PEMBINA mula melancarkan Kempen Say No To Valentine’s Day sejak dua tahun yang lalu. Dengan sokongan dari umat Islam yang prihatin, PEMBINA akan tetap meneruskan usaha ini. Ia bertujuan untuk menyedarkan masyarakat akan jerat Hari Kekasih yang saban tahun diraikan sesetengah umat Islam tanpa menilai sudut pandang agama Islam.

Islam telah memuliakan manusia dengan memberi keutamaan dalam hal menjaga nasab keturunan yang sah dan mengangkat tinggi maruah diri setiap insan (Maqasid Syarak).

Islam adalah agama penuh kasih sayang dan meraikan kasih sayang sesama manusia. Namun, Islam melarang pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram apatah lagi hubungan kelamin sebelum nikah. Islam menerapkan adab pergaulan yang penuh hormat di antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan, memelihara maruah diri dan menjauhi zina.

PEMBINA berpegang kepada arahan Allah Taala: “Janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji” (Al Isra’ : 32)

Golongan remaja, mahasiswa dan orang muda adalah golongan majoriti yang terdedah kepada jenayah ini.

Tahukah anda, setiap hari, secara purata 140 orang bayi luar nikah dilahirkan ibu beragama Islam? (Sumber: JPN)belia tolak valentine 6

Tahukah anda, 1/2 juta kelahiran anak luar nikah (2005-2015) telah didaftarkan? (Sumber: JPN)belia tolak valentine 5

Tahukah anda, 3 daripada 10 remaja bawah umur mengandung anak luar nikah? (Sumber: Kementerian Kesihatan)

Tahukah anda, setiap hari, secara purata 8 kes rogol ke atas gadis dilaporkan? (Sumber: KPWKM)

Tahukah anda, 7 orang dari setiap 10 mangsa kes rogol yang dilaporkan adalah bawah umur? (Sumber: KPWKM)belia tolak valentine 2
Tahukah anda, 86% suspek rogol adalah orang yang dikenali mangsa rogol. (Sumber : Parlimen 2016)

Tahukah anda, 7 orang dari setiap 10 suspek kes rogol yang dikenali adalah teman lelaki dan kenalan? (Sumber: KPWKM)

Maka, kempen ini adalah salah satu usaha untuk membendung jenayah rogol, kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan akhbar dan media semasa. Statistik telah membuktikan bahawa jenayah-jenayah ini perlu dibendung dan dihapuskan, agar kita mewariskan generasi yang bebas zina dan maksiat untuk masa hadapan.

Kempen Say No To Valentine tidak berhasrat mengganggu perasaan mana-mana penganut agama lain dan hanya bertujuan agar masyarakat Islam terhindar daripada hubungan bebas lelaki perempuan, yang kebiasaannya akan membawa kepada hubungan luar nikah.

PEMBINA menyahut seruan yang dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri :

“Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam. Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia.”

PEMBINA akan terus komited untuk meneruskan dakwah mencegah kemungkaran di setiap kempen-kempen untuk menyelamatkan Umat Islam sehingga semuanya kembali patuh kepada Allah Taala.

Harapan PEMBINA adalah ingin melihat masyarakat menyokong usaha kecil ini dan menyampaikan kepada generasi muda agar mereka terdidik dengan ilmu dan kefahaman agama sebelum meraikan sesuatu perayaan.

Khairunnisa binti Mazlan
Ketua Beliawanis PEMBINA.