Pembina Sambut Baik Pembikinan Filem Pahlawan Negara

Kenyataan pengarah filem, Syamsul Yusof untuk menghasilkan sebuah filem memperjuangkan sejarah pahlawan negara merupakan usaha yang baik dan diperlukan dalam usaha membangunkan jati diri masyarakat.

Beliau yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menyifatkan perancangan tersebut lebih kepada untuk memberi sumbangan kepada tanah air tercinta. Meskipun menelan perbelanjaan yang besar, pelaburan ini bakal memberi pulangan dalam jangka masa yang panjang. Generasi akan datang dapat mengetahui dan lebih menghargai pejuang-pejuang bangsa seperti Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Hang Tuah dan ramai lagi.

Melihat kepada penggiat filem negara asing seperti Amerika Syarikat, mereka begitu agresif dalam melaksanakan pembikinan filem yang mengangkat semangat patriotisme dalam kalangan rakyat mereka. Hal ini turut sama boleh dilihat menerusi karya visual yang lain seperti animasi dan dokumentari yang dihasilkan dengan penuh kualiti.

Lambakan filem asing yang ditayangkan di pawagam seluruh negara, serta yang dimuat naik di portal internet kini menjadi santapan berkala rakyat di negara ini, termasuk dalam kalangan mahasiswa. Bertambahnya bilangan filem asing yang ditayangkan menyebabkan ramai yang menonton mula terikut-ikut sekali gus mengamalkan cara hidup berteraskan budaya Barat.

Hal ini dapat kita lihat sejumlah yang agak besar dalam kalangan belia yang semakin luntur jati dirinya, malah lebih malang lagi tidak mengetahui tentang asal usul nenek moyang kita. Jati diri belia merupakan perkara penting yang perlu diberikan perhatian kerana golongan ini merupakan pelapis yang akan meneruskan legasi kepimpinan negara di masa hadapan.

Pembina menyeru kepada golongan mahasiswa yang berada dalam bidang seni atau perfileman, agar memiliki agenda yang jelas dalam konteks untuk menyumbang dalam pembangunan masyarakat. Jika tidak, perkara sebaliknya akan berlaku iaitu karya-karya yang dihasilkan boleh merosakkan masyarakat dengan nilai-nilai buruk yang dipaparkan.

Mengambil peluang atas keghairahan generasi kini yang lebih mudah terdidik dengan mesej dalam bentuk visual, perancangan ini harus disokong dan disambut baik untuk direalisasikan serta dijadikan ikutan oleh penggiat filem yang lain.

Aizat Farhan
JK Media PEMBINA Pusat