Salam Lebaran
Assalamualaikum w.b.t. Setelah jenuh berlapar dan dahaga sebulan lamanya Allah s.w.t telah mengurniakan kita dengan kegembiraan berbuka dan sambutan hari raya. Kita memang berhak untuk bergembira dan bersyukur atas kurniaan ini, ia merupakan janji Baginda s.a.w. Kita dapat berhari raya dalam suasana aman. (Cuma ada yang cedera disebabkan ’bom’ sendiri). Sebahagian dengan pakaian baru, kereta baru, anak baru, isteri baru (baru berkahwin), kerja baru dan banyak lagi yang baru. Walaupun ekonomi bergolak dan politik bergolak, semua kegembiraan ini kita dapat kecapi bersama di bandar dan di desa. Alhamdullilah, syukur kepada Allah.
Apa yang menjadi harapan adalah puasa tahun ini telah memberi sedikit bekas pada akhlak, hati, iman dan taq’wa kita. Peluang suasana raya ini seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk bergaul dengan masyarakat disekeliling kita. Mungkin dengan alasan ziarah raya tiada siapa yang menolak kita, asal masanya sesuai dan notisnya awal!!. Mungkin ada yang fobia dengan majlis raya yang bertali arus. Adalah ini satu keperluan? Tidak ke membazir..?
Mari kita lihat pada sudut yang positif dari sudut da’wah.
Jika kita ’orang-orang baik’, kita sering bersama-sama dengan manusia yang sejenis dengan kita. Kita berbual, makan dan bersembang dengan mereka dan merasakan kita bernasib baik kerana dikurniakan dengan sahabat-sahabat seperti mereka. Lantas kita merasa selamat… Alhamdulillah.
Bila kita bergaul dengan masyarakat, makan, berbual dan bersembang dengan mereka baru kita sedar di mana kedudukan kita dalam masyarakat!! dan bahaya yang bakal melanda. Apakah kita akan termasuk dalam golongan baik yang akan dibinasakan??. Kita mungkin bukan dibinasakan kerana kita tidak berdakwah, tetapi disebabkan kerosakan jahiliyah menghanyutkan kita semua, sebagai mana tsunami menghanyutkan penghuni disko dan penghuni masjid!!.
Kita hayati topik perbualan mereka, cita-cita dan impian mereka dan tindak tanduk mereka, dimanakah Islam dalam neraca mereka. Bila fitnah melanda, Tok Lebai pun malu jika tidak bersalam dengan yang bukan muhrimnya (sekadar satu contoh sahaja).
Sekarang kita perlu merasa tidak selamat atau puas dengan sumbangan kita di medan da’wah. Masyarakat masih jauh dari Islam, walaupun kadang mereka bertempik dan mengangkat tangan lebih bersemangat dari kita ketika bertakbir ’Allahwhuakhbar!’. Generasi yang bakal kita tinggalkan harus disediakan suasana yang lebih baik. Mari kita gembeling lagi masa, tenaga, iltizam dan kreativiti kita, mengajak umat ini kembali kepada fitrahnya, bersih dan suci dari segala-galanya yang datang selain dariNya.
Selamat Hari Raya Fitrah. Wassalam.






