perutusan ramadan pembina 2018 azam asri

Perutusan Ramadan PEMBINA

Secara hakikatnya manusia ini terikat dengan perjalanan masa termasuk muslim di seluruh dunia. Kita merasai ikatan masa ini semakin erat sehinggakan Ramadan yang telah dilalui tahun lepas bakal kita jumpa sekali lagi dalam masa beberapa jam sahaja lagi. Namun kesyukuran perlu kita terapkan dalam diri kerana diberi peluang untuk mencipta titik perubahan terhadap segala maksiat yang telah kita lakukan.

Saya percaya bahawa setiap antara kita ada maksiat yang dibuat, tidak kira maksiat yang besar mahupun maksiat yang kecil. Sebagai manusia yang kenal erti malu pastinya tidak menginginkan maksiatnya diketahui oleh orang lain. Kita merahsiakan maksiat hingga tidak lagi merasai urgensi untuk meninggalkannya dan lebih teruk berasa selesa dengan perbuatan maksiat. Sampaikan maksiat sudah menjadi sebahagian dari diri kita dan susah untuk dikikis. Namun, jauh di sudut hati kita, pasti kita merasai maksiat itu adalah perkara yang kotor dan perlu ditinggalkan.

Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa berpuasa Ramadan karena iman dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa solat di malam lailatul qadar kerana iman dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosanya yang telah lalu.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Sekiranya pusat serenti adalah tempat pemulihan orang yang menghisap dadah, maka Ramadan pula adalah ibarat pusat serenti bagi mereka yang ketagih dengan maksiat yang dilakukan. Ramadan akan jadi bermakna bagi mereka yang sedar bahawa dirinya berdosa kerana ini adalah saat-saat penting untuk berubah. Ramadan menyediakan silibus pemulihan rohani yang berkesan melalui puasa, solat sunat, ganjaran pahala dan paling penting suasana yang dirasai dalam masyarakat Malaysia ini. Oleh kerana itu, Ramadhan akan menjadi saat yang penting bagi setiap orang yang beriman, tanpa iman mereka tidak akan mengenali dosanya.

Ramadan akan menjadi rutin tahunan yang biasa bagi Muslim yang gagal mengenali siapa dirinya dan lemah dalam mengenalpasti apakah dosanya. Bahkan sekiranya ada Muslim yang merasai Ramadan sebagai perkara biasa adalah kerana mereka merasai bahawa dirinya seorang yang suci dan tidak mempunyai dosa. Sombong dan angkuhnya golongan itu! Hanya keimanan dapat menjadi kompas kepada pahala dan dosa. Semakin tinggi iman seseorang, semakin kuat sensitivitinya kepada pahala dan dosa.

Secara fitrahnya, kewujudan hitam lebih memaknai putih. Perkara yang bertentangan lebih memberi kesan kepada yang sedia ada. Oleh sebab itu, dengan memberi kita mampu memaknai erti menerima. Kita akan lebih menghargai penerimaan sesuatu bila mana kita faham susahnya untuk memberi. Ini kelebihan orang yang murah dengan budaya memberi. Untuk melahirkan susuk tubuh Muslim yang bersyukur dengan apa dia miliki dan berharap pada Allah, maka perlulah kita mula memberi. Ramadan sebagai titik perubahan adalah harapan untuk kita menerima hidayah dan kekuatan daripada Allah, maka kita sendiri harus mengambil peluang untuk memberi sumbangan untuk agama ini dan seterusnya membina rohani.

Kepada mahasiswa seluruh Malaysia, ambillah peluang Ramadan ini untuk mengenali diri sendiri, mengenal erti kekotoran dosa dan mengambil langkah untuk berubah. Jadikan tema tahun ini untuk kita memberi sumbangan kepada agama Islam ini dalam apa rupa bentuk supaya Allah membantu perubahan diri kita. Keikhlasan memberi, membentuk rohani.


Muhammad Azam Asri
Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top