Tanah Melayu dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu yang wilayahnya mencecah kepulauan Madagascar di sebelah barat, wilayah Indo-China di sebelah utara, perairan berdekatan Benua Amerika di sebelah timur dan kepulauan sekitar New Zealand di sebelah selatan.

Tertulis dalam sejarah, Kesultanan Melayu Islam Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Pada masa itu, sempadan Kesultanan Melayu Melaka bukanlah sekangkang kera seperti negeri Melaka sekarang, bahkan menjangkau ke Sumatera, ke Singapura, ke segenap semenanjung Tanah Melayu mencecah ke Kelantan. Kemajuan Melaka pada masa itu telah menyumbang kepada penyebaran dakwah Islam merentasi sempadan taklukannya termasuk kepulauan Jawa.

Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Islam kecil yang lain tertubuh untuk mengambil semula tanggungjawab jihad, dakwah dan ekonomi umat Islam di rantau Asia Tenggara. Di kepulauan Jawa sendiri, terdapat kerajaan Demak, Cirebon dan Banten. Walaupun Kota Melaka jatuh, kota-kota jajahan takluk yang pernah berada di bawah naungan Melaka tidak memberi muka kepada Portugis untuk “hidup” dengan aman.

Apabila kita membaca sejarah Melaka, ia tidak boleh dipisahkan dengan kisah-kisah kesultanan Islam yang wujud selepas kejatuhannya. Kini sempadan watan Islam di Asia Tenggara telah dipecahkan dan dikecilkan kepada batas-batas geografi tertentu. Bahkan sejarah umat Islam juga disempitkan ke batas-batas waktu tertentu. Seolah-olah sejarah Jawa dengan sejarah Melaka tiada kaitan. Seolah-olah sejarah Acheh dengan Jawa tiada kaitan. Seolah-olah sejarah Singapura juga tiada kaitan dengan Melaka.

Padahal wilayah umat Islam adalah satu dan tidak terpecah sedikit pun. Mereka juga bangsa yang berasal dari kawasan tersebut yang menerima hidayah Allah dan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.

Imam Asy Syahid Hassan Al-Banna pernah mengatakan bagi mendifinisikan watan Islam, “Bagi kami, setiap jengkal tanah di bumi ini, di mana di atasnya ada seorang Muslim yang mengucapkan kalimah syahadah, maka itulah tanah air kami.”

Agama Islam memainkan peranan penting dalam pembangunan kebudayaan Melayu. Islam telah merubah masyarakat Melayu di rantau Asia Tenggara menjadi satu bangsa yang unggul, berilmu, berbudi pekerti tinggi dan berperibadi mulia. Survival umat Melayu hanya dapat dilaksanakan dengan komitmen kepada Islam.

Hari ini, telah datang beberapa cubaan untuk mengancam dan menghapuskan identiti asal negara, di mana Melayu Islam yang menjadi tunjang kepada negara Malaysia. Kita perlu faham, kemerdekaan yang kita kecapi sebenarnya belum lagi mampu diertikan sebagai kemerdekaan yang sebenar. Kita telah mencapai kemerdekaan, akan tetapi jika ada pihak yang ingin membawa sifat dan sikap lama sebagai kolonialis, imperialis dan oportunis, yang tidak mahu menghormati teras-teras negara seperti kedudukan Islam di dalam perlembagaan, kedudukan institusi Raja selaku penaung Islam, dan juga hak-hak kaum asal yang memberikan kelebihan kepada umat Islam, kontrak sosial, dan lain-lain aspek negara, sewajarnya kita persilakan mereka untuk mengangkat kaki meninggalkan tanah air ini!

Institusi Raja-Raja merupakan payung yang menjadi naungan rakyat merentasi semua agama, bangsa, bahasa, fahaman politik dan sebagainya. Ianya satu-satunya institusi yang bebas daripada apa-apa juga sentimen dan pengaruh tertentu. Apabila ia tercalar, maka hilanglah tempat untuk rakyat berlindung terutamanya apabila watak-watak dan parti-parti politik menjadi terlalu angkuh sehingga tidak boleh ditegur. Institusi ini yang akan bertanggungjawab apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara.

Jadi, apabila kita menghormati raja bukan bermakna kita meletakkan mereka di kelas yang lain. Bersalaman cium tangan orang yang lebih berusia, lebih berkedudukan, lebih berpengaruh adalah adab yang diajar dalam masyarakat Melayu yang sangat menekankan untuk menjaga hubungan sesama manusia. Malah, Islam juga mengajar umatnya untuk menghormati orang tua, pemimpin, orang berilmu, apatah lagi raja. Hal ini tidak bertentangan dengan Islam pun selagi mana perbuatan Itu tidak mensyirikkan Allah.

Kita perlu berusaha mempertahankan institusi raja kerana institusi ini merupakan lambang raja berperlembagaan yang diamanahkan untuk menjaga agama Islam dan bangsa Melayu. Jika terdapat kelemahan, kita harap raja-raja boleh memperbaiki, bukan kita mendesak untuk menghapuskan terus institusi ini.

Apabila orang Melayu tewas dalam memelihara jati diri dan identiti negara, itu tandanya mereka sangat teruja dengan orang lain selain daripada mereka. Mereka teruja terhadap bangsa dan negara lain padahal mereka adalah satu bangsa yang serba serbi hebat, dari segi tamadunnya sejak dahulu lagi.

PEMBINA menyeru kepada semua belia mendalami sejarah bangsa untuk mempertahankan kebudayaan Melayu dan kedaulatan Islam di Malaysia. Kita perlu faham bahawa semangat cintakan negara adalah dengan berusaha mengekalkan jati diri dan identiti negara yang sedia ada serta perlu sentiasa sensitif terhadap usaha-usaha yang cuba mengubahnya.

Hafiz Johar
Presiden Pembina UNIMAS