Sekatan ekonomi : Antara semalam dan hari ini

rusia turki

Perdana Menteri Rusia Dmitry Medvedev telah menandatangani satu pekeliling yang melarang pengimportan makanan dari turki dan membatalkan penerbangan charter antara Rusia dan Turki. Sekatan ekonomi yang cuba dilakukan puak Rusia ke atas Turki kerana menembak jatuh kapal terbang Rusia  berhampiran dengan Turki- Syria.

 Dalam masa yang sama, majikan-majikan di Rusia akan dilarang daripada mengambil warga Turki sebagai pekerja mulai tahun depan kecuali mereka yang sudah bekerja sebelum 31 Disember tahun ini. Rusia juga telah membatalkan perjalanan tanpa visa kepada warga turki bermula 1 Januari 2016. Kremilin, dari kerajaan Rusia juga menyatakan akan menggantung usaha sama antara Suruhanjaya Antara Kerajaan Rusia-Turki mengenai Perdagangan dan kerjasama ekonomi. Manakala rundingan dua hala projek pembinaan saluran paip gas Rusia-Turki telah diberhentikan namun begitu mereka akan meneruskan penghantaran gas semasa dari Rusia ke Turki.

Mari kita semua imbau semula sejarah pada 1400 dahulu dimana Rasulullah bersama Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib dipulau oleh puak Quraisy Mekah dengan menanda tangani perjanjian di mana mereka tidak akan mengahwini, berjual-beli dengan mereka. Malah menyekat sumber-sumber rezeki yang mengalir kepada mereka serta tidak menerima sebarang perdamaian dan tidak akan berkasihan belas kepada mereka kecuali setelah Bani Abdul Mutalib menyerahkan Rasulullah kepada mereka untuk dibunuh. Pemulauan ini berlaku selama 3 tahun. Diceritakan mereka terpaksa memakan daun-daun dan pucuk kayu  untuk selama 3 tahun tersebut iaitu bersamaan 1095 hari.

Apakah yang kita dapati dari dua peristiwa ini? Apakah persamaan yang kita boleh lihat disini?  Di sini tidak akan menghuraikan panjang lebar mengenai persamaan kedua-dua peristiwa tersebut. Tetapi apa yang ingin difokuskan ialah iktibar yang kita boleh peroleh dari kedua-dua peristiwa tersebut.

1) Menurut buku Fiqh Sirah Jilid Satu yang ditulis oleh Al-Buti pengajaran yang kita boleh dapati dari peristiwa sirah nabi tersebut ialah golongan musyrikin Quraisy tetap kekal dengan kesyirikan dan keangkuhan mereka dengan menolak kebenaran yang telah dibawa oleh Rasulullah  s.a.w

Begitulah juga yang telah dilakukan oleh pihak Rusia terhadap Turki. Atas kerana keangkuhan dan keingkaran pihak Rusia terhadap amaran yang telah dikeluarkan oleh Turki agar tidak melancarkan serangan udara terhadap Syria kerana melanggar ruang udara sempadan Turki-Syria. Pendirian Turki itu bukanlah kerana Rusia telah melalui ruang udara Turki semata-mata tetapi Turki ingin pihak Rusia agar berhenti menyerang Syria iaitu sebuah negara Islam dimana majoriti rakyatnya merupakan penganut Islam.

Di samping itu, Turki berhasrat agar Rusia berhenti dari membunuh orang-orang Islam yang tidak bersalah dan tidak berdosa di Syria. Pihak Turki telah memberi amaran keras sebelumnya tetapi tidak dihiraukan oleh Rusia. Jelas di sini bahawa Rusia amat memusuhi Syria di mana yang kita semua sedia maklum Syria merupakan negara Islam yang sering ditindas.

2) Menurut Al-buti dalam buku Fiqh Sirah Jilid 1, golongan para sahabat, Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib yang bersama-sama dengan baginda saat baginda dipulaukan oleh kaum musyrikin Quraisy bukanlah kerana semangat assabiyah (kesukuan) dan angan-angan untuk memperoleh kekayaan. Sama sekali tidak! kerana mereka juga turut menerima penyiksaan seperti mana yang dirasai Rasulullah s.a.w sendiri. Sebenarnya tujuan utama mereka adalah untuk memburu keimanan kepada Allah s.w.t. dalam menegakkan syari’atNya. Yang mana sebenarnya suatu syari’at itu bertujuan untuk menegakkan keadilan dikalangan semua manusia dan menghancurkan setiap kekuasaan yang zalim, kejam dan sombong.

Begitulah jua yang telah dilakukan oleh pihak Turki, iaitu untuk menegakkan keadilan bagi mempertahankan negara Syria yang sering ditindas dan diserang tanpa sebab musabab yang munasabah dan bukanlah semata-mata Syria merupakan negara yang paling hampir dengannya atau kerana Rusia melakukan serangan udara dengan menceroboh ruang udara Turki. Wallahua’alam.

 

Rujukan:

http://focuss.my/rusia-meluluskan-sekatan-ekonomi-terhadap-turki/

Fiqh Sirah Jilid Satu; Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti

Oleh

Aimi Nabilah Sukor
PEMBINA UIAM