Perutusan Ramadhan 1437H oleh Ketua Beliawanis, Khairunnisa Mazlan

Assalamualaykum w.b.t

رمضان كريم، الله اكرم

Ramadhan kembali menemui kita, menawarkan ganjaran pahala berganda-ganda untuk kita rebut. Hadirnya Ramadhan kali ini dalam minggu-minggu terakhir sebelum menamatkan semester.

Bahkan ada di antara kita baru saja memulakan semester baharu. Pastinya suatu bonus dari Allah untuk mahasiswa yang mengulangkaji ilmu dalam keseronokan beribadah di bulan Ramadhan ini.

Kita mengimpikan sebuah generasi Beliawanis yang taat pada suruhan Allah s.w.t. dan meninggalkan laranganNya. Beliawanis yang mampu menjaga keseimbangan di antara tuntutan sebagai seorang hamba Allah, seorang mahasiswa, seorang ahli masyarakat dan seorang pendakwah.

اصلاح نفسك وادعوا غيرك (Perbaiki diri dan serulah orang lain)

Ramadhan adalah medan paling baik untuk memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t. Seorang yang beriman pada Allah s.w.t perlu melihat dan memperbaiki dirinya terlebih dahulu agar ia mampu memperbaiki manusia di sekitarnya.

Bulan Ramadhan bulan AlQur’an. Jika sebelum ini kita banyak membaca alQur’an, di bulan Ramadhan ini kita ambil peluang untuk mentadabbur terjemahan ayat alQur’an dan mengambil pengajaran daripadanya pula.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W.bersabda : Daripada Ibnu Umar r.a berkata:

“Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air”. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, ” Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Pohonlah pada Allah s.w.t di bulan Ramadhan penuh keberkatan ini dengan penuh bersungguh, agar diberikan pertolongan dan kemudahan dalam mengurus dakwah dan kehidupan, di waktu sahur, ketika menanti waktu berbuka dan di waktu ibadah-ibadah lain di bulan Ramadhan. Tidak ada kekuatan melainkan dari Allah s.w.t.

Rancanglah jadual ibadah di bulan Ramadhan seperti mana anda serius menyusun jadual belajar untuk berjaya dalam peperiksaan. Ingatlah sebuah pesanan dari Rasulullah s.a.w:

“Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga,” (Riwayat Ibnu Majah)

Bersederhana dan Tinggalkan Perkara Sia-Sia

Ramadhan mendidik diri dan nafsu untuk hidup secara bersederhana. Bersederhana dalam erti kata bijak mengurus kewangan, berbelanja secara cermat, tidak boros dan tidak membazir. Banyakkan bersedekah dan membantu insan yang memerlukan, ia adalah satu latihan mendidik diri untuk mengutamakan keperluan orang lain sebelum diri sendiri.

Jangan biarkan masa-masa berharga di bulan Ramadhan dicuri oleh perbuatan yang sia-sia. Inilah peluang untuk melatih diri menjadi seorang Beliawanis yang sangat menjaga akhlak dan masanya dengan:

• Menghindari perbualan kosong dan banyakkan berzikir kepada Allah
• Meninggalkan perkara yang sia-sia seperti menonton drama televisyen atau rancangan-rancangan yang tidak soleh dan membuang masa
• Mengurangkan masa tidur dan berlatih tidur yang berkualiti
• Bergaul dengan sahabat-sahabat yang soleh

Ayuh kita jadikan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang sebelumnya. Marilah kita melalui Ramadhan dengan penuh khusyuk mengharapkan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka daripada Allah s.w.t di samping menjadikan Ramadhan sebagai satu tempoh untuk melatih diri untuk bersederhana dan meninggalkan perkara yang sia-sia.

Semoga Ramadhan kali ini melahirkan Beliawanis yang bersedia dari segi rohani, emosi, mental dan fizikal. Bersedia untuk menghadapi perjalanan sebagai seorang Muslimah yang seimbang pengurusan diri, keluarga dan kerjaya agar mampu melaksanakan sunnah terbesar Rasulullah s.a.w iaitu menyampaikan dakwah mengembalikan manusia kepada Allah Taala.

Khairunnisa Mazlan
Ketua Beliawanis

perutusan kb ramadhan 1457H