PEMBINA BANGI Semarakkan Ramadhan

BANGI, 8 Ogos – Di ambang Ramadhan 1431H tahun ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) merebut peluang keemasan ini untuk bersama-sama dengan umat Islam meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan melalui kerjasama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan Kempen Nur Ramadhan. Dalam kempen ini, PEMBINA cawangan Bangi memainkan peranan penting sebagai sebuah persatuan yang begitu dekat dengan para belia terutamanya masyarakat kampus, dengan bergerak aktif mempromosikan Kempen Nur Ramadhan di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar daerah Hulu Langat.

Majlis pelancaran kempen ini telah berlangsung dengan jayanya di tengah-tengah Kompleks PKNS Bangi yang menjadi tumpuan umum. Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohamad Ismail, Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA. Dalam majlis tersebut, PEMBINA turut menampilkan persembahan kumpulan nasyid Sohwah dan deklamasi sajak oleh aktivis PEMBINA dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Saudari Siti Ainshah Abd Rahim.

Hasil daripada temubual dengan Saudari Muzaifah Hanim Muhtar, Penolong Ketua PEMBINA cawangan Bangi, PEMBINA terlibat secara langsung dalam kempen sepanjang bulan Ramadhan ini bagi menyemarakkan lagi penghayatan masyarakat khususnya generasi belia. PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia Islam, ingin menyampaikan dan berkongsi kesedaran bahawa kedatangan Ramadhan juga perlu disambut dengan meriah sepertimana kita menyambut bulan kemerdekaan dan kedatangan Syawal. Dalam membudayakan sunnah Ramadhan di kalangan belia, PEMBINA mengambil bahagian dengan mengadakan siri iftar bersama PEMBINA di IPT-IPT sekitar daerah Hulu Langat, i’tikaf jamaie di Masjid UKM pada malam 21 Ramadhan, menyertai lawatan ke wad kanak-kanak bagi menyampaikan sumbangan hari raya di Hospital Serdang, menganjurkan program Kembara Badar di Putrajaya, menyebarkan risalah Ramadhan serta menggantung banner menyambut kedatangan Ramadhan.

Keseluruhannya, keterlibatan PEMBINA dalam Kempen Nur Ramadhan ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk mengajak dan menyedarkan generasi muda bahawa Islam, bangsa dan negara meletakkan harapan yang sangat besar kepada generasi ini. Ingatlah, potensi yang dimiliki pemuda ibarat pedang yang tajam. Dan potensi itu pastinya dapat digunakan oleh pejuang di jalan Allah, namun demikian dapat juga digunakan oleh para penjahat untuk berjuang di jalan syaitan. Semoga potensi yang dimiliki belia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk Islam. InsyaAllah.

Muzaifah Hanim (Penolong Ketua Cawangan PEMBINA Bangi) bersama jemputan kehormat lain

Siti Ainshah mendeklamasikan “Andai Ini Ramadhan Terakhir”

 

Para VIP bersama menyaksikan penyempurnaan perasmian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top