PEMBINA Perlis turun padang bantu mangsa banjir

Kangar, Mac 29- Hujan berterusan yang melanda Perlis sejak 2 hingga 3 hari lepas telah menyebabkan berlakunya banjir di beberapa kawasan di Perlis termasuklah kawasan Arau, Kangar, Beseri, Padang Melangit dan kawasan-kawasan lain yang berisiko. Banjir yang berlaku pada kali ini adalah yang kedua dalam masa 5 bulan. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan kerana ramai yang mengagak bahawa banjir di Perlis hanya akan berlaku dalam masa 5 tahun sekali.

Peka dengan isu ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Perlis telah mengambil inisiatif untuk turun padang bagi sama-sama melibatkan diri menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir. PEMBINA yang diketuai saudara Hamzah Sakeran telah bergabung tenaga dengan beberapa agensi lain seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA 3).

Bermulanya banjir pada hari pertama, 30 Mac 2011 sehingga 2 April 2011, hampir 30 orang sukarelawan Pembina telah berkumpul di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis sejak pagi lagi bersiap sedia untuk menyumbangkan tenaga memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Sukarelawan tersebut terdiri daripada sukarelawan lelaki dan wanita.

Para sukarelawan Pembina telah membantu dalam menyediakan makanan kepada mangsa-mangsa banjir, mengangkat bekalan bahan mentah dan mengedarkan makanan. Mereka turut ke tempat-tempat pemindahan mangsa banjir sebagai wakil JKM untuk mengambil maklumat terkini mangsa dan senarai keperluan yang diperlukan mereka. Anggaran mangsa banjir yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa banjir adalah seramai 3062 orang. Walaupun Pembina masih baru dan kurang dari segi kelengkapan, namun tenaga yang disumbangkan telah banyak membantu meringankan beban dan memudahkan kerja-kerja bantuan kepada mangsa banjir.

“Kerja bantuan di sini dan proses menyediakan makanan agak berat. Terima kasih kepada para sukarelawan Pembina yang telah turut serta untuk membantu kami dan ini meringakan kerja-kerja di sini” kata salah seorang sukarelawan PBSM kepada saudara Hamzah Sakeran.

 

Disediakan oleh,
Mohd Syahrul Zaman bin Zakaria,
Ketua Wartawan

Media Pembina Perlis.