Selamat Datang Pelajar Baru

Assalamualaikum wbt.

Ucapan tahniah dan selamat datang ke institusi pengajian tinggi kepada mahasiswa yang telah berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah sarjana muda. Sesunggunya kejayaan ini merupakan langkah pertama dalam mencapai kejayaan yang lebih besar. Perlu juga kita ingat bahawa ini merupakan anugerah Allah yang harus kita syukuri kerana di sana masih ramai lagi sahabt-sahabat lain yang tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran mereka baik kerana tidak mampu dari sudut kelayakan mahupun dari sudut kewangan. Oleh itu kita perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam merealisasikan cita-cita dan harapan ibu bapa, bangsa dan agama.

TETAPKAN MATLAMAT

Setiap mahasiswa perlu mempunyai matlamat yang jelas tatkala melangkah ke alam IPT. Ini kerana matlamat tersebut yang akan memandu mahasiswa dalam mencorak kehidupan dan halatuju dalam ipt. Lebih besar matlamat yang digariskan maka makin lebih usaha yang diperlukan. Sebab itu orang yang meletakkan target untuk berjaya dengan cemerlang maka dia akan gigih berusaha manakala orang yang meletakkan target hanya lulus takkan berusaha sekadarnya. Matlamat tidak sekadar impian kosong bahkan memerlukan perancangan yang teliti dan rapi. Ia penting bagi memastikan kita berada pada landasan yang betul dan tidak mudah terpesong. . Yang paling penting sebagai hamba Allah ialah kita menetapkan matlamat utama untuk mencapai keredhaan Allah dan ia tidak mungkin dapat dicapai melainkan mengikhlaskan hati kerana Allah. Ini selaras dengan tujuan penciptaan kita untuk beribadah kepada Allah taala.

TAMAN ILMU DAN BUDI

Bagi seorang mahasiswa, ilmu dan akademik merupakan ‘core business’ untuk dicapai semasa berada di IPT. Namun ia tidak menghalang untuk mahasiswa terus aktif dalam pelbagai bidang baik ilmu-ilmu luar, aktiviti kurikulum, berpersatuan, soft skills dan sebagainya. Seharusnya konsep ilmu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan tidak kepada kepada apa yang ada di dalam buku atau dalam kelas. Ilmu ialah apa jua yang kita alami iaitu pengalaman yang kita lalui kemudian kita mengambil pengajaran dan manfaat drpdnya. Kerana itu aktiviti berpersatuan juga merupakan ilmu dari sudut kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi yang perlu di garap oleh mahasiswa kerana mereka adalah bakal pemimpin di masa akan datang. Namun, ilmu sahaja tidak memadai jika tidak dilengkapi oleh budi atau adab yang disebut sebagai akhlaq. Berapa ramai golongan cerdik pandai yang akhirnya menipu utk mendapatkan keinginan dunia. terdapat juga yang tiada sikap hormat dan merendah diri gara-gara berasa ego dan bangga dengan title mahasiswa sehingga sanggup melakukan perbuatan tidak beradab. Akhirnya adab dan akhlaq ini hanya mampu diperolehi melalui tarbiyyah yang berterusan dan bergaul dengan golongan yang baik-baik. Apa nilainya ilmu kika tidak dihiasi dengan budi.

HIDUP BARU CABARAN BARU

Alam IPT ialah suatu alam baru yang indah dan ideal bagi mahasiswa. Sudah semestinya alam kehidupan di IPT tidak sama seperti di sekolah mahupun di tempat lain. Seharusnya cabaran juga merupakan suatu yang baru yang bakal ditempuh baik dari sudut kepayahan mencari ilmu, pengaruh teman-teman sehinggalah kebebasan memilih dan membuat keputusan. Cabaran ini harus ditangani oleh mahasiswa dengan bijak dan matang. Tiada lagi peraturan yang ketat, jadual yang tetap dan pengawasan ibu bapa. Yang ada hanya pengawasan Allah dan malaikat kanan dan kiri.

Akhirnya saya mewakili kepimpinan PEMBINA seluruh negara mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang berjaya untuk melanjutkan ke peringkat IPT. InsyaAllah PEMBINA diseluruh IPT bersedia menyambut kedatangan anda dengan senyuman dan tangan terbuka.

“Meneraju Arus Mahasiswa!”

 

Ibrahim Hasan

Presiden PEMBINA 2012/2013

Scroll to Top