lama diperkatakan sebenarnya. Tetapi ia timbul kembali baru baru ini entah kali yang keberapa. Sijil UEC ini telah lama didesak oleh pihak pihak tertentu (seperti Dong Zong dan Dong Jiao Zong misalnya) supaya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Mereka mahu supaya sijil itu diiktiraf untuk kemasukan ke universiti awam atau kolej/universiti swasta yang difrancaiskan daripada universiti awam dan juga kemasukan kepada penjawat awam.

Ledakan isu UEC ini timbul ekoran daripada percanggahan kenyataan antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi MARA tentang pengiktirafan sijil UEC bagi kemasukan ke UniKL baru baru ini. Annuar mengatakan bahawa UniKL mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan pelajar ke universiti itu manakala Ismail Sabri pula mengatakan, UniKL tidak berhasrat untuk mengiktiraf sijil UEC itu setakat ini.

Dengan meledaknya isu tersebut, serta merta masyarakat Malaysia menjadi tertanya tanya: apakah UEC itu dan mengapa UEC boleh menimbulkan sekian banyak polemik di dalam negara?

UEC sebenarnya adalah singkatan kepada frasa Unified Examnination Certificate atau Sijil Peperiksaan Gabungan Sekolah Sekolah Menengah Persendirian Cina. Sijil ini merupakan sijil pembelajaran yang digunapakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Terdapat juga situasi di mana pelajar-pelajar yang mengambil sijil UEC ini akan memiliki dua sijil sekaligus iaitu UEC dan SPM bagi tujuan membolehkan mereka untuk bekerja di sektor kerajaan atau memasuki universiti awam.

Secara umumnya, sijil UEC dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Menengah Rendah atau Junior Middle (UEC-JML), Vokasional (UEC-V), dan Menengah Tinggi atau Senior Middle (UEC-SML) yang mana kesemuanya menggunakan bahasa Mandarin. UEC-SML mengandungi subjek Matematik, semua subjek Sains, dan semua subjek aliran Perdagangan.

Meskipun sijil ini diiktiraf di peringkat antarabangsa atau dengan perkataan lain ‘indah’ pada mata kasarnya, namun pada hakikatnya ia membawa lebih banyak kesan buruk dari baiknya. Sebab itulah ramai orang menentang kerajaan Malaysia mengiktiraf sijil ini untuk kemasukan ke universiti awam yang ada di dalam negara. Boleh dikata pengiktirafan terhadap sijil itu berupaya untuk memberi ancaman kepada kedaulatan Malaysia.

Seperti yang kita sedia maklum, sijil UEC ini menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin dalam sistem pembelajaran dan peperiksaan mereka. Hal Ini sudah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yakni Perkara 152 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan bagi Malaysia. Apabila ada sahaja perkara (seperti sijil UEC itu) yang tidak menggunakan bahasa Melayu, ia sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati bersama sejak lama dahulu.

Bahasa merupakan antara medium untuk menyatukan penduduk bagi sesebuah negara. Penggunaan satu bahasa yang sama untuk semua rakyat di sesebuah negara boleh merapatkan jurang perkauman yang luas terbuka. Apabila UEC menggunakan bahasa Mandarin semata mata, maka para pelajarnya akan lebih mahir dalam bahasa Mandarin berbanding bahasa kebangsaan untuk negara. Lalu, bagaimana untuk merapatkan jurang perkauman yang luas terbuka sejak sekian lama?

Sistem pembelajaran dan peperiksaan berasaskan UEC langsung tidak mahu menggunakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Mereka menggunakan sistem atau dasar pendidikan yang dicedok daripada sistem atau dasar pendidikan yang terdapat di negara Taiwan sana. Secara tidak langsung, telah wujud dua sistem atau dua dasar pendidikan dalam sesebuah negara. Alangkah bagusnya jika kita menggunakan satu sistem atau satu dasar pendidikan sahaja? Seperti mana yang acapkali mereka laung-laungkan ketika mereka menolah RUU355 yang kononnya akan mewujudkan dua sistem undang undang di Malaysia!

Sikap tidak mahu menerima pakai sistem dan dasar pendidikan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia melambangkan sikap tidak patriotik atau sikap tidak cintakan negara dalam kalangan mereka. Mereka meragui atau memandang rendah terhadap keberkesanan sistem atau dasar pendidikan yang telah berjalan sejak sekian lama dalam negara. Sikap mereka ini sangat bahaya tehadap masa depan Malaysia. Tidak mustahil mereka akan mudah berpaling tadah apabila sesuatu berlaku kepada Malaysia.

UEC tidak wajar diiktiraf oleh kerajaan Malaysia kerana mereka tidak menjadikan pelajar mereka sebagai rakyat Malaysia (ulang : rakyat Malaysia) sebaliknya menjadikan pelajar mereka bangsa Cina (ulang : bangsa Cina) sepekat-pekatnya. Sikap mereka inilah yang menyebabkan perpaduan dan keharmonian kaum sukar untuk digapai dalam negara. Integrasi nasional yang acapkali dilaung-laungkan oleh pemimpin negara memang tidak akan pernah terjadi sampai bila bila.

Sistem pembelajaran yang digunapakai oleh UEC iru menjadikan pelajar mereka terasing daripada kaum kaum lain yang wujud di dalam negara. Mereka tidak akan bercampur gaul dengan kaum kaum lain yang ada di sekeliling mereka. Sistem yang digunapakai oleh UEC itu bukan sahaja menyebabkan jurang perkauman luas terbuka malah kecintaan mereka terhadap negara boleh dipertikai juga.

Jika kerajaan bertekad untuk mengiktiraf UEC, maka akan berlakunya peningkatan jurang pendidikan yang telah berlaku sejak sekian lama. Hal ini terjadi apabila ibu bapa yang berasa amat yakin dengan ‘keberkesanan’ UEC itu akan berlumba lumba untuk menghantar anak mereka ke SMPC yang ada di merata-rata. Ini akan berlakunya percanggahan semangat 1Malaysia yang telah kerajaan war-warkan sejak beberapa lama. Lalu, di manakah erti perpaduan sebenar jika bersekolah di bawah bumbung yang berbeza?

Jika UEC diiktiraf, akan berlakunya persaingan yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat pelajar di Malaysia. Hal ini berlaku kerana sekolah Cina mempunyai kemudahan yang lebih baik daripada sekolah kebangsaan yang sedia ada. Ini berikutan, masyarakat Cina sentiasa memberi bantuan dari segi wang ringgit untuk kepentingan pendidikan untuk kaum mereka.

Pengiktirafan terhadap sijil UEC juga boleh menafikan peluang kemasukan pelajar Melayu dan Bumiputra ke IPTA yang ada dalam negara. Seperti yang kita sedia maklum, prinsip meritokrasi merupakan prinsip utama untuk kemasukan ke semua IPTA di negara kita. Para pelajar Melayu atau Bumiputra yang patuh kepada segala dasar dasar kerajaan akan mempunyai peluang yang tipis untuk masuk ke IPTA berbanding pelajar pelajar yang mengambil UEC iaitu seramai 20,000 orang setahun. Jika seramai itu pelajar UEC diberi masuk ke IPTA, dan ditambah pula dengan pelajar bukan Melayu yang lain yang diterima masuk ke IPTA melalui peperiksaan SPM, maka kuota untuk pelajar Melayu dan Bumiputra akan terhakis begitu sahaja.

Falsafah Pendidikan Negara yang digubal sebenarnya adalah untuk melahirkan para pelajar yang mengikut acuan Malaysia. Sistem pembelajaran berasaskan UEC itu pula melahirkan pelajar pelajar yang mengikut acuan Cina atau negara Taiwan sana. Dengan pengiktirafan sijil UEC tersebut, maka akan lahirlah pelajar yang mengikut nilai, budaya, dan pemikiran Cina atau Taiwan dan bukannya Malaysia.

Jelaslah sekarang bahawa pengiktirafan terhadap sijil UEC itu memberi banyak kesan buruk dari baiknya. Mengiktiraf sijil UEC itu boleh mengancam kedaulatan negara juga. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa sijil UEC itu tidak boleh diiktiraf oleh kerajaan Malaysia. Usahlah jadikan negara ini negara buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap!

Muhammad Nur Haziq
Kolumnis Pembina

Kredit Gambar: Schooladvisor.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top