was successfully added to your cart.

SAMARAHAN, 26 April – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Samarahan sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlangnya dengan merangkul anugerah Naib Johan Persatuan Belia Terbaik Peringkat Negeri Sarawak dalam suatu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Riverside Majestic Hotel, Kuching, semalam.

Anugerah ini diberikan kepada persatuan-persatuan belia di negeri Sarawak yang menunjukkan prestasi cemerlang dari aspek pengurusan, pengorganisasian, aktivisme dan impak terhadap komuniti, dokumentasi dan juga nilai tambah baharu dalam aktivisme badan bukan kerajaan.

PEMBINA Samarahan yang diwakili oleh Pengerusi Cawangan, saudara Muhammad Amirul Arib b Md Adzhar menerima trofi penghargaan, wang tunai RM5000 beserta sijil pengiktirafan. Anugerah tersebut disampaikan oleh Datuk Abdul Karim bin Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak.

Untuk rekod, sebelum ini PEMBINA Samarahan telah menerima penganugerahan ‘5 Bintang’ dari Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak atas kecemerlangan yang serupa.

Menurut Amirul, PEMBINA Samarahan sentiasa komited dalam membangunkan jatidiri dan sahsiah belia setempat agar selari dengan Islam sebagai cara hidup.

“Pengiktirafan ini adalah ‘buah tangan’ hasil kerja keras seluruh ahli PEMBINA Samarahan. Apa yang kita harapkan aktivis-aktivis PEMBINA Samarahan sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh membawa aspirasi kita ke dalam masyarakat” ujarnya ketika ditemubual oleh wartawan.

Amirul (kiri) bersama hadiah yang dimenangi.

 

Sijil anugerah

Berita disediakan oleh :
Mohammed Rasheedan bin Ellin
Wartawan
Media PEMBINA Samarahan