Perutusan Hari Raya Aidil Fitri 1438H Presiden Persatuan Belia Islam Nasional

Perutusan Hari Raya Aidil Fitri 1438H Presiden Persatuan Belia Islam Nasional

اللهُ اكبَرْ, اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرْ اللهُ اكبَرُوَللهِ الحَمْد

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan batin diucapkan kepada seluruh belia dan beliawanis Pembina di seluruh Malaysia.

Pada hari Aidil Fitri kita meraikan kemenangan umat Islam setelah melalui Ramadhan dengan menyucikan diri dan kembali kepada kebersihan fitrah seorang hamba. Semoga usaha pembersihan jiwa kita kekal berterusan di dalam kehidupan seharian.

Jiwa yang bersih memudahkan kita untuk memilih jalan perjuangan dan pengorbanan, kerajinan dan kesungguhan, kemesraan dan disiplin, agar umat ini terus menuju kepada keamanan dan kesejahteraan seluruh alam.

Marilah kita sama-sama bertakbir memuji kebesaran Allah di hari yang mulia ini, secara terang-terangan dan terbuka di jalan-jalan menuju ke masjid. Rapatkan silaturrahim sesama kaum keluarga dan sahabat, serta merapatkan saf perjuangan dengan akidah dan ukhuwwah.

Kita terus menghadapi cabaran di hadapan kita; cabaran individu dalam menghadapi syaitan dan hawa nafsu, serta cabaran umat yang tidak lekang daripada permasalahan dalaman dan serangan musuh. Namun kita terus positif dengan tindakan dan usaha berterusan, dengan harapan Allah memperkenan bagi kita kemenangan.

Di kesempatan ini juga, mari kita sama-sama menjaga batasan-batasan pergaulan di hari raya dalam lingkungan syarak, berhati-hati di jalan raya serta menjaga keselamatan keluarga serta jiran tetangga.

Semoga kemeriahan Hari Raya Aidil Fitri meninggikan syiar Islam di Malaysia dan disambut dengan penuh ketaatan.

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional