Tanggal 1 Ramadhan 1438 hijrah, seluruh umat Islam akan memasuki sebuah bulan mulia iaitu bulan Ramadhan. Bulan yang Allah akan buka seluas-luasnya pintu rahmat, melipat gandakan pahala dan bulan paling baik bagi melakukan perubahan diri.

Jika kita renungi, bagaimana para sahabat di zaman Rasulullah menjadi peribadi muslim yang hebat? Hal ini adalah disebabkan kemampuan dan istiqomahnya mereka untuk mentarbiyah diri sebaik mungkin sehingga melahirkan kekuatan peribadi yang maksima.

Begitulah sepatutnya umat Islam kesemuanya. Bersempena bulan Ramadhan ini, tarbiyah dzatiyah atau tarbiyah kendiri bagi tujuan meningkatkan ketaqwaan diri sewajarnya diusahakan semaksima mungkin sehingga apabila tiba akhir Ramadhan, kita menjadi peribadi muslim yang mulia.

Daripada satu sudut lain pula, kisah-kisah perjalanan dakwah Rasulullah dan para sahabat sepanjang bulan Ramadhan menunjukkan ibadah dan mujahadah yang mereka lakukan bukanlah mujahadah peribadi dan ibadah khusus sahaja.

Ketika bulan Ramadhan di zaman Rasulullah, umat Islam menghadapi perang Badar Kubra, pembukaan kota Mekah, runtuhnya berhala al-‘Uza, Suwa’ dan Al-Manat, peristiwa pengislaman penduduk Kota Taif, Raja Himyar juga penduduk negeri Yaman, dan pelbagai lagi kejayaah umat Islam secara bersama. Dengan kata lain, Ramadhan merupakan bulan kejayaan meningkatkan syiar Islam hasil usaha bersama masyarakat Islam.

Marilah kita bermuhasabah keadaan tanah air kita pada hari ini. Belia dan mahasiswa dilanda gejala dadah serta hiburan melampau. Tidak cukup dengan itu, generasi pimpinan pula terbelenggu dengan permasalahan integriti, jati diri dan kewibawaan. Sedang musuh Islam bermaharajalela cuba memadamkan satu persatu syiar Islam di bumi Malaysia ini. Kita melihat semua perkara ini berakar umbikan kepada lemahnya mujahadah umat Islam secara bersama.

Justeru, selain kita memberi tumpuan memperbaiki ibadah pada bulan Ramadhan ini, kita juga seharusnya menumpukan usaha secara bersama supaya Islam dapat memperoleh manfaat yang besar.

Selari dengan seruan ini, Pembina akan menggerakkan kempen Ramadhan Bersama Pembina. Setiap IPT yang terdapat ahli Pembina akan mengadakan tadarus Al-quran, Qiamullail, Iftar bersama dan pengisian-pengisian yang bertujuan menjadikan umat Islam khususnya mahasiswa menjadi Muslim yang bertaqwa. Pembina mengajak sekalian mahasiswa untuk sama-sama mengambil bahagian dalam pesta ibadah ini.

Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu satu perubahan dalam diri setiap umat Islam. Semoga Allah membenarkan kita menjadi hamba-Nya yang lebih bertaqwa dan memberikan kemenangan kepada umat Islam.

 

Eqwan Roslan
Presiden PEMBINA