Penglibatan Industri dalam Kajian UA Dapat Tingkatkan Peratusan Inovasi Dikomersilkan

Bangi, 17 Feb – Peningkatan penglibatan industri dalam kajian oleh Universiti Awam (UA) dapat pertingkatkan peratusan inovasi yang mampu dikomersialkan.
Demikian ujar Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, PEMBINA Eqwan Roslan Al-hafiz ketika mengulas berkenaan kenyataan Datuk Seri Idris Jusoh bahawa 4% daripada 4000 inovasi dan ciptaan UA berjaya dikomersilkan.

“4% daripada 4000 inovasi yang berjaya dikomersialkan oleh UA dan memberi jualan kasar kumulatif sebanyak RM52 juta itu adalah sesuatu yang membanggakan.

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat, daripada mahasiswa, pensyarah, dan ahli kajian di UA serta pihak Kementerian Pengajian Tinggi bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa membuka ruang dan peluang.”

Walaubagaimanapun, katanya, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian 4% ini, sekalipun ia hampir menyamai peratusan Amerika Syarikat, dan mesti meletakkan ‘benchmark’ yang lebih tinggi.

“Saya yakin kita boleh pergi lebih jauh daripada ini… Masih ada lagi daripada 96% inovasi yang telah dihasilkan oleh pihak UA yang mampu dikomersialkan juga.

“Pada pandangan saya, penglibatan yang lebih tinggi oleh industri dalam kajian, rekaan dan inovasi UA akan membantu untuk menaikkan peratusan ini.

“Ini kerana, pihak industri lebih mengetahui keperluan pasaran semasa yang akan menambah nilai kepada industri dengan cara mengurangkan kos operasi mahupun meningkat kuantiti serta kualiti produk.

Tambah beliau, maklumat-maklumat sebegini yang perlu disampaikan kepada pengkaji dan mahasiswa di UA agar bidang kajian mereka selari dengan tuntutan dan keperluan industri, lantas dapat meningkatkan jumlah inovasi yang boleh dikomersialkan.

Eqwan Roslan yang baru sahaja dilantik sebagai Presiden PEMBINA dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-9 PEMBINA minggu lalu turut berkata, meningkatkan jumlah inovasi UA yang boleh dikomersialkan ini selari dengan 5 aspirasi PEMBINA.

“Dalam 5 aspirasi PEMBINA, kami menekankan tentang Kesarjanaan dan Intelektualisme. Kami juga menekankan aspek Pengupayaan Universiti.”

“Sebagai persatuan belia islam yang memberi fokus kepada dunia mahasiswa, kami mengimpikan agar mahasiswa kita hari ini menjadi orang yang bakal membawa perubahan yang baik kepada negara.

“Salah satu caranya adalah dengan menghasilkan inovasi bermanfaat yang boleh meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara umumnya.”

“Salah satu Aspirasi PEMBINA 2020 iaitu Pengupayaan Universiti dapat dipenuhi salah satunya dengan mahasiswa dan pengkaji yang turut memperoleh geran penyelidikan daripada industri sendiri.”

Oleh itu, kata beliau, mahasiswa secara umumnya diseru agar bersungguh-sungguh dalam menguasai ilmu reka cipta dan inovasi baik dalam bidang apa jua yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Eqwan Roslan Al Hafiz

Presiden PEMBINA

Author media

More posts by media

Leave a Reply