Pada Aidiladha tempoh hari, saya dan saudara Iqram diberikan peluang untuk menyambut bersama anak-anak yatim Pusat Tahfiz Ar Raudhah, Acheh. Pusat Tahfiz yang diuruskan oleh Pos Keadilan Peduli Umat (PKPU) ini membawa banyak maksud yang boleh kami pelajari.

Di dalam kesempatan ini, kami selaku wakil Pembina mengambil peluang untuk berjumpa dengan mahasiswa dari Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia, KAMMI cawangan Acheh. Saudara Sumardi selaku Ketua KAMMI di Acheh berkongsi pengalaman dan pendapat berkenaan aktivisme mahasiswa Indonesia. Sebagai persatuan mahasiswa yang aktif di Malaysia, kami daripada Pembina juga turut berkongsi pengalaman dan cadangan berkenaan aktivisme mahasiswa.

Antara yang boleh saya kongsikan di sini adalah bagaimana struktur organisasi KAMMI yang lebih luas kerana mempunyai negara yang lebih besar. Ini sedikit sebanyak memberikan sedikit kelemahan sekiranya melaksanakan gerak kerja berpusat. Satu perkara yang perlu mahasiswa Malaysia terutamanya ahli Pembina bersyukur kerana capaian kita untuk ke pusat lebih mudah berbanding mereka. Hal ini membantu untuk mahasiswa dan Pimpinan Pembina mempunyai allignment yang sama di setiap peringkat.

Namun begitu, menurut hemat saya, mahasiswa di Indonesia lebih aktif mengambil isu semasa negara. Untuk makluman pembaca, di Indonesia sering kali berlaku Demonstarsi kerana konflik-konflik yang berlaku. Ini seterusnya membuatkan mahasiswa di sana turut mengikuti isu-isu rakyat yang berlaku. Mahasiswa KAMMI juga turut aktif dalam berkongsi pendapat berkenaan polisi-polisi negara mereka di dalam kampus sambil menjemput aktivis dari persatuan mahasiswa lain untuk melontarkan pendapat.

Di dalam sesi perbincangan kami di sana, saya cuba merungkai satu persoalan yang sering kali saya lontarkan di dalam diri. Bagaimana sebenarnya cara fikir mahasiswa di Indonesia yang membawa kepada satu terjemahan aktivisme yang aktif? Mungkin telaan saya tepat, tapi bagi saya mereka mempunyai satu mentaliti mahasiswa yang tinggi. Mentaliti yang merasakan bahawa peranan mereka iaitu mahasiswa sangat besar dalam menjadikan negara mereka lebih baik. Atas mentaliti ini, mahasiswa di sana mempunyai satu tindakan yang luar biasa. Bila mana berlaku bencana alam atau musibah, mereka antara golongan awal yang memberikan pertolongan dan sumbangan. Satu perkara yang boleh kita muhasabah bersama, bagaimana mahasiswa kita di Malaysia. Sejauh mana kita menggariskan dalam garis masa hidup kita untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Antara perkara lain yang boleh kita mahasiswa di Pembina adalah untuk sentiasa menjaga amal tarbiyah kita. Ini sangat penting dalam memastikan keasolahan aktivisme kita sentiasa terpandu dengan risalah Islam yang tulen. Kelemahan dalam menguruskan amal tarbiyah dan kegagalan dalam mengetatkan skru-skru tabiyah bukan sekadar merosakan organisasi tetapi akan melambatkan perkembangan Pembina. Oleh itu, sering kali perlu diingatkan untuk sentiasa menghormati kedudukan tarbiyah di dalam amal aktivisme mahasiswa kita.

Semoga perhubungan Pembina bersama KAMMI akan berkekalan dan mampu mencabahkan peluang-peluang untuk melahirkan kepimpinan Islam yang bertaraf global. Kami dari Pembina sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pertubuhan dalam atau luar negara untuk berkerjasama ke arah objektif tersebut.

Azam Asri,
Presiden Pembina