Pembina Menyambut Baik Keputusan Mesyuarat Kabinet Mewajibkan Kelulusan Bahasa Melayu, Harus Diperketat Lagi

  1. Pembina menyambut baik keputusan mesyuarat kabinet yang menetapkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu bagi syarat lantikan kontrak.
  2. Ia selari dengan aspirasi rakyat Malaysia serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi identiti rakyat Malaysia.
  3. Namun begitu, Pembina berpandangan syarat tersebut masih satu kelonggaran berbanding syarat pelantikan ke perkhidmatan awam iaitu:
    • Lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, dengan dua daripada mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus dalam satu peperiksaan; atau
    • lulus enam mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, dengan dua mata pelajaran adalah di peringkat Kepujian dan selebihnya peringkat Lulus yang dikumpulkan dalam dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut- turut; dan
    • memenuhi syarat kelayakan Bahasa Melayu iaitu Kepujian dan subjek-subjek tertentu seperti mana yang disyaratkan dalam skim perkhidmatan.
  4. Kerajaan perlu mempertegas perlaksanaan Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 3 tahun 2011 yang menyatakan Sejarah sebagai Mata Pelajaran Wajib Lulus SPM bermula tahun 2013.
  5. Selain daripada memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, rakyat Malaysia juga harus memahami latar belakang sejarah Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan yang dipelajari dalam subjek sejarah.
  6. Ini kerana Pembina melihat memiliki SPM bukan sahaja penting daripada sudut kompetensi untuk berkhidmat dan keupayaan bertutur tapi sebagai pembentukan identiti dan asas perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
  7. Pembina berharap kerajaan akan terus berwaspada dengan desakan-desakan kumpulan yang cuba menekan kerajaan untuk mengubah identiti Malaysia.
  8. Jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersuara dalam hal ini dan berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu padu dalam mempertahan identiti negara.

 

Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top