SHAH ALAM, 22 Okt – ‘Anggun Peribadi, Inspirasi Beliawanis’ merupakan slogan yang dipilih untuk Festival Beliawanis Nasional 2017 (FBN 2017) yang bertempat di Dewan Raja Muda Musa di sini.

“Beliawanis sekalian, suatu hari nanti kita yang akan menjadi tonggak pembangunan negara dan agama, maka seharusnya kita perlu menjadi beliawanis yang taat kepada syariat Allah, berilmu pengetahuan yang luas, mendidik masyarakat ke arah yang lebih baik dan memiliki akhlak yang tinggi,” kata Khairunnisa Mazlan, Ketua Beliawanis PEMBINA ketika mendefinisikan slogan ‘Anggun Peribadi, Inspirasi Beliawanis’ dalam ucaptamanya di FBN 2017 semalam.

Mengangkat salah satu daripada 7 Nilai Beliawanis iaitu ‘Sihat dan Cantik’ sebagai tema FBN pada kali ini, beliawanis PEMBINA mahu mendidik dan menanam kesedaran dalam kalangan mahasiswi serta wanita di Malaysia mengenai makna kecantikan dan kesihatan yang menyeluruh.

Menurut saudari Rayyan Mohamad Zain selaku Pengarah FBN 2017 di sidang media pula, mesej-mesej kesihatan dan kecantikan yang beliawanis PEMBINA cuba sampaikan dalam FBN kali ini adalah sangat relevan dengan naluri kewanitaan yang ada dalam diri setiap beliawanis namun FBN 2017 ingin memupuk beliawanis untuk mengambil berat tentang kesihatan dan kecantikan menurut acuan Islam.

Bertepatan dengan tema ‘SIhat dan Cantik’ , FBN 2017 menampilkan keunikan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh jurulatih senamrobik yang berpengalaman, Nurul Aizat Ariffin.

Buat julung-julung kalinya juga beliawanis PEMBINA dari seluruh Malaysia diuji kecerdasan intelek mereka dalam Fiqh ibadat, sejarah Islam, isu semasa dan sejarah Malaysia dalam jejak intelek.

“Diharap FBN pada kali ini dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung serta dapat menginspirasikan beliawanis dan wanita di luar sana untuk mempraktikkan gaya hidup sihat dan cantik berlandaskan syarak,” kata Rayyan Mohamad Zain.