Pertumbuhan Lestari Kunci Kekal Relevan dalam Dakwah

Kita telah membaca kisah bagaimana syarikat-syarikat gergasi hilang dalam sekelip mata hasil daripada perubahan zaman. Ketua Pegawai Eksekutif Nokia dalam sidang media terakhir apabila Nokia telah dibeli oleh Microsoft, telah mengakhiri ucapannya dengan mengatakan “we didn’t do anything wrong, but somehow, we lost” atau “kita tidak melakukan apa-apa kesalahan tapi entah bagaimana, kita telah kalah.”

Nokia tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi dunia telah berubah dengan pantas. Nokia telah menumpukan perhatian dalam pembinaan “hardware” yang berkualiti tetapi akhirnya “software” yang telah memenangkan Apple dan Android dan mematikan Nokia. Kecuaian dalam beradaptasi dan berkembang dengan peredaran zaman juga telah merugikan syarikat gergasi seperti Kodak dan Polaroid.

Manakala keupayaan untuk beradaptasi dan bertumbuh selari dengan peredaran zaman juga telah memberikan impak kepada syarikat-syarikat baru yang telah tumbuh pesat, memperoleh keuntungan yang besar dan terus kekal relevan. DuPont bermula sebagai pembekal belerang untuk senapang dan hari ini sebuah syarikat kimia gergasi. Juga Samsung, yang bermula sebagai syarikat perdagangan, menjual ikan, sayur dan buah-buahan.

Dunia dakwah belia juga tidak kurang pantas perubahannya. Perubahan yang pertama adalah peningkatan jumlah belia dan mahasiswa. Perubahan kedua adalah daripada sudut gaya hidup dan kecenderungan. Perubahan ketiga adalah daripada segi karakter dan tingkah laku. Seterusnya adalah cabaran berbeza yang mendepani belia dan mahasiswa di masa kini dan akan datang.

Kewujudan 10 orang penggerak dakwah setiap tahun dalam keadaan bilangan pelajar bertambah, ia bukanlah satu kelestarian tetapi satu penguncupan. Bilangan yang sama dan kemampuan yang sama juga adalah satu penguncupan, kerana kemampuan yang relevan pada masa ini mungkin sudah tidak relevan pada tahun hadapan.

Walaupun dalam dakwah belia, ada perkara-perkara asas yang kekal relevan, seperti dakwah fardhiah, medan dakwah mungkin berubah, selari dengan perubahan kecenderungan belia. Adalah asasi bagi organisasi dakwah belia terus menerus menganalisa gerak kerja dakwah, memperbaiki dan menambah baik gerak kerja. Aktiviti menganalisa pendekatan medan ini perlu berlaku sekurang-kurangnya sekali pada setiap tahun. “Adakah cara kita sekarang masih relevan dan adakah ia akan kekal relevan?”

Jika lapan tahun lepas orang sibuk menulis blog, kemudian sibuk di Friendster, kemudian di Facebook, kemudian di Instagram, kemudian di Vine, kemudian di Telegram, adakah belia dakwah terdapat di tempat-tempat ini? Berbeza dengan dakwah pertemuan secara fizikal yang sentiasa kekal relevan.

Dakwah akan kekal selagi mana agama ini dijaga Allah. Yang penting adalah memastikan diri kita terus relevan bersamanya!

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top