Ramadhan dan Daie

Sedikit masa lagi, kita semua bakal menyambut Hari Raya Aidul Fitri Insya Allah. Ia merupakan simbol kemenangan setelah memenuhi suruhan Allah SWT supaya berpuasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan. Sepertimana dalam firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa (Surah al-Baqoroh: 183)

Selepas ini, kita bakal menempuh bulan-bulan yang seterunya dengan harapan semoga kita dapat bertemu lagi dalam Bulan Ramadhan yang seterusnya Insya Allah.

Ikhwah akhwat yang disayangi Allah, segala kebaikan yang kita peroleh daripada bulan Ramadhan kali ini perlu dijadikan pengajaran buat kita semua dan dijelmakan dalam konteks kerja yang dakwah yang praktikal agar bulan ini tidak disia-siakan. Bulan Ramadhan merupakan bulan tarbiyah yang cukup kondusif buat kita semua para pendakwah membaiki diri, organisasi dakwah dan juga sasaran dakwah di sekeliling kita.

Pengajaran 1:

Manusia mudah untuk berubah menjadi lebih baik dengan suasana dan rakan-rakan yang sentiasa mengajak kepada kebaikan. Kita dapat melihat sebenarnya agak mudah untuk mengajak rakan-rakan kita bertadarus, solat fardhhu berjemaah di masjid, iktikaf dan qiamullail terutama dalam bulan Ramadhan ini. Walaupun bulan Ramadhan sudah berakhir, ikhwah akhwat perlu percaya bahawa suasana Ramadhan dapat diteruskan dengan para daie yang sentiasa mengingatkan rakan sekeliling untuk membaca Al-Quran, mengajak solat di masjid, berpuasa sunat, tidak berkata yang tidak baik dan lain-lain. Kerja mengajak manusia kepada kebaikan dengan pelbagai cara perlu diteruskan walaupun bulan Ramadhan telah berakhir. Seorang ustaz pernah menyebut:

‘Kebanyakan kemungkaran yang berlaku sekarang bukanlah akibat daripada bertambahnya orang yang melakukan kemungkaran, tetapi adalah kerana orang-orang soleh yang tidak mengajak kepada yang maaruf dan tidak mencegah kemungkaran’.

Beranikanlah diri wahai ikhwah akhwat untuk bersama masyarakat dan bersabarlah membaiki masyarakat dengan cara yang berhikmah.

Pengajaran 2:

Pada waktu siang, kita menahan makan, minum dan segala perkara yang membatalkan atau mengurangkan pahala puasa . Pada waktu malam pula, kita fokuskan masa yang ada untuk beribadat kepada Allah SWT. Ini semua adalah untuk mencapai objektif taqwa seperti dalam firman Allah SWT di atas.

Ruh tarbiyah bulan Ramadhan ini perlu dijadikan teras dalam melaksanakan tanggungjawab kita bersama dalam medan dakwah dan tarbiyah dalam masa-masa yang mendatang. Momentum amal fardhi kita perlu diteruskan dalam bulan-bulan seterusnya supaya hubungan kita dengan Allah SWT terus diperkukuh. Ingatlah ikhwah akhwat sekalian bahawa tugas kita ialah menyampaikan risalah ini, taufiq dan hidayah-Nya hanya milik Allah SWT.

Teruskanlah bermunajat di malam hari walaupun Ramadhan sudah berakhir.
Teruskanlah bertilawah dan bertadabbur walaupun Ramadhan sudah berakhir.
Teruskanlah berpuasa sunat walaupun Ramadhan sudah pergi.
Titipkanlah doa agar kita dapat melaksanakan tugas dakwah ini dengan penuh tanggungjawab.
Boleh jadi hidayah Allah hadir dengan asbab amalan-amalan kita wahai ikhwah akhwat.

Jadilah kita seperti singa di siang hari, sibuk dengan kerja dakwah dan menjadi abid di malam hari mencari kekuatan rohani buat hari esoknya.

Perkemaskanlah barisan kita dalam organisasi dakwah ini. Perkukuhkan tarbiyah zatiyah kita sentiasa. Jika futur, maka hubungkanlah kembali hubungan ketuhanan dan carilah sahabat yang dapat mengingatkan kita sentiasa. Ya, jalan ini sukar maka persiapan kita perlu rapi daripada pelbagai sudut. Kemenangan Islam itu pasti buat mereka yang bersabar dan istiqamah.

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”, Surah Al-Anfal ayat 46.

Jika kita yang sudah faham kerangka dakwah masih bermain-main, inikan pula yang belum memahami.

“Yang sedar asyik tidur, bagaimana yang lena mahu bangkit?”, petikan buku ‘Melayu ke Bulan’ tulisan Asyraf Farique.

Dalam kesempatan ini juga, saya mendoakan kesejahteraan semua umat muslimin khususnya ikhwah dan akhwat sekalian. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.

 

Oleh:

Muhammad Akhyar bin Azhar
Presiden PEMBINA Ipoh

Author media

More posts by media

Leave a Reply