was successfully added to your cart.

BANGI, 28 April – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mencadangkan pihak pentadbiran IPTA dan IPTS seluruh Malaysia untuk mengambil inisiatif untuk memberikan pelepasan cuti khas sekurang-kurangnya tiga hari kepada mahasiswa agar mereka keluar mengundi.

Presiden PEMBINA, Azam Mohamad Asri memberikan kenyataan ketika sesi sidang media di Bangi petang ini. Sidang media tersebut dihadiri oleh kira-kira 50 wakil pimpinan PEMBINA Cawangan seluruh Malaysia yang turut berhimpun untuk program PIMPIN hari ini dan esok.

“Cuti tiga hari adalah tempoh yang relevan untuk memberikan ruang kepada mahasiswa pulang mengundi dengan selesa. PEMBINA memandang serius perkara ini untuk memastikan seluruh mahasiswa secara maksima dan serius terlibat dalam proses pilihan raya kali ini,” ulas Azam lagi.

Azam turut menyelar hampir 4 juta belia yang tidak mendaftar sebagai pengundi kerana menurutnya itu adalah suatu kerugian kerana angka tersebut bukan angka yang kecil. “Hal ini turut menggambarkan bahawa belia mula menolak keadaan politik Malaysia masa kini,” ujar beliau lagi.

Pada 9 Mei ini, rakyat Malaysia akan keluar mengundi sempena Pilahanraya Umum ke-14. Mahasiswa yang layak mengundi juga akan menjadi sebahagian besar penyumbang undi dan menjadi penentu masa depan kepimpinan negara.

Sidang media sempena PRU 14.

Disediakan oleh:

Nor Syamimi Musa

Wartawan Media Pembina