PEMBINA dilantik menjadi ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat Negeri Selangor

SHAH ALAM, 11 April – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) semalam dilantik menjadi ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat Negeri Selangor sesi 2016-2017.

Menurut Presiden PEMBINA, Eqwan Roslan Al-hafiz, perlantikan PEMBINA sebagai ahli MPBN ini memberi ruang untuk suara mahasiswa didengari.

“PEMBINA merupakan persatuan mahasiswa islam yang aktif di seluruh negara dalam pembangunan jatidiri belia, khususnya mahasiswa.

“Perlantikan PEMBINA sebagai ahli MPBN negeri Selangor ini membuka ruang seluas-luasnya untuk suara mahasiswa didengari dan diberi perhatian terutama dalam proses penggubalan dasar-dasar kerajaan,” ujarnya ketika ditemui wartawan.

PEMBINA Majlis Perundingan Belia Negara

Eqwan yang menerima watikah perlantikan tersebut di Intekma Resort & Convention Centre Shah Alam semalam turut berharap agar penubuhan MPBN ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia negara.

“Saya berharap agar belia terlibat aktif dalam proses pembangunan negara dan memberi tumpuan kepada pembangunan kualiti dan jatidiri individu.

“Inilah persediaan sebenar untuk melaksanakan impian belia hari ini di peringkat negara apabila tiba masanya kelak,” jelasnya.

Menurut Ketua Beliawanis PEMBINA, Khairunnisa Mazlan pula, penglibatan PEMBINA dalam MPBN memberikan pengiktirafan kepada PEMBINA.

“Perlantikan ini membuktikan PEMBINA telah mendapat pengiktirafan setaraf dengan persatuan belia dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Ini menjadi langkah awal PEMBINA selaku persatuan mahasiswa yang aktif, untuk membina pengaruh dan mempunyai kredibiliti yang tersendiri,” ujarnya ketika menghadiri majlis perlantikan tersebut.

Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato’ Mohd Rosli bin Ramli, Pegawai Kemajuan Negeri Selangor, yang merupakan wadah atau satu forum pemimpin belia dan pemimpin negara berbincang mengenai isu dan dasar yang melibatkan pembangunan belia negara.

Ia dianggotai oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Majlis Belia Selangor, Majlis Belia Daerah, Badan Gabungan Majlis Belia Selangor, Agensi-agensi Kerajaan dan 10 ahli yang dilantik oleh pengerusi termasuk Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

PEMBINA Majlis Perundingan Belia Negara