Perutusan Presiden Pembina Bersempena Hari Kemerdekaan ke-60

Tahun 2017 tahun ke-60 kita menyambut ulangtahun kemerdekaan daripada penjajahan yang telah berlansung beratus tahun lamanya. Bersyukur ke atas kurniaan Allah atas nikmat kemerdekaan ini, serta kemajuan dan kemakmuran yang hadir bersamanya.

Terima kasih kepada pejuang-pejuang tanah air yang telah berterusan menentang penguasaan Portugis, Belanda, British, Komunis dan Jepun. Ada antara mereka yang sempat merasai detik kemerdekaan, ramai yang syahid dalam perjuangan.

Kemerdekaan ini harus diisi dengan pembangunan berterusan, termasuk pembangunan identiti dan jati diri dalam kalangan belia dan mahasiswa. Tahun 2017 menyaksikan isu-isu sosial terus melanda belia dan mahasiswa yang membimbangkan, terutamanya masalah dadah, LGBT, atheism, buli, rogol, zina dan pembuangan bayi.

Jati diri yang kuat berpaksikan pegangan agama dan identiti bangsa yang kukuh menjadi benteng kepada penjajahan ideologi dan cara hidup asing. Adalah menjadi tugas anak-anak muda untuk terus mencabut saki-baki neo-kolonialisme yang terdapat dalam pemikiran dan cara hidup anak-anak muda.

Bersempena sambutan kemerdekaan ke-60 ini juga, Pembina ingin menegaskan, Portugis, Belanda, British, Komunis dan Jepun, kesemuanya adalah penjajah. Perjanjian antara mereka adalah perjanjian antara penjajah. Pertembungan antara mereka adalah pertembungan antara penjajah; pertembungan bagi memastikan kepentingan mereka terjaga atau terus kukuh. Tidak patut usaha mereka ini diberi pengiktirafan.

Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-60. Semoga kita terus berjuang membangunkan agama, bangsa dan negara tercinta.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top