Sedekad Cerminan PEMBINA: Pengukuhan Asas-Asas Gerakan Islam

Oleh: Nor Aizat Rahimi Bin Rostam Rahimi

Tahun 2016 merupakan tahun kesepuluh kewujudan PEMBINA dalam pentas gerakan dakwah tanah air. Bermula dengan aspirasi untuk menyediakan ruang platform aktivisme kepada belia, PEMBINA mengorak langkah dengan memfokuskan golongan sasarnya kepada kelompok mahasiswa yang lebih intelek. Dalam masa 10 tahun ini, pelbagai pencapaian yang telah PEMBINA capai, baik dari segi perkembangan ahli, peningkatan jumlah medan tanzim, pembentukan produk dakwah, penglibatan dalam arena politik kampus kebangsaan dan bermacam-macam lagi.

Sebuah gerakan Islam yang terus berkembang seperti PEMBINA, akan terus berinovasi dalam memastikan PEMBINA kekal relevan dan selari dengan penerimaan golongan sasar. Sebagai contoh, tahun 2009 telah menyaksikan satu mesyuarat Agung Khas (EGM) telah dilaksanakan untuk memutuskan keahlian terbuka yang akan diamalkan oleh PEMBINA. Hal ini menyaksikan beribu-ribu golongan muda terutamanya mahasiswa telah menyertai PEMBINA. Tahun 2013 pula menyaksikan satu lagi titik perkembangan PEMBINA dengan kewujudan pakej-pakej PEMBINA. Pakej ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi platform interaksi antara ahli dan PEMBINA, malah menjadi ruang untuk ahli biasa menyumbang idea dan tenaga bersama-sama dalam menggerakan PEMBINA. Ini merupakan satu sifat gerakan Islam yang tulen yang semestinya haruslah berjaya mengembleng dan menguruskan tenaga masyarakat untuk kepentingan Ummah.

Berasaskan situasi ini, keahlian dan Penggerak PEMBINA terus berkembang secara drastik di seluruh negara. Pendaftaran secara rasmi PEMBINA IPT juga membuatkan 2 perkara ini (keahlian & Penggerak PEMBINA) melonjak naik secara drastik. Ini merupakan satu pencapaian positif bagi sebuah gerakan Islam yang mengfokuskan kepada golongan pemuda sebagai sasaran.

Bertitik tolak daripada perkembangan ini, suka untuk saya ingatkan dan kongsikan, sebagai peringatan dan nasihat kepada semua ahli dan Penggerak PEMBINA, tentang asas-asas PEMBINA yang tidak akan kita tinggalkan atau kompromi sama sekali.

NILAI INDIVIDU

Setiap daripada ahli dan Penggerak PEMBINA merupakan seorang individu Muslim yang berusaha dan inginkan ke arah pembaikan. Pembentukan nilai Islami diterapkan kepada ahli PEMBINA melalui siri-siri program tarbiyah yang telah disediakan. Usrah, Qiam, Daurah, Rehlah dan pelbagai wasilah tarbiyah telah disusun untuk membentuk peribadi dan akhlak berteraskan nilai-nilai Islam dalam diri setiap ahli dan Penggerak PEMBINA.

Sifat-sifat bermasyarakat, peduli terhadap masalah orang lain, ingin membantu, berjiwa lasak serta kental, berani merupakan antara nilai-nilai dalam jiwa ahli dan Penggerak PEMBINA yang harus dipupuk dan dibentuk dari semasa ke semasa. Daripada segi kehidupan harian, ahli dan Penggerak PEMBINA merupakan seorang Muslim yang faham tentang kesyumulan Islam serta kewajipan untuk melakukan amal ma’ruf nahi mungkar dalam kehidupan bermasyarakat. Amalan fardhi seperti tilawah Quran, solat berjemaah, Qiamulail dianggap sebagai senjata sebagai kekuatan untuk turun dan bergelumang dengan masyarakat. 10 muwasafat tarbiyah merupakan indikator utama yang selalu ingin dicapai dengan usaha dan mujahadah berterusan oleh ahli dan Penggerak PEMBINA.

BUDAYA GERAKAN ISLAM

PEMBINA sentiasa berpegang dan yakin dengan kepentingan untuk mewujudkan bi’ah, ataupun budaya yang soleh dalam perjalanannya. Ikhtilat (pergaulan) antara ahli lelaki dan perempuan sentiasa dipantau kemas bagi mengelakkan masalah-masalah hati ataupun dosa yang mampu merencatkan agenda dakwah. Setiap ahli diingatkan tentang budaya ini walau dalam sekecil perkara sekalipun yang melibatkan pergaulan.

Budaya saling menasihati juga merupakan satu budaya yang membentuk sesebuah gerakan Islam itu mampu kekal releven sepanjang masa. Ketaatan dan kethiqahan terhadap pimpinan yang lebih atas tidak menghalang mana-mana ahli dan penggerak PEMBINA untuk sentiasa menasihati dan menegur setiap daripada ahlinya untuk memastikan berlakuya penambaih baikkan dari masa ke semasa.

SUASANA MAHABBAH

Kasih sayang pula diterapkan daripada pimpinan pusat sehingga ke biro terkecil dalam sebuah IPT. Sifat hormat-menghormati, saling memahami, bertanya khabar, peduli terhadap masalah orang lain merupakan budaya yang mampu memastikan gerakan Dakwah ini terus kuat dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

STRATEGI & POLISI

Segala perancangan dan strategi serta polisi yang dirancang dan dibentuk dalam kalangan pimpinan PEMBINA merupakan satu daripada kefahaman dan manifestasi terhadap Fiqh Dakwah yang teleh dipelopori oleh gerakan Islam terdahulu. Setiap strategi merupakan satu bentuk pembumian kepada bahan-bahan fikrah yang bersumberkan daripada sumber Islam yang tulen iaitu al Quran, As-Sunnah, dan kefahaman Fiqh Sirah Nabawiyah itu sendiri.

Gerakan-gerakan Islam terdahulu seperti Ikhwan Muslimin di Mesir, Jami’at Islami di Pakistan, PKS di Indonesia bahkan ISMA di Malaysia telah melalui liku panjang yang mematangkan perancangan dan strategi mereka. PEMBINA mengambil semua pengalaman gerakan Islam ini dan dicernakan dalam satu bentuk strategi dan polisi yang dekat serta selari dengan sifat mahasiswa di negara ini. Perancangan teliti ini memerlukan kepada penghayatan yang mendalam terhadap fikrah asas dan juga kefahaman meluas terhadap realiti medan di sekeliling kita.

AKHIR KALAM

Tiga perkara di atas merupakan tunjang kepada PEMBINA. Walau seperti apa sekalipun PEMBINA berubah, perkara-perkara di atas merupakan asas serta pegangan utama yang akan disemai dalam gerakan Islam ini. Moga Allah SWT mengurnikan pahala berpanjangan kepada generasi terdahulu yang telah meletakkan asas-asas ini untuk kami sambung, dalam menyebarluaskan syiar Islam ke atas bumi tercinta ini.

Terus maju, PEMBINA!

Sedekah Penuh Tekad

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top