Oleh Athirah Huda Zalhe (ismaweb)

 

BANGI, 6 Muharram 1440H, Ahad – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mencadangkan supaya satu majlis tindakan khas diwujudkan, bagi membincangkan garis panduan yang perlu dipatuhi mahasiswa dalam menentukan acuan kepimpinan menerusi Pilihan Raya Kampus (PRK).

Presiden Pembina, Azam Asri berkata, PRK perlu dilihat sebagai medium untuk melahirkan kepimpinan mahasiswa, bukan menjadi pentas permainan politik luar.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya jawatankuasa majlis berkenaan mesti terdiri daripada mahasiswa, pihak pentadbiran universiti dan pensyarah.

“Ini bertujuan supaya mahasiswa boleh dilatih tentang tanggungjawab, tatasusila dan tidak mempermainkan isu sensitif untuk meraih sokongan.

“PRK adalah medium yang strategik untuk melahirkan kepimpinan mahasiswa seterusnya melahirkan kepimpinan negara. Namun begitu, sejarah pelaksanaan PRK di negara ini sering kali mempunyai campur tangan politik luar tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan memberi kebebasan sepenuhnya kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di semua institusi pengajian tinggi (IPT) menentukan corak kepimpinan tanpa penglibatan pengurusan universiti.

Dalam kenyataan semalam, kementerian itu turut memaklumkan untuk menyemak semula proses dan tatacara pemilihan MPP atau PRK.

Azam berkata, Pembina menyokong dan menyambut baik langkah Kemeterian Pendidikan dalam memberi autonomi mahasiswa menguruskan PRK supaya tiada sebarang campur tangan dan pengaruh.

“Pembina berpendapat, mahasiswa perlu melihat PRK sebagai medium kepimpinan yang berhak untuk disertai oleh semua mahasiswa tidak kira daripada mana pun.

“Campur tangan politik luar telah mencipta satu paradigma dalam mahasiswa bahawa penglibatan di dalam PRK adalah penglibatan politik dan sesiapa yang ingin terlibat perlu mempunyai pendirian politik nasional.

“Ini telah menutup pintu kepimpinan dan membuatkan mahasiswa secara umum tidak mahu terlibat di dalam PRK ini,” katanya.

sumber: https://www.ismaweb.net/2018/09/16/syor-wujud-majlis-tindakan-khas-dalam-pilihan-raya-kampus/